Mission: Impossible - The Final Reckoning, Aksi Penuh Emosional Dan Sentimental

oleh: zizi hashim

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti yang tidak putus-putus buat seumur hidup; andai bukan kerana dedikasi anda dan pasukan anda yang tidak pernah kenal erti lelah, Bumi pastinya akan menjadi tempat yang sangat berbeza."

Sebegitu sekali terhambur emosi seawal babak pembuka tirai filem. Ethan Hunt, menyebut namanya sahaja sudah mendadak rasa sangat peribadi, sentimental dan overwhelming. Seiring masa berjalan, setiap ritma langkahnya masih sama, laju dan tidak gentar. Nafasnya masih kencang. Raut wajahnya, meski tampak lelah, tetap kelihatan bagai tidak dimamah usia sebenar. Tetap segak dan menggetarkan jiwa. Kali ini, ada sesuatu yang lebih berat dalam gerak-geri Ethan Hunt. Bukan kerana ancaman dunia, bukan kerana bom atau pengkhianatan, tetapi kerana ini mungkin kali terakhir kita dapat melihat dia berlari sepantas itu lagi.

'Mission: Impossible – The Final Reckoning' bukan sekadar satu lagi filem blockbuster musim panas. Ia adalah noktah akhir kepada kisah yang telah menjangkau lebih 3 dekad. Sebuah kisah yang bermula pada tahun 1996, ketika Tom Cruise pertama kali menggenggam identiti Ethan Hunt. Seorang ejen yang rela menggadaikan segala-galanya demi misi, meski ia datang dengan harga sebuah jiwa raga. Dan kali ini, misi itu lebih mendalam dari sebelumnya. Lebih peribadi. Lebih genting.

Masih ada dunia yang perlu diselamatkan. Masih ada nyawa yang bergantung kepada satu keputusan dimana hanya Ethan dan pasukannya sahaja yang mampu lakukan. Di tengah kekacauan global, muncul ancaman paling kontemporari dan paling relevan dengan zaman iaitu sebuah entiti kecerdasan buatan, digelar "The Entity", yang bukan sahaja mengintai maklumat dan kuasa, tetapi berniat mengambil alih tamadun manusia keseluruhannya. 

Ethan yang sememangnya sudah memiliki dua bahagian penting dari ‘kunci’ yang boleh mematikan sistem tersebut. Walau bagaimanapun kunci yang satu lagi... tersembunyi jauh di dasar samudera. Sebuah lokasi yang bukan hanya sukar dicapai, tetapi juga menyimpan simbol tentang kedalaman krisis kali ini, masalah yang tak lagi hanya berputar pada manusia, tetapi pada realiti yang sedang dikacau oleh teknologi sendiri.

Tom Cruise dan Christopher McQuarrie tidak hanya menghasilkan sebuah penutup. Mereka membina semula sebuah mitologi. Retrospektif yang menyentuh, disulamkan dalam setiap bingkai. Nama-nama lama kembali berbisik dari bayang-bayang: rakan seperjuangan, musuh silam, kenangan yang dulu sudah kita anggap selesai, semuanya diberi ruang untuk menyapa semula, membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar ‘cameo’ atau nostalgia murahan.

'Mission: Impossible – The Final Reckoning' mencatat sejarah bukan kerana ia paling sempurna, tetapi kerana ia paling jujur. Paling berani untuk melihat ke belakang dan mengakui bahawa setiap filem sebelum ini adalah batu bata kepada satu menara yang kini hampir siap, meski runtuh sedikit demi sedikit di sana sini, ia tetap tegak berdiri. Ada satu babak yang terasa hampir seperti doa terakhir Ethan Hunt. Ia bukan penuh letupan, bukan adegan kejar mengejar, tetapi hanya satu dialog pendek. Tentang kesetiaan, tentang pengorbanan yang tidak diminta tapi tetap harus dilakukan. Dan pada ketika itu, layar terasa seperti cermin; memantulkan kembali wajah penonton yang sudah tumbuh bersama watak ini selama lebih 30 tahun.

Nuansa di set seperti ini tidak pernah sunyi. Selang setiap beberapa minit, Cruise pasti menggila. Kalau dia tak terjun dari tebing, dia pasti memandu motosikal ke udara atau menyelam ke laut dalam, semua tanpa bantuan CGI yang keterlaluan. Itu bukan gimik. Itu adalah komitmen. Dalam dunia sinema moden yang terlalu bergantung pada efek komputer, 'Mission: Impossible – The Final Reckoning' adalah bukti bahawa tubuh manusia, apabila digerakkan dengan nawaitu yang betul, masih boleh mencipta magis dan keajaiban. Hebatnya seorang Ethan Hunt atau Tom Cruise itu sendiri, secara peribadi bagi saya, mencipta remang yang buat saya kagum dan speechless. Seluruh rasa hormat dan tabik saya berikan buat pelakon hebat yang tidak lokek dengan senyuman mempesona itu, pada seluruh dedikasi yang tidak pernah kenal erti lelah. Standing ovation saya berikan buatmu, Tom Cruise!

