'Munajjim: Sekutu Iblis' Cerminan Akidah Dan Seruan Menolak Khurafat Untuk Kembali Ke Jalan Lurus

oleh: zizi hashim

Pernahkah kita tertanya-tanya, sejauh mana manusia sanggup menggadai prinsip demi dendam? Menonton Munajjim: Sekutu Iblis, sebuah filem seram tempatan yang dari luarannya kelihatan seperti satu lagi karya genre seram tipikal, namun sebenarnya menyimpan amaran yang tajam dan menyelinap ke dasar fikiran. Filem ini bukan bermula dengan pocong melompat keluar dari celah pintu atau perempuan berambut panjang di siling, sebaliknya ia membuka ruang untuk kita menyorot sisi gelap manusia yang rela bersekutu dengan iblis demi menyelesaikan masalah dunia yang sementara.

Terinspirasi daripada kisah benar, filem arahan sutradara Faizul A. Rashid ini menyelongkar naratif sebuah keluarga yang obses dengan kuasa bomoh. Di tengah-tengah tekanan emosi dan konflik rumah tangga, si anak memilih jalan gelap: menggunakan ilmu hitam untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya yang mengganggu rumahtangga mereka. Namun seperti pisau bermata dua, ilmu sihir yang diseru kembali memakan diri. Dan dari situ, penonton dibawa ke dalam putaran tragedi yang menyayat dan sekaligus menyindir tajam.

Apa yang menjadikan filem ini begitu menggugat rasa ialah cara ia membingkai syirik dan khurafat dalam konteks masyarakat moden. Kita mungkin menganggap dunia hari ini sudah terlalu canggih untuk percaya pada bomoh dan mantera. Tapi realitinya, amalan ini masih menjalar senyap dalam banyak rumah, dilindungi oleh ketakutan, dendam, dan harapan palsu. Filem ini membuat saya tertanya-tanya, berapa ramai antara kita yang pernah, walau sekali, terdetik mahu ‘menyerahkan masalah’ kepada kuasa luar selain Tuhan? Berapa ramai yang sedang hidup dalam ilusi penyelesaian segera yang sebenarnya menjerumuskan mereka ke jurang lebih dalam?

Watak-watak yang dilakonkan oleh barisan pelakon ternama seperti Farid Kamil, Uqasha Senrose, Che Puan Juliana Evans, Sherrie Merlis dan Mustaqim Bahadon begitu berkesan membangkitkan ketegangan yang organik, tidak dibuat-buat, malah kadangkala terasa terlalu dekat. Bayangan ‘pendamping’ dan jin yang muncul bukan sahaja sebagai entiti ghaib, tetapi juga metafora terhadap nafsu dan niat hitam manusia sendiri. Efek visualnya tidak keterlaluan, cukup untuk menghantui tetapi tidak sampai mencacatkan plot.

Munajjim: Sekutu Iblis memperlihatkan sisi seram yang jarang diketengahkan, bukan setakat jeritan atau wajah hantu yang muncul tiba-tiba, tetapi kengerian rohani, apabila manusia mulai hilang pedoman dan memilih untuk bersubahat dengan kekuatan yang terang-terangan dilarang dalam agama. Watak-watak yang terbentuk bukan hanya sebagai protagonis dan antagonis biasa, tetapi sebagai representasi manusia yang terumbang-ambing antara kepercayaan, dendam, dan kejahilan. Bahkan, filem ini membuka ruang untuk kita merenung semula, sejauh mana masyarakat telah menormalisasikan penggunaan bomoh, tangkal, dan ‘pendamping’ sebagai sebahagian daripada solusi hidup?

Lebih meresahkan, semua itu berlaku dalam suasana yang kelihatan ‘biasa’. Rumah moden, keluarga berkerjaya, pendidikan tinggi namun di sudut gelap dapur atau bilik tidur, ada sesuatu yang disembunyikan. Ilmu hitam bukan lagi dibalut daun kelapa atau asap kemenyan semata, tapi kini datang dalam bentuk yang lebih terancang, lebih tersusun malah kadangkala, lebih meyakinkan daripada terapi moden. Dan di sinilah letaknya kekuatan Munajjim: ia membuka hijab kepada realiti yang kita anggap sekadar cerita, padahal ia benar-benar berlaku di belakang rumah kita sendiri.

Filem ini berani menyentuh luka yang lama berdarah, sambil mengingatkan kita bahawa setiap kali manusia berpaling dari petunjuk Allah, akan selalu ada ‘tangan lain’ yang menyambut dengan janji palsu. Janji yang kelihatan indah tetapi mengorbankan akidah. Satu fakta menarik tentang filem ini, ia diharamkan tayangannya di Brunei, mungkin kerana keberaniannya menampilkan isu syirik secara terang-terangan. Larangan itu secara tidak langsung mencetus kontroversi, dan seperti lumrah manusia, apa yang dilarang seringkali menimbulkan rasa ingin tahu. Dan ya, saya percaya hal ini akan membuat lebih ramai orang mahu menyaksikannya sendiri.

Munajjim: Sekutu Iblis membuka tirai di pawagam Malaysia bermula 31 Julai 2025. Ia adalah hasil kerjasama antara Yusrych Global Sdn Bhd, D'Ayu Pictures dan TGV, dengan sokongan promosi oleh Empire Solutions. Sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi menggoncang hati nurani. Munajjim bukan sekadar seram, ia cermin kepada realiti. Seruan agar kita menolak khurafat, mendidik diri dan generasi untuk berfikir kritikal, dan paling penting, kembali kepada akidah yang lurus. Ia bukan hiburan semata, tapi satu bentuk peneguran berbalut seni.

Jangan tonton sorang-sorang. Filem ini akan buat kamu diam. Fikir. Dan mungkin, muhasabah. Kerana ketakutan sebenar bukan pada hantu tetapi pada manusia yang sanggup berpakat dengan iblis, demi kepuasan dunia yang sementara. Munajjim: Sekutu Iblis menjadi refleksi kepada sistem kepercayaan masyarakat yang rapuh, terdedah kepada manipulasi dan akhirnya terjerat dalam gelap yang mereka sendiri buka jalannya. Tonton dan nilaikan sendiri 31 Julai ini.