oleh: zizi hashim
Sejuknya hawa dingin yang merayap halus tetapi rakus di antara detik-detik senyap ketika berpeluang menonton Black Phone 2 baru-baru ini, buat saya terasa bagaikan turut sama berada di kem pergunungan Tasik Alpine yang dibanjiri salji. Dingin yang beku tumbuh dari hati yang belum sempat sembuh. Sutradara Scott Derrickson membawa penonton kembali ke semesta yang ia ciptakan 4 tahun lalu, ke dunia di mana telefon lama yang seharusnya mati tetap degil terus berdering, menandakan bahawa kejahatan tidak selalu mati bersama jasadnya.
Meski filem The Black Phone (2021) berakhir dengan kelegaan, seperti luka yang sudah dijahit, akan tetapi Black Phone 2 membuktikan bahawa masih ada sisa-sisa trauma yang tak semudah itu untuk sembuh. Finney Shaw (Mason Thames) tidak lagi budak polos yang takut pada bayangan. Ketika dia cuba membina hidup baharu, setiap langkahnya masih bergaung dengan bisikan masa lalu. Dia kini remaja yang memendam amarah, terperangkap dalam paranoia. Ada masa dia menenggelamkan diri dalam asap ganja, ingin membungkam bayang yang masih menjerit di kepalanya. Di sisi lain, adiknya Gwen (Madeleine McGraw) kini remaja ceria yang menyembunyikan luka batin di sebalik tawa.
Segalanya tampak tenang, sehinggalah di satu malam mimpi ngeri itu datang. Dalam tidur yang separuh nyata, Gwen bertemu ibunya yang telah lama meninggal dunia. Wanita itu memanggil dan menyerunya ke sebuah kawasan perkhemahan di pergunungan salji. Mimpi itu terasa begitu hidup, begitu dekat, sehingga tanpa sedar Gwen berjalan dalam tidurnya, tubuhnya bagaikan sudah tahu jalan untuk ke sana. Di situlah semuanya bermula.
Finney, yang masih diburu rasa bersalah dan takut, memutuskan untuk menemani Gwen ke perkhemahan itu bersama rakan mereka, Ernesto (Miguel Mora). Salji turun perlahan, membalut hutan dan kabin dalam keheningan yang ganjil. Namun di sebalik keindahan musim dingin itu tersembunyi sesuatu yang lebih dingin daripada udara. Ada roh jahat yang belum pergi. The Grabber, penculik yang pernah memburu Finney, kini muncul kembali… di dalam mimpi Gwen.
Scott Derrickson, yang juga mengarah filem pertama, kembali mengadun dunia realiti dan mimpi dengan gaya visual yang memukau. Stok filem berbutir kasar, pencahayaan berwarna sephia, dan bisikan samar di ruang sunyi menjadikan Black Phone 2 terasa seperti naskhah yang bergerak antara masa dan dimensi. Namun berbeza dengan The Black Phone, sekuel ini tidak lagi menjerit ketakutan; ia merayap perlahan, memanggil rasa ngeri dengan cara yang lebih halus, seperti trauma yang diam-diam tumbuh di dada.
Kekuatan filem ini terletak pada bagaimana Derrickson menumpukan pusat graviti kisah kepada pemulihan emosi. Ia tidak lagi tentang melarikan diri daripada pembunuh bertopeng, tetapi tentang menghadapi bayangan yang tersisa selepas semuanya berakhir. Finney belajar bahawa membunuh raksasa tidak bererti membunuh ketakutan. Ia tetap hidup, bersembunyi dalam kepala, hanya menunggu saat untuk kembali. Derrickson ingin menunjukkan bahawa ketakutan sejati tidak lahir dari makhluk menyeramkan, tetapi dari trauma yang tak pernah sembuh dengan menyingkap sisi batin dua beradik yang terpaksa berhadapan dengan masa lalu yang enggan padam.
Gwen pula menjadi nadi kepada perjalanan ini, kuasanya kini lebih kuat, dan kemampuan berhubung dengan arwah menjadikannya jambatan antara dua dunia. Dalam beberapa babak, saya hampir terlupa bahawa ini filem seram; ia lebih terasa seperti drama spiritual, kisah dua beradik yang cuba memahami kehilangan ibu dan berdamai dengan masa lalu.
Kehadiran The Grabber (Ethan Hawke) sekali lagi mencipta mimpi buruk yang menyesakkan dada. Kali ini dia tidak hanya menghantui Finney, tetapi juga menyusup ke dalam mimpi Gwen, menjelma sebagai bayangan yang hidup di antara realiti dan kematian. Visual Derrickson masih seperti dahulu. Dingin, berbutir kasar, seperti pita filem lama yang berkedip antara nyata dan halusinasi. Walaupun repetitif pada babak tertentu, keindahan muram itu tetap menggenggam perasaan.
Namun Black Phone 2 tidak sempurna. Ritmanya perlahan, dialognya panjang, dan ketegangan yang dibina sering terlepas momentum. Kengerian yang pernah membuat penonton meringkuk di kerusi kini terasa seperti gema yang kian menjauh. Bahkan sosok The Grabber yang dulunya begitu menggentarkan kini tampil seperti bayangan lama yang kehilangan kuasa. Ada momen yang membuat saya teringat pada Nightmare on Elm Street, Ethan Hawke seperti versi halus Freddy Krueger, menghantui mimpi dan mencipta déjà vu yang aneh.
Filem ini mungkin tidak seradikal atau menegangkan seperti pendahulunya, tetapi ada kematangan yang tumbuh di dalamnya. Black Phone 2 terasa seperti bab penutup tentang keluarga yang cuba sembuh, tentang roh yang mencari tenang, tentang anak-anak yang akhirnya belajar berdamai dengan bayang mereka.
Saya akui, filem ini terasa seperti penutup yang wajar. Sebuah epilog kepada luka lama yang akhirnya mendapat ruang untuk tenang. Finney akhirnya berdiri menatap cahaya, tidak lagi dikejar oleh roh masa lalu, tetapi memaafkan dirinya sendiri. Gwen, dengan segala keanehan kuasanya, menemukan keberanian untuk menghadapi kehilangan. Dan The Grabber, simbol segala trauma, akhirnya lenyap, bukan kerana dikalahkan, tetapi kerana tidak lagi diberi ruang untuk hidup.
Mungkin Black Phone 2 tidak menakutkan seperti pendahulunya, tetapi ia memberi sesuatu yang lebih berharga: pemahaman bahawa ketakutan sejati bukan pada hantu yang berwajah seram, melainkan pada bayangan dalam diri yang belum disembuhkan. Ia berbicara tentang kegelapan yang lebih manusiawi bahawa kadang kala, neraka itu bukan tempat, melainkan kenangan. Dalam sunyi pawagam, ada rasa lega. Panggilan terakhir dari telefon hitam itu akhirnya dimatikan, bukan kerana tiada lagi yang ingin berbicara, tetapi kerana jiwa-jiwa itu sudah memilih untuk tenang.
Tayang mulai 16 Oktober 2025 di pawagam seluruh Malaysia dengan klasifikasi 18 tahun ke atas, filem ini mungkin tidak membuat anda menjerit, tetapi mungkin akan membuat anda termenung. Kerana dalam diri setiap kita, entah di mana pun, pasti punya satu panggilan dari masa lalu yang masih berdering, menunggu masa untuk berani dijawab.