Menyelami Konflik Trauma, Dendam, Salah Guna Kuasa Dan Misteri Kematian Dalam 'Balas Balik'

oleh: zizi hashim

Ada filem yang menghibur. Ada yang mendidik. Namun Balas Balik menghiris dari dalam. Tidak sekadar tentang proses menyiasat kematian, tapi juga gema kepada tangisan yang remuk, dendam yang tidak diberi peluang untuk sembuh. Disemai dari benih trauma dan kebisuan, filem ini mengetuk pintu keadilan dengan tangan yang luka. Bermula dengan tubuh seorang tokoh korporat, Datuk Roslan, yang ditemui tidak bernyawa, naskhah ini perlahan-lahan menyingkap hakikat bahawa tiada kematian yang benar-benar ‘bersih’ apabila sejarah silam berlumur racun. 

Awalnya diklasifikasi sebagai serangan jantung, namun langkah Detektif Zul (lakonan cemerlang Shukri Yahaya) menuju lebih jauh dari sekadar laporan bedah siasat. Dia menyelongkar bukan hanya dokumen, tetapi jiwa-jiwa yang terdera. Setiap hela nafas filem ini seperti membawa bau peluh korporat. Tertutup rapi dengan senyuman palsu, namun menyimpan keladak yang terapung. Detektif Zul, watak yang tidak beremosi secara klise, sebaliknya tampil dengan kebijaksanaan dalam diam. Dia tidak banyak bercakap, tapi setiap gerak-gerinya mendesak. Cara dia menyusun keping-keping puzzle, dari rakaman kamera pejabat yang kelabu hingga desas-desus di ruang rehat pekerja, menjadikan naskhah ini berlapis dan sangat manusiawi.

Apa yang menjadikan Balas Balik lebih daripada sekadar filem genre penyiasatan ialah betapa ia mencerminkan realiti sosial. Isu buli, gangguan seksual, dan kuasa yang disalah-gunakan tempatnya. Setiap watak dalam naratif ini bukan hanya sekadar pemain dalam misteri pembunuhan, tapi mewakili lapisan-lapisan luka masyarakat kita. Ada Nadia yang trauma, ada Angel yang menyimpan api, dan ada Adam yang cuba bertahan. Semua mereka pernah menjadi mangsa dalam sistem yang memuja keuntungan, tapi lupa pada kemanusiaan.

Nukilan skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim, nama yang tidak perlu diperkenalkan kepada peminat karya sinematik berlapis dan penuh intelektual. Wanita yang dikenali dengan kepekaan terhadap isu sosial dan pemikiran mendalam ini tidak mengecewakan. Skripnya tajam, penuh subteks, dan berani mempersoalkan sistem yang kononnya adil, tetapi acap kali berpihak pada yang punya kuasa. Dunia yang dibinanya untuk Balas Balik bukan dunia glamor detektif dan aksi letupan, tetapi dunia korporat yang dingin, penuh tipu muslihat, dan manusia yang menyimpan api dalam dada. Siti Jasmina Ibrahim menulis dengan rasa. Naratifnya terbangun daripada penelitian psikologi serta realiti sosiobudaya.

Shukri Yahaya melakar salah satu lakonan paling berlapis dalam kariernya sebagai Detektif Zul. Dia bukan wira. Dia bukan juga mangsa. Dia hanya manusia dengan beban yang tidak kelihatan, tetapi jelas menghimpit. Setiap renungannya mengandungi teka-teki. Setiap soalannya mengoyakkan permukaan yang cuba ditutup rapi. Shukri Yahaya menyampaikan wataknya dengan kelunakan batin yang luar biasa. Bukan garang, bukan juga dramatik, tetapi bersahaja dan menyakitkan.

Watak Roslan lakonan Tony Eusoff, walau sebahagian besarnya bergerak melalui ingatan dan rakaman lalu, tetap membekas. Dia bukan antagonis mutlak. Dia adalah cerminan mereka yang menyalahguna kuasa sesuka hati kerana tiada yang berani untuk bersuara. Lakonannya menimbulkan rasa muak, kasihan dan marah, serentak. Isyariana, Marissa Yasmin, Adam Lee—semuanya melengkapi dunia yang gelap, tapi realistik.

