oleh: zizi hashim
Setiap kali nama Jackie Chan tertera pada poster baharu, hati saya bergetar dengan rasa ingin tahu. Siapa tak kenal Jackie Chan? Satu nama yang sudah lama melekat dalam ingatan. Ikon legenda yang sering buat kita ketawa dengan komedi fizikalnya, sekaligus membuat kita ternganga dengan keberaniannya menentang maut. Menakluki layar dunia dengan tawa, luka, dan keberanian akrobatiknya, kini dia muncul kembali dalam The Shadow’s Edge (2025). Usianya telah melewati 7 dekad, tubuhnya tak lagi sekuat zaman muda, tetapi justeru di situlah terletak keindahan filem ini. Ia menghadirkan Jackie sebagai manusia penuh waktu, sarat luka, tetapi masih menyimpan bara tekad yang tidak pernah padam.
Filem ini berakar di Macau, sebuah kota yang hidup dalam kontra. Megah lampunya, namun gelap lorong-lorongnya. Di tengah denyut metropolis inilah sebuah organisasi kriminal bernama Shadow Order menebar kejahatan. Mereka bukan geng sebarangan; mereka adalah para pengendali teknologi yang mampu menembusi Sky Eye, sistem pengawasan canggih berasaskan kecerdasan buatan. Dunia terasa tak berdaya ketika mesin pengawasan yang dicipta untuk melindungi tiba-tiba diputar-balik untuk menghancurkan. Kalau menurut saya, pemilihan Macau terasa simbolik. Kota itu adalah persilangan budaya, masa lalu Portugis bercampur dengan nafas moden Cina. Sama seperti Jackie Chan sendiri, seorang artis yang selalu hidup di antara Timur dan Barat, tradisi dan globalisasi, aksi dan komedi, kini terpaksa berdiri di ambang usia tua dan relevansi baharu.
Dalam kekacauan itu, nama Wong Tak-Chung kembali dipanggil. Jackie Chan menjiwai watak ini dengan kejujuran yang menggetarkan. Bukanlah hero tipikal yang gagah perkasa, dia adalah seorang pesara, bekas pakar pengesanan, pernah berkhidmat untuk polis, menanggung beban sejarah, dipanggil kembali kerana dunia kehilangan kendali. Ada kesepian di wajahnya, ada kepenatan dalam langkahnya, tetapi juga ada bara yang tak mahu padam. Jackie tidak lagi melompat dari bumbung atau bergayut dengan helikopter; sebaliknya dia menggunakan kebijaksanaan, teknik sendi, strategi Hapkido yang realistik. Masa lalu selalu punya cara untuk menghantui, dan kali ini ia datang dengan bentuk paling berbahaya. Tak-Chung tidak punya pilihan selain menjejak bayangan sekali lagi.
Tony Leung Ka-Fai tampil sebagai Fu Longsheng, dalang kejam Shadow Order. Aura dinginnya menjadikan setiap kemunculannya bagai petanda malapetaka. Wataknya penuh karisma dingin, pandangan matanya tajam, suaranya tenang tetapi menggetarkan. Dia bukan sekadar penjahat; dia adalah personifikasi bayangan masa lalu, trauma, dan kejahatan yang sentiasa menunggu untuk menjerat. Pertarungannya dengan Jackie di sebuah warung teh menjadi momen paling monumental dalam filem. Bukan sekadar pertembungan jasad, tetapi juga pertarungan dua jiwa yang sama-sama terbentuk oleh masa lalu. Meja pecah, cawan berterbangan, tetapi di sebalik kekacauan itu ada intensiti batin: dua lelaki tua, dua sejarah panjang, bertembung dalam satu momen klimaks. Saya menahan nafas menonton adegan itu; setiap tendangan, setiap pukulan, terasa seolah-olah menyimpan sejarah panjang antara dua lelaki yang berkeras mempertahankan keyakinan mereka.
Menariknya, filem ini tidak semata-mata bersandarkan nostalgia. Apa yang membuat filem ini tidak terasa usang ialah kehadiran generasi muda. Ada darah baharu yang menyegarkan. Zhang Zifeng, misalnya, sebagai detektif muda yang mahir teknologi, membawa dinamika baru dalam naratif. Dia ibarat cermin bagi generasi kini. Cepat, pintar, penuh idealisme, tetapi masih belajar tentang kerasnya realiti. Ci Sha memukau dengan peranan kembar berlawanan: satu hacker penuh misteri, satu pakar senjata yang tajam. Dualiti itu menambah lapisan dramatik, membuat kita tertarik pada dilema manusia di sebalik aksi.
Dan tentu saja, kemunculan Wen Junhui (Jun dari SEVENTEEN) sebagai Hu Feng menambahkan sentuhan generasi muda yang manis namun signifikan. Hu Feng, anak angkat Tak-Chung, menjadi jambatan antara masa lalu dan masa depan. Hubungan mereka bukan hanya menambah dimensi emosional, tetapi juga memaparkan sisi Jackie yang jarang kita lihat. Rapuh, penuh kasih sayang, dan terikat oleh tanggungjawab yang melebihi talian darah. Jackie, dalam keletihan dan kerentanannya, menemukan alasan untuk terus bertahan: cinta yang sederhana, tetapi kuat.
