Pergelutan Jiwa Tentang Cinta, Taubat Dan Kekuatan Memaafkan Dalam Filem Aksi Seram 'Qodrat 2'

oleh: zizi hashim

Bukan filem seram biasa. Ia adalah perjalanan rohani yang berselimut gelap, dalam suasana yang perlahan, senyap, namun sangat hidup. Bagi saya, filem ini bukan hanya bercerita tentang perlawanan manusia dengan iblis, tetapi lebih kepada pergelutan jiwa tentang cinta, taubat, dan kekuatan memaafkan. 'Qodrat 2' di bawah arahan sutradara Charles Ghozali adalah kesinambungan kepada kisah Ustaz Qodrat, seorang pendakwah yang memiliki kekuatan untuk meruqyah dan mengusir makhluk halus. 

Tapi kali ini, perjuangannya jauh lebih getir dan peribadi. Ia bukan tentang menyelamatkan orang lain tetapi tentang mencari semula isterinya, Azizah (lakonan Acha Septriasa), yang dulunya pernah tergelincir dan tersesat hingga bersekutu dengan membuat perjanjian dengan iblis demi menyelamatkan anak mereka, Alif. Ceritanya sangat menyayat hati. Ia tentang penyesalan, cinta yang tidak pernah mati, dan keinginan untuk kembali ke jalan Tuhan walau pernah jauh tersasar. Ada rasa rindu, pengkhianatan, dan harapan yang dikepal dalam satu jalan cerita.

Yang saya suka tentang watak Ustaz Qodrat ini ialah dia tidak klise. Dalam banyak filem seram khususnya, watak ustaz seringkali jadi pelengkap saja. Datang membaca doa, lalu pergi, adakalanya menang, adakalanya juga kalah dengan kuasa jahat. Tapi tidak sama perihalnya dengan Ustaz Qodrat. Dia adalah pejuang. Seorang ahli ibadah yang juga mahir berlawan. Ruqyahnya bukan hanya melalui ayat suci, tapi juga lewat kekuatan fizikal dan dialog dalam bahasa Arab yang menusuk jiwa. Melihat dia bertarung sambil berzikir, saya jadi yakin dan percaya bahawa kebaikan tak pernah kalah, asalkan kita tidak menyerah.

Filem ini punya cara sendiri membina ketakutan. Tiada jeritan mengejut atau tiba-tiba jumpscares. Sebaliknya, ia menghimpit perlahan-lahan. Dengan ruang sempit, cahaya yang suram, dan bunyi latar yang sepi tapi mencengkam, kita akan merasa seperti sedang berjalan di lorong yang gelap bersama Qodrat sendiri. Ia menjadikan ketakutan itu lebih dalam, lebih real. Saya suka bagaimana filem ini tidak cuba menerangkan segalanya. Ia memberi ruang untuk kita rasa dan faham sendiri. Agama pula tidak digunakan sekadar hiasan. Doa-doa dibaca pada waktu yang sesuai, bukan untuk menakutkan, tetapi sebagai benteng. Benteng untuk jiwa yang sedang hampir rebah.

Sesuatu yang berbeza dalam 'Qodrat 2' tidak dijelaskan secara terus, tetapi terasa di hati. Mungkin kerana ia bukan sekadar filem seram, tetapi refleksi batin seorang manusia yang sedang berjuang. Saya menonton filem ini bukan dengan harapan untuk terkejut atau ketakutan, tetapi dengan rasa ingin tahu: sejauh mana seorang ustaz sanggup pergi demi keluarganya?

Acha Septriasa sebagai Azizah tampil sangat meyakinkan. Perubahannya tidak drastik, tapi perlahan dan menyakitkan—seperti seorang yang cuba belajar untuk berdiri semula selepas jatuh ke dalam lubang hitam. Azizah, yang sebelum ini dirawat di rumah sakit jiwa akibat depresi, kini bekerja di sebuah kilang benang yang dikuasai oleh kekuatan gelap. Kilang tersebut menjadi tempat berlangsungnya ritual pesugihan yang mengorbankan nyawa pekerjanya. Konflik dalaman Azizah semakin mendalam apabila dia berusaha untuk bertaubat dan mencari jalan keluar dari cengkaman iblis, namun terhalang oleh gangguan yang berterusan.