Turut menyentuh pada falsafah yang jarang dibincangkan dalam francais aksi. Ia bertanya: bagaimana jika misi terakhir bukan untuk menyelamatkan dunia, tetapi untuk melepaskan dunia? Untuk membenarkan generasi baru mengambil alih, dan kita hanya menjadi bayang-bayang yang pernah berjuang? Ya, tipulah kalau tiada kelemahan, memang ada. Ada bahagian yang terasa terlalu padat, terlalu rujuk sana-sini, seolah-olah terlalu berlebihan mahu memasukkan semua kenangan dalam satu bingkai. Tetapi adakah itu salah? Apabila seseorang tahu mereka sedang menghampiri detik terakhir, bukankah itu yang kita semua lakukan? Memeluk semua yang pernah memberi makna, meski terkadang memang terlalu banyak untuk dipikul?

Tidak dinafikan ramai yang akan membuat perbandingan. Itu sudah tentu, tak boleh lari. Ada yang akan berkata 'Fallout' adalah puncak sebenar. Ada yang tetap setia pada yang pertama garapan De Palma yang penuh teka-teki. Tak kurang yang mengangkat 'Ghost Protocol' sebagai paling berani. Namun 'The Final Reckoning' tidak berniat menjadi yang ‘terbaik’. Ia hanya mahu menjadi ‘terakhir’ dan melakukannya dengan segala daya upaya yang masih tinggal, yang masih tersisa. Bukan sahaja ia menutup kisah Ethan Hunt, ia juga mungkin menutup satu era sinema aksi di layar besar. Satu era di mana keberanian, peluh dan kejujuran masih punya tempat. Cruise telah melakukan sesuatu yang barangkali takkan diulangi sesiapa lagi, mempertaruhkan tubuh dan masa demi membawa penonton masuk ke dunia di mana setiap misi yang dianggap 'mustahil', mahu tak mahu, tetap akan dicuba.

Dan di penghujung semua ini, selepas peluh, letupan dan keheningan di antara degupan jantung, kita menyaksikan bukan sekadar pengakhiran sebuah saga, tapi penjelmaan satu pengorbanan yang melangkaui logik dan usia. 'Mission: Impossible – The Final Reckoning' bukan sahaja misi terakhir Ethan Hunt, ia adalah panggung akhir untuk seorang maverick bernama Tom Cruise, yang sekali lagi memilih untuk menentang arus industri. Dalam era digital yang makin dikawal oleh AI dan ilusi, Cruise tampil dengan naratif tentang kejujuran manusia yang masih mahu memegang kendali. 

Ya, musuh utama kali ini ialah "Entity", satu entiti buatan yang licik, yang mampu mengaburkan kebenaran dan menggoncang dunia dengan kepalsuan yang meyakinkan. Untuk menghentikannya, hanya sebuah kunci lama dan semangat manusia yang mampu menjadi racun pembunuhnya, satu simbol bahawa dalam dunia serba canggih, masih ada ruang untuk keberanian tanpa skrip, kejujuran tanpa algoritma. Cruise bukan saja menggantungkan dirinya pada sayap kapal terbang di langit terbuka, dia juga menggantungkan seluruh kredibiliti sinema besar di hujung jarinya, memikul warisan aksi praktikal yang kini hampir pupus. Seperti Harold Lloyd menggantung pada jarum jam dalam 'Safety Last!' atau Gene Kelly menari dalam hujan, Cruise tidak pernah berlakon. Dia percaya.

Dan dalam 'The Final Reckoning', dia bukan saja menamatkan misi, tetapi menandakan bahawa layar perak masih boleh menjadi medan keajaiban, jika ada satu jiwa yang cukup gila, cukup nekad, dan cukup manusia untuk mempercayainya. Sungguh, ini adalah noktah yang ditulis dengan peluh, darah, dan cinta terhadap seni yang semakin dilupakan. Menulis ini sahaja sudah membuat saya meremang bulu roma. 'Mission: Impossible – The Final Reckoning' kalau menurut saya, bukan penamat yang sempurna. Tetapi ia adalah penamat yang berani, dan itu rasanya lebih dari cukup. 

Mulai 23 Mei 2025, filem ini akan menemui anda di pawagam seluruh Malaysia. Datanglah dengan hati terbuka. Mungkin ini kali terakhir kita melihat seorang bintang berlawan dengan maut, bukan untuk menyerlah, tapi untuk meninggalkan sesuatu yang tidak akan padam di hati kita, iaitu rasa kagum pada karisma dan magis yang pernah dan telah dipersembahkan.