Larry Yang, duduk di kerusi sutradara, benar-benar menyalurkan semangat thriller klasik Hong Kong tetapi dalam bentuk roh kontemporari. Jika dulu beliau dikenali dengan Ride On, kini beliau membuktikan bahawa dirinya sanggup menggarap naratif kriminal dengan skala lebih besar, lebih kompleks. Adegan pengintipan yang details, percakapan sarat makna ganda, dan pencahayaan yang kerap melukis wajah Jackie dalam separuh gelap, separuh terang, semuanya memperlihatkan bahawa The Shadow’s Edge adalah lebih daripada sekadar tontonan aksi. Ia adalah renungan tentang teknologi, moral, dan kesepian manusia di penghujung perjalanan.
Kalau menurut saya, judul The Shadow’s Edge adalah simbol bayangan segala hal yang kita cuba tinggalkan. Masa lalu, kegagalan, kelemahan, bahkan kematian. Jackie berdiri di tepi bayangan, cuba melawan agar dirinya tidak ditelan. Tony Leung mewakili bayangan yang memanggil, sementara generasi muda melambangkan cahaya yang belum sepenuhnya bersinar. Bukankah hidup kita juga seperti itu? Kita semua berdiri di ambang bayangan antara kenangan yang tak mahu padam dan masa depan yang samar. Kita cuba menyeimbangkan diri, agar tidak jatuh ke sisi gelap.
Saya terkesan bagaimana Jackie tidak cuba menipu usia. Aksinya tidak lagi penuh akrobat mustahil, sebaliknya lebih realistik, berat, dan terukur. Banyak adegan memperlihatkan penggunaan teknik Hapkido dan manipulasi sendi yang praktikal, efficient, tetapi tetap mendebarkan. Di situlah kita melihat Jackie sebagai seorang pejuang matang: tubuhnya mungkin melambat, tetapi otaknya tajam, strateginya licik, dan hatinya masih keras melawan. Rasanya seperti menonton seorang samurai tua yang masih sanggup menghunus pedang untuk satu pertaruhan terakhir.
Dari segi emosi, filem ini memberi lebih daripada yang saya harapkan. Jackie memperlihatkan wajahnya sebagai seorang ayah, seorang manusia yang menanggung beban kesalahan lalu, seorang legenda yang enggan tenggelam dalam senyap. Tony Leung pula menjadi lawan seimbang yang menggerunkan, menambah graviti pada naratif. Bersama pelakon generasi baharu, filem ini terasa seperti pertemuan dua zaman. Masa lalu yang berusaha tetap relevan dan masa depan yang sedang membentuk dirinya.
Terasa bagaikan Jackie Chan baru sahaja membisikkan sesuatu pada saya, tentang keberanian untuk terus berdiri meski tubuh letih, tentang menghadapi bayangan yang kita semua simpan, tentang mencari cahaya kecil yang mampu menuntun kita keluar. The Shadow’s Edge adalah filem aksi, renungan, sebuah meditasi tentang waktu. Jackie tidak lagi seorang badut akrobat, tetapi seorang pejuang tua yang masih punya sesuatu untuk diajarkan. Dan saya, sebagai penonton, merasa diberkati kerana masih berkesempatan menyaksikan legenda ini menutup babnya dengan penuh wibawa.
Durasi 142 minit memang terasa agak panjang, tetapi justeru memberi ruang bagi filem ini untuk bernafas. Ia memberi peluang kepada penonton menyerap setiap lapisan: intrik politik, drama keluarga, aksi menegangkan, hingga momen renungan sunyi Jackie. Ketika lampu pawagam menyala kembali, saya duduk sejenak, merenungkan perjalanan panjang Jackie Chan di layar perak. Dari aksi komedi yang membuat kita ketawa, ke tragedi serius yang membuat kita termenung, hingga akhirnya tiba di titik ini, sebuah bayangan terakhir yang penuh wibawa.
The Shadow’s Edge tidak hanya meneguhkan Jackie Chan sebagai legenda aksi, tetapi juga sebagai pelakon yang berani jujur dengan usianya. Ia adalah karya yang sarat tenaga, tetapi juga sarat jiwa. Bagi saya, ini mungkin filem Jackie Chan paling penting dalam dekad terakhir. Sebuah catatan bahawa legenda sejati tidak pernah benar-benar pudar. Mereka hanya berubah bentuk, menyesuaikan diri dengan masa, tetapi tetap berdiri teguh, bahkan ketika bayangan sudah memanjang.
Barangkali inilah Jackie Chan yang paling jujur. Seorang lelaki yang beranjak usia, seorang pejuang yang tidak mahu kalah, seorang manusia yang tetap mencari cahaya meski bayangan kian pekat. Tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula 16 Ogos 2025, telah mencecah 2 juta hanya pada catatan jualan tayangan awal. Rasai sendiri degup tangkas Jackie Chan di layar besar yang penuh bara dan penuh jiwa. Jom ke pawagam, kerana hanya di sana kau akan faham makna berdiri di ambang bayang-bayang!