oleh: zizi hashim
Pernah tak rasa sunyi yang sebegitu mendalam, sehingga sanggup memeluk kegelapan hanya agar dapat menggenggam secebis kenangan? Bring Her Back, karya terbaru dari Philippou bersaudara (Daniel dan Michael), adalah serpihan hati yang dicarik perlahan-lahan, dipintal menjadi kisah ngeri yang mengendap masuk ke dalam tulang-temulang. Menjelma seperti bisikan halus dari lorong tergelap duka seorang ibu, ini adalah potret kehilangan yang terlalu lama terpendam, sehingga akhirnya membusuk dalam bentuk paling menakutkan: obsesi.
Sejak adegan pertama, saya terhanyut dalam langkah gementar Andy (Billy Barratt), seorang remaja yang masih terlalu muda untuk kehilangan, namun terlalu tua untuk bersandar. Bersama adiknya, Piper (Sora Wong), yang buta, mereka diangkut dari satu dunia ke dunia lain, sebuah rumah asing milik Laura (Sally Hawkins), sosok wanita yang tampak manis, namun menyimpan amarah dan kehilangan seperti bara dalam sekam. Pada permukaan, Laura tampak seperti penyelamat: penuh perhatian, lemah lembut, seorang ‘ibu baru’ yang kononnya mahu melindungi. Tetapi di sebalik kelembutan itulah yang mencurigakan.
Setiap langkah Andy terasa janggal. Dia tidak hanya sedang beradaptasi dengan suasana baru, tetapi sedang bergelut dengan trauma dan rasa bersalah. Ada luka yang tidak disebut, tetapi tergambar jelas dari setiap ekspresi kosongnya. Di sinilah kekuatan Bring Her Back terletak. Ia tidak merawat luka, tetapi menggarunya sehingga berdarah, dan membiarkan penonton menatap darah itu tanpa belas kasihan. Piper pula, meski tidak dapat melihat, memancarkan naluri yang tajam. Dia menyentuh keanehan yang tidak dapat disebutkan, seperti anak kecil yang tahu bila sesuatu itu 'tidak betul', meski dia sendiri tidak tahu mengapa.
Ada sesuatu tentang Laura (lakonan cemerlang Sally Hawkins) yang membuat saya gelisah sejak awal. Senyumnya terlalu tulus, suaranya terlalu lembut. Namun di balik tirai jendelanya, terperangkap niat yang mengerikan. Di sini, Philippou bersaudara tidak sekadar ingin menakutkan, mereka mencipta rasa ngeri dari sesuatu yang lebih dekat: kasih sayang yang menyimpang, luka yang tak sembuh, dan rumah yang bukan lagi tempat berlindung. Laura adalah jantung filem ini. Bukan jantung yang sihat, tetapi jantung yang berdenyut dari kesedihan yang ditinggalkan. Hawkins memberi nyawa kepada watak seorang wanita yang hatinya sudah reput oleh rindu.
Seorang ibu yang tidak lagi waras, tetapi bukan sepenuhnya gila. Dia mewakili sisi ibu yang tidak dapat menerima kematian anaknya dan dalam keengganannya untuk melepaskan, dia memilih untuk memelihara bayang-bayang, mencipta ritual, dan menyesatkan diri sendiri dalam ilusi. Filem ini memang 'jahat'. Setiap luka digambarkan dengan transparent, setiap jeritan batin dipantulkan dengan brutal. Namun justeru di situ letak keindahannya, kerana kesedihan tidak selalu tampil dalam air mata, ia boleh menyamar jadi ritual, jadi keinginan melampau untuk 'membawa pulang' apa yang telah pergi.
Sutradara tidak memberi ruang untuk kita berasa selamat. Tidak ada langsung detik-detik untuk merasa tenang. Bahkan rumah itu yang sepatutnya tempat perlindungan berubah menjadi gua gelap penuh rahsia. Kamera sentiasa menangkap ruang kosong dan pintu separuh terbuka, seakan mengingatkan kita bahawa ada sesuatu yang mengintai di balik semua itu. Dan ya, ada yang mengintai tetapi lebih menakutkan apabila kita sedar, yang paling menyeramkan bukanlah makhluk ghaib, tetapi manusia in denial yang terlalu ingin percaya bahawa kematian tidak benar-benar terjadi.
Jonah Wren Phillips sebagai Oliver pula tidak banyak berbicara, namun kehadirannya seperti bayang kelam yang menjadi saksi bisu kepada kebinasaan emosi manusia. Setiap kali dia muncul, ada sesuatu yang terasa ‘off’ dan filem ini sengaja tidak memberi kepuasan. Tidak semua persoalan dijawab. Tidak semua luka dijahit. Dan itu membuatkannya terasa lebih benar, kerana dalam dunia nyata pun, tidak semua kehilangan mendapat penutupan.
Salah satu adegan paling mengganggu menampilkan Oliver menyakiti dirinya sendiri secara brutal dengan pisau. Adegan itu bukan sekadar sisi sadistik, namun bentuk ekstrim dari pengaruh jahat iblis yang perlahan-lahan melumpuhkan jiwanya. Penampilan Jonah Wren Phillips patut diberikan thumbsup. Sebagai anak laki-laki yang nyaris tak berbicara, ekspresi tatapannya yang kosong dan 'haus' cukup untuk membawa rasa takut.
Sudah tentu saya tidak ingin membocorkan keseluruhan rahsia, tetapi cukup untuk dikatakan bahawa Bring Her Back tidak memberi jawapan. Ia memaksa kita untuk tinggal dalam ketidakpastian, membiarkan kita tenggelam dalam kecurigaan, menjelajah koridor-koridor sunyi emosi. Seperti Andy dan Piper, saya juga terperangkap dalam rasa tidak tenang yang terus bergema hingga layar gelap. Sally Hawkins sebagai Laura adalah mimpi buruk yang dibungkus dalam kelembutan. Saya sangat simpati dengan nasib Oliver yang tidak tahu apa-apa tetapi terjebak dalam kekalutan kompleks itu. Dan Piper pula, gadis manis, polos, buta adalah simbol dari semua anak yang tak pernah diminta untuk menjadi korban.
Tak banyak seram seperti ini. Yang tidak hanya memburu detak jantung, tapi juga menguji ketahanan hati dalam durasi 1 jam 45 minit. Saya keluar dari pawagam dengan rasa gelisah, geram, marah dan stress! Bring Her Back bukan filem untuk semua. Namun bagi yang pernah kehilangan dan mencuba untuk melupakan, ia akan terasa terlalu dekat. Dan dalam kedekatan itu, barangkali kita akan melihat sisi paling jujur dari duka: bahawa rindu, jika tak dilepaskan, mampu menjelma iblis.
Dan andai diberi peluang untuk 'membawa kembali' yang telah tiada, adakah kita cukup kuat untuk berkata tidak? Bring Her Back adalah ngeri yang berakar dari cinta. Dan cinta seperti ini, jika tidak dilepaskan, akan berubah menjadi raksasa. Sebuah filem yang mendalam, perlahan, namun menghantui seperti bayang-bayang yang tidak pernah benar-benar pergi. Ia tidak meminta kita untuk memahami, hanya untuk menyaksikan dan dalam menyaksikan itulah, kita merasa paling rapuh sebagai manusia. Tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula dari 31 Julai 2025, bersediakah anda?