Filem ini tidak bergantung pada teknik besar atau visual mewah. Sinematografi yang minimalis dengan palet warna kelam berjaya membina atmosfera yang menyesakkan. Ibarat pejabat yang tidak pernah tidur, sarat dengan rahsia. Bunyi latar pula bagaikan bisikan yang menyebabkan hati penonton kekal berdebar, meski tiada satu pun peluru dilepaskan. OST “Balas” nyanyian Hariz Fayahet, ciptaan Nurzaidi Abd Rahman, pula menjadi pelengkap rasa. Bait-baitnya terasa seperti bisikan mangsa yang pernah dikhianati. Lagu ini bukan sekadar lagu tema; ia adalah naratif kedua yang menyalurkan perasaan yang gagal diungkap dengan dialog.

Ya, premis Balas Balik mungkin berputar pada kematian seorang CEO dan penyiasatan mengenainya. Tapi filem ini sebenarnya adalah cebisan kita semua. Tentang bagaimana sebuah tindakan kejam yang kita anggap ‘kecil’ seperti memperlekeh, memalukan, memaksa dan mengugut boleh merosakkan jiwa orang lain selama-lamanya. Sebagai penonton, saya  tidak mampu menonton dengan kepala kosong. Saya teringat wajah-wajah yang pernah menjadi mangsa buli di hadapan mata saya sendiri. Teringat komentar sarkastik yang pernah dilempar, baik oleh guru mahupun boss. 

Filem ini memaksa kita menoleh ke belakang. Melihat siapa yang pernah kita abaikan. Siapa yang pernah kita lukai secara tidak sengaja. Sutradara Feroz Kader tidak cuba meniru gaya Polis Evo atau Sheriff yang penuh aksi. Beliau tahu kekuatan filem ini bukan pada kejar-mengejar atau pistol. Tetapi pada tekanan psikologi. Pada teka-teki moral. Pada kegelisahan watak yang tidak mampu ditenangkan walau dengan jawapan. Beliau berani membawa naratif penyiasatan ke tempat yang lebih sunyi, lebih sakit, tempat yang kita cuba elak. Diperakui ada bau-bau bacang dengan filem Knives Out, saya teruja untuk mengetahui pengakhiran filem yang berdurasi 2 jam ini.

Feroz Kader juga bijak membentuk intensiti yang tidak terburu-buru. Dia mengarahkan dengan sabar, memberi ruang pada penonton untuk bernafas dalam panik, dan meneka dalam kabur. Tiada kejar mengejar dramatik, tiada letupan membingitkan. Sebaliknya, tekanan datang dari lorong-lorong gelap bangunan pejabat, dari ruang mesyuarat yang sempit, dari senyuman sinis yang tertahan. Dan hasilnya adalah naskhah yang tidak sempurna secara teknikal, tetapi sangat kaya secara intelektual dan emosional. Itu pendapat peribadi saya.

Filem ini memiliki ‘hook’ yang kuat untuk dikembangkan menjadi trilogi. Adegan akhir yang memperlihatkan sebuah credit scene misteri mungkin terasa ‘tidak perlu’ bagi sesetengah pihak, namun bagi yang menilai dari sudut dunia sinematik, ia seperti pintu yang dibiarkan renggang. “Apa lagi yang belum kita tahu?” soalnya. Meski terdapat beberapa kekurangan teknikal seperti penyuntingan yang sedikit kelam-kabut dan satu dua babak yang kurang logik, keseluruhannya Balas Balik tetap berdiri sebagai karya lokal yang berani menyentuh isu besar tanpa berselindung. Berani mengheret kita masuk ke dalam ruang yang selama ini kita hanya baca di berita.

Benar, ada babak yang sedikit canggung. Ada momen ‘cringe’ yang sepatutnya boleh ditapis. Dan ada juga plot twist yang mungkin dijangka oleh peminat tegar genre penyiasatan. Tetapi semua ini hanya bising kecil dalam filem yang bisingnya jauh lebih besar tentang sistem yang membisu terhadap penderitaan. Balas Balik bukan hanya mengajak kita meneka siapa pembunuh. Ia mengajak kita bertanya berapa ramai lagi Roslan yang belum terhukum? Berapa ramai Nadia yang masih hidup dalam ketakutan? Dan berapa banyak luka yang kita anggap biasa, sebenarnya sedang membunuh perlahan-lahan?

Filem ini harus ditonton dengan fikiran terbuka, dan hati yang bersedia diguris. Ia bukan hanya cerita penyiasatan, tetapi potret gelap masyarakat kita yang disorokkan di balik tirai korporat. Naskhah ini adalah suara mangsa yang terlalu lama diam. Ia sebuah puisi kesedihan yang diungkap dalam bentuk filem. Sarat luka, penuh makna, dan layak dikenang. Balas Balik kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 29 Mei 2025. Jangan hanya menonton, resapi teka-tekinya!