oleh: zizi hashim
Melangkah ke pawagam tanpa menonton filem sebelumnya, saya menghadapi M3GAN 2.0 dengan minda kosong tanpa sebarang jangkaan. Kejutan manis menanti apabila filem ini memikat hati pada detik pertama. Alur cerita dinamik berpadu aksi memukau, diselingi humor terpilih, menjadikan tontonan terasa segar tanpa kehilangan rencah aslinya. Ceritanya lincah, penuh gerak dan ledakan aksi, tapi tetap sempat bersenda secara bersahaja. Filem ini tidak cuba terlalu keras untuk lucu, dan mungkin kerana itu, ia sukses memberi pengalaman menonton yang menyeronokkan.
Penampilan M3GAN, android perempuan yang menyerupai manusia itu, pada mulanya membuat saya rasa janggal dan tidak selesa. Ada sesuatu yang ganjil pada wajahnya; terlalu sempurna, terlalu palsu. Rekaan visualnya memancar suasana aneh dan mengganggu ketenteraman jiwa. Namun seiring berlalunya waktu, karektor ini bertukar menjadi sesuatu yang menawan dengan personaliti berkesan. Membawa pesona mengejutkan dengan watak menyerlah dan mencuri perhatian, M3GAN adalah kecerdasan buatan dengan watak yang penuh keanehan, daya tarikan dan kedalaman emosional yang jarang ditemukan dalam genre sebegini.
Filem ini bijak menyelitkan pesanan sosial yang halus tapi menggigit. Dari sindiran terhadap budaya pemakanan, hingga gaya berlawan ala Wing Chun yang disisipkan rapi, ia memberi nilai tambah kepada cerita tanpa terasa dipaksakan. Ketika dunia moden ghairah dengan teknologi, M3GAN 2.0 tampil sebagai peringatan bahawa tidak semua ciptaan boleh dijinakkan sepenuhnya. Saya menonton dengan pengalaman lebih tajam dan mendebarkan, gabungan seram teknologi dan saspens psikologi. Sekuel meneroka tema mendalam kecerdasan buatan, keterikatan emosi, kawalan dan kini taruhan lebih tinggi dengan akibat mengerikan.
M3GAN 2.0 kembali lebih pintar, sedar diri dan merbahaya. Evolusinya dari AI memberontak kepada hampir menyerupai manusia menjadikan naratif menakutkan. Ketegangan dibina bijak, menunjukkan sejauh mana teknologi berkembang apabila tidak dikawal terutama ketika emosi tidak stabil. Secara visual tampil licin dengan kesan khas dipertingkat dan urutan aksi intens. Persembahan pelakon berakar umbi emosi mendalam, menjadikan kehadiran M3GAN lebih mengganggu. Peminat filem pertama tidak akan kecewa kerana ianya lebih seram, bijak, memberikan gambaran masa depan yang gelap.
Dua tahun selepas tragedi berdarah yang ditinggalkan oleh M3GAN, penciptanya, Gemma, kini menjadi aktivis keselamatan AI. Namun apabila teknologi lama dicuri dan dimanipulasi untuk mencipta senjata baru bernama Amelia, Gemma terpaksa menghidupkan kembali M3GAN. Kali ini dengan lebih banyak sekatan, tetapi juga dengan lebih banyak potensi untuk terdedah kepada ancaman bahaya. Cady, anak saudaranya yang kini remaja, memikul beban psikologi yang belum sembuh sejak kehilangan ibubapanya. Dia semakin jauh daripada Gemma, tapi makin dekat dengan dunia robotik.
Maka hubungan antara manusia, mesin dan deria rasa menjadi medan konflik sebenar dalam filem ini. M3GAN yang dulu hanya alat hiburan kini berubah menjadi sesuatu yang lebih mengerikan. Lebih pintar, lebih peka, dan lebih berbahaya. Namun yang paling menakutkan ialah dia semakin “manusia.” Dia mula memahami cinta, cemburu, dan bahkan ironi. Keprihatinannya terhadap Cady membuat saya tersentuh, meski pada masa yang sama meremangkan bulu roma. Siapa sangka robot boleh jadi lebih ikhlas dan tulus berbanding manusia?
Visual filem ini bergaya moden dengan kesan khas yang mantap. Aksi lebih padat, emosi lebih tajam. Lakonan Cady (Violet McGraw) sangat mengesankan. Dia bukan lagi si kecil ketakutan seperti dalam filem pertama, tetapi gadis yang membina dirinya dengan luka dan ilmu. Ironinya, Gemma yang patut menjadi pelindung kelihatan semakin hilang arah, terperangkap dalam ego dan idealismenya sendiri. Humor gelap yang pernah menjadikan M3GAN ikonik turut kembali dengan lebih tajam dan lebih sinis. Saya tertawa dan merintih dalam satu nafas. Babak pertarungan, babak menari, malah saat M3GAN menyanyi dengan gaya yang aneh, semuanya mengingatkan saya bahawa filem ini memang tahu siapa dirinya. Ia tidak malu untuk menjadi ‘gila’.
Namun tidak semua sempurna. Ada detik-detik yang terasa terlalu digarap untuk membuat penonton faham dengan cepat. Watak Christian, misalnya, digambarkan seperti parodi tipikal jurutera teknologi yang terlalu yakin diri, terkadang terasa berlebihan. Gemma pula semakin menjengkelkan dengan keputusan-keputusan yang terlalu terasing dari akal logik, meskipun mungkin itu sengaja dipaparkan sebagai cerminan dunia korporat yang hipokrit. Apa pun kekurangannya, M3GAN 2.0 tetap membuat saya duduk tegak dari awal sehingga ke akhir. Bukan lagi filem seram mutlak, ia kini sebuah epik teknologi bercampur psikologi, dengan elemen jenaka gelap yang memikat. Seperti Upgrade yang berjumpa Child’s Play, ia satu campuran yang aneh, tapi enak dinikmati.
Akhirnya, M3GAN sendiri tetap menjadi pusat graviti cerita. Boneka android canggih yang menyeramkan tetapi memikat, menakutkan tetapi merangkul. Evolusinya tidak membawa kematian, tapi kebangkitan baharu. Sebuah ikon pop masa kini yang menari di atas garisan tipis antara mesin dan perasaan. Tidak meninggalkan sebarang masalah dan kerdipan mata penonton, M3GAN 2.0 ada adegan menari, menyanyi, android pembunuh seksi termasuklah lelaki pelik yang memburukkan lagi keadaan. Meski penebusan M3GAN terasa janggal, keanehan filem menyelamatkannya.
Perubahan drastik dari asalnya tetapi masa yang menyeronokkan di pawagam, M3GAN mengukuhkan status ikonnya. M3GAN 2.0 kini ditayangkan di seluruh negara bermula 26 Jun 2025. Andai kamu pernah rasa curiga dengan telefon pintar yang mendengar perbualanmu secara senyap, atau kamera yang selalu menyala walau kamu tak pinta, filem ini akan membuatmu bertanya lebih jauh: Apa akan jadi apabila teknologi berhenti menjadi alat, dan mula menjadi tuan?