oleh: zizi hashim
Kadang, hidup tak memberi kita pilihan. Ia hanya hadir, menghempas seperti gelombang besar dan kita hanya mampu belajar berenang, meski belum bersedia. Itulah yang terjadi pada Moko (Chicco Kurniawan), calon arkitek yang rancangannya bukan hanya untuk bangunan, tapi untuk masa depan yang kini musnah dalam sekelip mata. Dalam satu kejadian tragis, kakaknya Agnes (Maudy Koesnaedi) dan suaminya Atmo (Kiki Narendra) meninggal dunia, meninggalkan anak-anak yang kini menjadi tanggungjawab penuh adiknya, Moko.
Bila hidup tidak lagi tentang diri sendiri, dalam sekelip mata seorang pemuda idealis berubah menjadi figura ayah dan ibu kepada Ima yang baru lahir, serta penjaga kepada Woko, Nina, Ano dan beberapa lagi jiwa kecil yang belum tahu getirnya dunia. Dan di tengah kekalutan itu, muncullah Ais (Kawai Labiba), seorang remaja yang dititipkan pula oleh gurunya kepada Moko. Apa pilihan yang dia ada, selain menerima? Di sinilah ironi mula bermain. Hidup Moko berubah menjadi potret paling jujur tentang bagaimana seseorang boleh dengan secara tiba-tiba menjadi dewasa bukan kerana usia, tapi kerana keadaan.
Disutradarai oleh Yandy Laurens, '1 Kakak 7 Ponakan' atau judul akrabnya 'Sakatupo' bukan filem klise yang bermain dengan air mata murahan. Sebaliknya, ia adalah drama kehidupan yang dibentangkan dengan rapi, realistik, sederhana, tetapi penuh perasaan. Mungkin ada yang tidak akan menangis di adegan yang dimaksudkan, tapi lambat-laun, emosi itu akan mengetuk dada secara perlahan. Dan saat ia pecah, ia pecah seikhlasnya.
Apa yang membuat filem ini begitu kuat adalah pendekatannya yang tulus. Tiada dramatik berlebihan, tiada muzik manipulatif yang terlalu menekan. Bahkan 3 lagu Sal Priadi yang digunakan sebagai soundtrack bukan sekadar pelengkap suasana, tapi jantung kepada seluruh naratif. Di layar, suara dan liriknya seakan memeluk setiap rasa yang cuba dibendung penonton. Bagi saya, ini salah satu kekuatan terbesar filem ini, iaitu ketika visual dan bunyi berdansa dalam kesenyapan.
Secara teknikal, 'Sakatupo' tidak menjanjikan sesuatu yang bombastik. Pengarah fotografi-nya bermain dengan pencahayaan natural dan framing yang intim. Setiap adegan seperti ingin menyuruh kita duduk dekat, lebih dekat, hingga kita rasa seperti salah satu ahli keluarga itu. Rumah yang sederhana, lorong-lorong sempit, ruang makan kecil, semuanya terasa dekat. Sinematografinya mungkin tidak menonjol, tapi cukup untuk menyampaikan apa yang ingin dirasai.
Lakonan para pelakonnya juga harus dipuji. Chicco Kurniawan tampil sederhana, tapi kuat dalam kesenyapan. Dia bukan watak yang meledak-ledak, dan itulah keistimewaannya. Sebagai Moko, dia mewakili ramai daripada kita yang lebih banyak mengiyakan daripada membantah, walau batin sebenarnya menolak. Amanda Rawles sebagai Maurin pula menjadi penyeimbang yang tepat. Sosok perempuan yang bukan hanya pasangan cinta, tapi kawan dalam diam, penawar yang tak banyak bicara tapi selalu ada.
Mungkin satu-satunya kekurangan filem ini adalah watak Moko yang terlalu “baik” hingga terasa jauh dari realiti. Adakah karektor seorang Moko itu benar-benar wujud di dunia nyata? Di dunia sebenar, kita jarang jumpa seseorang yang sanggup menerima 7 anak tanpa keluhan, tanpa keinginan untuk lari. Tapi dalam nuansa tidak realistik itu, ada harapan. Ada gambaran tentang manusia yang masih punya empati mendalam, yang boleh mengingatkan kita bahawa kebaikan yang luar biasa mungkin bukan mustahil.
Namun secara struktur, memang tempo filem sedikit kendur di pertengahan. Hanya yang sabar boleh bertahan dengan perjalanan slow burning filem ini. Klimaks emosi terjadi agak awal, lalu cerita berlegar-legar seketika. Tapi Yandy tahu apa yang dia lakukan. Di penghujung filem, ada satu ledakan emosi yang kembali menggugah, membuat kita kembali duduk tegak di kerusi. Terdiam, merenung, dan mungkin... menitiskan air mata yang tertunda.
'1 Kakak 7 Ponakan' bukan filem tentang hero yang menyelamatkan dunia. Ia adalah filem tentang manusia biasa yang terpaksa menjadi luar biasa demi orang lain. Dan kadang, itu adalah bentuk cinta yang paling agung. Filem ini tidak sempurna, tapi ia jujur. Dan kejujuran seperti itu dalam dunia sinema yang penuh pura-pura adalah sesuatu yang sangat mahal. Tontonlah filem ini di pawagam sejak 24 April 2025, bukan hanya untuk menyokong karya serumpun, tetapi untuk merasai sendiri betapa hidup ini boleh berubah dalam sekejap… dan bagaimana hati manusia mampu berkembang melampaui batas yang ia sendiri tak pernah bayangkan.