Azizah, yang dibawakan dengan sangat halus oleh Acha Septriasa, adalah watak yang kompleks. Dia bukan wanita lemah, tetapi juga bukan pahlawan. Dia seorang ibu, isteri, dan wanita biasa yang pernah membuat keputusan luar kawalan. Demi menyelamatkan anaknya, dia berpaling dari cahaya, lalu cuba kembali. Perjalanannya bukan mudah. Penuh luka, ketakutan, dan rasa bersalah yang menggunung. Tapi di situlah keindahannya. Taubatnya tidak dramatik, tidak pula disorot dengan cahaya syurga. Ia berlaku perlahan, seperti fajar yang menyapa malam. Acha membawa watak itu dengan penuh tenang. Reaksinya tidak keterlaluan, emosinya tidak dihempas-hempaskan, tetapi dari matanya, kita tahu dia sedang bertarung dalam diam.

Dan Vino G. Bastian, sebagai Ustaz Qodrat, diamnya berat, matanya penuh beban. Dia tidak perlu banyak bicara, kerana tubuh dan wajahnya sudah bercerita. Dia bukan sekadar seorang pendakwah, tetapi juga seorang pejuang, baik dalam batin mahupun zahir. Dia melawan bukan hanya dengan ayat suci, tetapi dengan keberanian dan tubuhnya sendiri. Koreografi pertarungan yang ditampilkan membuat kita percaya bahawa iman juga boleh wujud dalam bentuk perlawanan yang fizikal, bukan hanya spiritual. Dia adalah lelaki yang pernah kehilangan, tetapi tidak membiarkan dirinya patah. 

Apa yang saya kagumi adalah bagaimana pertarungan itu disulam dengan ruqyah yang dilakukan dalam bahasa Arab, sambil berhadapan mata dengan iblis As-Suala—lawan utama dalam filem ini. Dialog mereka bukan sekadar serangan, tetapi debat antara kebenaran dan kebatilan. Dan dalam setiap ayat yang keluar dari mulut Qodrat, ada kekuatan yang tidak dibuat-buat. Berbeza dengan filem seram yang mengandalkan ‘jumpscare’ dan muzik keras secara tiba-tiba, Qodrat 2 mengambil pendekatan yang lebih subtil.

Melihat Qodrat berdepan dengan iblis bukan hanya membuat saya kagum, tapi juga terfikir: beginilah seharusnya watak ustaz ditampilkan. Teguh, tetapi manusiawi. Lemah, tetapi tidak putus asa. Berdosa, tetapi tidak berhenti bertaubat. Romantik dalam 'Qodrat 2' bukan romansa yang mekar berbunga. Ia penuh luka, pengorbanan, dan pengertian dalam diam. Hubungan Qodrat dan Azizah digambarkan secara realistik. Dua jiwa yang pernah terpisah, cuba kembali saling menyembuhkan. Mereka tidak banyak bicara tentang cinta, tetapi tindakan mereka cukup berkata: aku tetap memilih kamu, walau dunia tidak lagi sama.

Saya juga suka bahawa 'Qodrat 2' tidak menawarkan penamat yang ‘mudah’. Tidak ada kemenangan besar, tidak ada peleraian sempurna. Yang ada cuma satu kesimpulan yang tenang. Perjuangan ini belum selesai. Dan bukankah hidup kita juga begitu? Selepas babak akhir, ada klip video lagu tema "Menyala Matahari" yang memperlihatkan betapa kuatnya cinta antara Qodrat dan Azizah. Ia bukan cinta yang manis, tapi cinta yang diuji, dipatahkan, dan kemudian dibina kembali. Lagu itu menjadi penutup yang lembut, mengingatkan kita bahawa walaupun filem sudah berakhir, cinta mereka masih menyala.

Di balik setiap adegan seram dan aksi, 'Qodrat 2' menyampaikan pesan moral yang mendalam. Filem ini mengingatkan kita akan pentingnya bertaubat, memaafkan, dan mengikhlaskan segala yang telah terjadi. Ia juga menyoroti isu-isu sosial seperti hak buruh dan perjuangan wanita dalam menghadapi penindasan, yang disampaikan melalui watak-watak seperti Azizah dan Purwanti (Della Dartyan). Penamat filem ini membuka ruang untuk sekuel-sekuel berikutnya, yang pasti akan terus mengajak penonton untuk merenung dan berfikir tentang nilai-nilai kehidupan yang sebenar.

'Qodrat 2' adalah sebuah karya yang tidak hanya menghibur, tetapi juga menginspirasi. Ia mengajak kita untuk merenung tentang kehidupan, iman, dan perjuangan dalam menghadapi godaan duniawi. Dengan arahan yang cermat dari Charles Gozali dan lakonan mantap dari barisan pelakon, filem ini berjaya menyampaikan cerita yang penuh emosi dan makna.

Bagi mereka yang mencari filem seram dengan sentuhan keagamaan dan pesan moral yang kuat, 'Qodrat 2' adalah pilihan yang tepat. Ia bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah perjalanan rohani yang menyentuh hati. Tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula sejak 17 April 2025, jom tonton?