Misteri Fraser 1910: Terperangkap Dalam Ruang Kehilangan Antara Sejarah Dan Halusinasi

oleh: zizi hashim

Saya pernah jejak kaki ke Bukit Fraser lama dulu. Saat melihat banglo-banglo kolonial berselimut kabus, selalu terlintas: bagaimana asal usul tempat ini? Dingin yang menggigit di celah hutan pokok pain, kabut yang memeluk tanpa henti, dan bisikan angin yang bagai menyimpan rahsia, itulah yang menyambut saat menonton Misteri Fraser 1910. Sebuah lagi karya filem seram; seperti jurnal kehilangan yang terperangkap dalam ruang antara sejarah dan khayalan.

Kini, persoalan itu dirungkaikan melalui naskhah penuh emosi ini, yang menyulam naratif kehilangan Louis James Fraser, peneroka Scotland yang ghaib entah ke mana pada tahun 1910 namun auranya masih tetap kekal berkeliaran. Karya terbitan Millionaire Film Production ini lahir dari ketulusan Elani Aidid ketika dia menemukan serpihan sejarah semasa reccé lokasi pada 2019. Fakta tentang Fraser yang lesap setelah menemui lubuk bijih timah, menjadi titik mula kepada imaginasi yang dirangka teliti. Separuh benar, separuh rekaan tetapi semuanya terasa hidup.

Lebih istimewa, skripnya tidak berdiri sendiri. Ia dibimbing oleh panel FINAS agar tidak tersasar dari nilai sinema yang tulen. Itu mungkin sebab kenapa filem ini terasa ‘berat’ dalam cara yang indah. Jalan ceritanya merangkak perlahan, menyesak dada, membuat saya lupa ini hanya sebuah filem. Fraser dilakonkan Josiah Hogan dengan penuh kedalaman. Bukan mudah menghidupkan watak realiti yang sudah ditelan masa, tapi Josiah membuatnya terasa seperti nyawa Fraser masih merayap di dinding banglo tua itu. Watak Asan (Amai Kamarudin) pula menjadi tulang belakang naratif, dari kesetiaan kepada Fraser, kemudian berdepan tragedi mistik bersama Wati (Isyariana), hingga ke fasa paling getir kewarasan.

Saya suka bagaimana filem ini tidak tergesa-gesa menakutkan, sebaliknya membina ruang resah yang diam-diam menyelinap. Gangguan mistik di banglo Fraser bukan sekadar bunyi pintu atau wajah seram; ia datang sebagai amaran yang lebih dalam, seolah-olah sejarah enggan dilupakan. Elani sendiri menyatakan bahawa kekuatan filem ini terletak pada kesungguhan membina dunia tahun 1910 dari dialog berbahasa baku, pakaian, hingga perincian props yang membuatkan kita benar-benar kembali ke zaman kolonial. Dan ya, saya dapat rasakan itu. Ia seperti masuk ke dalam poskad zaman silam yang bersulam tragedi.

Lebih membanggakan, Misteri Fraser 1910 sudah melangkah ke pentas antarabangsa, tercalon dalam kategori Best First-time Filmmaker di Liz Off Global Network Sessions Vol. 4 di Pinewood Studio, UK. Bersaing dengan 26 filem lain, ini bukan pencapaian kecil, ia cerminan bahawa filem sejarah tempatan boleh berdiri sama tinggi. Apa yang membuat saya lebih tertarik ialah gabungan pelakon yang berkaliber terdiri daripada Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra, Datuk Rahim Razali, A. Galak dan Elani sendiri. Setiap mereka bukan sekadar pelengkap, tapi penyampai naratif yang menguatkan lapisan emosi dan misteri.

Secara peribadi, saya melihat Misteri Fraser 1910 sebagai bentuk cinta kepada tanah ini, kepada sejarah, kepada warisan yang sering kita abaikan. Ia mengingatkan kita bahawa tempat-tempat indah juga menyimpan luka, dan kadang-kadang, luka itu tidak pernah sembuh… hanya menunggu untuk diceritakan. Secara sinematik, saya akui terpesona dengan tata produksi filem ini. Ton warnanya tidak gimik, tetapi selari dengan era - pucat, usang, kelam. Seolah-olah kita sedang menonton dari kaca mata seorang lelaki abad ke-20 yang terlupa dia masih hidup. Landskapnya luas tetapi sunyi. Kamera tidak terburu-buru, membiarkan setiap shot menampung berat sejarah yang tidak pernah selesai.

Bahkan sound design juga bekerja sebagai watak. Adakalanya yang paling menakutkan bukanlah hantu, tetapi suara langkah di lorong yang sepi, atau bisikan yang hanya didengar oleh satu watak tetapi terasa masuk ke telinga kita. Ia bukan teriakan, tetapi senyap yang menghantui. Filem ini juga tidak memperbodohkan penontonnya. Tidak menyerah kepada trend ‘jumpscare setiap 5 minit’. Sebaliknya, ia menuntut kesabaran. Ia mahu penonton mendengar, melihat, dan merasai dengan perlahan. Mungkin kerana itu, bukan semua orang akan menghargainya sepenuhnya. Tapi bagi mereka yang menghargai sinema sebagai seni, ini adalah karya yang akan tinggal lama dalam fikiran.

Dan jujur saya katakan setelah menonton, saya mula tertanya-tanya: berapa banyak lagi misteri sejarah Malaysia yang belum diceritakan? Berapa banyak nama seperti Louis James Fraser yang lenyap bukan kerana lupa, tetapi kerana tiada siapa yang berani menggali semula? Karya seperti Misteri Fraser 1910 adalah langkah penting. Ia membuka jalan, menunjukkan bahawa genre seram pun mampu memikul warisan, mendidik tanpa perlu bersyarah, dan mengangkat lokasi tempatan menjadi sebahagian daripada identiti sinematik kita.

Buat Elani Aidid dan pasukannya, saya angkat topi. Bukan mudah menyeimbangkan antara fakta dan fiksyen, antara hiburan dan kesungguhan, antara ‘jual’ dan ‘jiwa’. Tetapi filem ini telah membuktikan, apabila sesuatu dibuat dengan tekad dan kasih terhadap cerita, hasilnya adalah naskhah yang menyentuh dan mencetuskan renungan. Saya cuma harap lebih ramai pembikin filem akan berani menyusuri lorong ini. Menggali semula sejarah dengan cinta, mengubah kisah lama menjadi gema yang relevan untuk generasi kini. Kerana misteri tidak seharusnya dilupakan. Ia harus diceritakan berulang kali, hingga nama-nama yang hilang seperti Fraser, Asan, Wati dan yang lainnya tidak hanya hidup dalam dokumen sejarah… tetapi dalam hati kita semua.

Jika anda mencari filem yang lebih dari sekadar hantu melompat, tontonlah Misteri Fraser 1910. Ia menawarkan lebih dari ketakutan. Ia menghidang kenangan, kehilangan dan kesunyian yang masih bergetar dari 1910 hingga hari ini. Dan barangkali… selepas menontonnya, anda juga akan memandang Bukit Fraser dengan cara yang berbeza. Kerana filem ini mengajar satu hal penting bahawa tempat juga menyimpan memori. Ia merekod dan memeluk trauma. Dan apabila sesuatu yang tidak selesai dibiarkan diam terlalu lama, ia akan kembali. Mungkin dalam bentuk mimpi, atau dalam filem seperti ini. Tayangan rasmi 26 Jun 2025 ini di seluruh pawagam Malaysia. Jangan tunggu lama. Ada kisah yang perlu didengar, dan ada sunyi yang menuntut untuk disuarakan kembali.