Luka Sejarah Yang Masih Berdarah, '731' Autopsi Ngeri Jadi Bahan Ujikaji

oleh: zizi hashim

Sejarah kadangkala berwajah ngeri, dan filem ini mengheret saya menyusuri lorong paling gelap dalam Perang Dunia Kedua. Unit 731, fasiliti rahsia tentera Jepun di Harbin, China, bukan sekadar angka; ia simbol derita manusia yang dilucutkan maruahnya dan dijadikan objek ujian. Filem ini berangkat dari kisah benar, dengan visual yang begitu realistik hingga membuat perut terasa bergelora.

Filem arahan sutradara Zhao Linshan yang ditayangkan pada 25 September 2025 di Malaysia membawa saya menyelami jurang paling kelam dalam sejarah Perang Dunia Kedua, sebuah bab yang jarang disentuh oleh sinema namun terlalu penting untuk diabaikan. Eksperimen senjata biologi yang kejam terhadap tawanan perang dari China, Rusia, Mongolia dan Korea pada tahun 1930-an dan 1940-an. Ketika saya membaca tentang Unit 731 sebelum menonton filem ini, saya merasakan kesedihan mendalam, bagaimana mungkin kekejaman sebegini berlaku atas nama sains dan perang?

Kisahnya berpusat pada Wang Yongzhang, seorang penjual jalanan China yang ditangkap lalu dipenjarakan di Unit 731. Dia dan tahanan lain diperdaya dengan janji kononnya akan sembuh daripada wabak, sedangkan hakikatnya mereka dihumban ke makmal sebagai “tikus makmal”. Dari titik inilah, perjalanan Wang berubah menjadi naratif wira anti-Jepun yang berusaha meloloskan diri bersama rakan-rakan tahanan, meski setiap langkah dihantui maut.

Dalang utama semua kekejaman ini ialah Profesor Shiro Ishii, seorang saintis Jepun yang taksub pada impian untuk menguasai senjata biologi. Baginya, kemenangan perang besar hanya mungkin jika Jepun berjaya mencipta wabak maut. Maka manusia dikorbankan tanpa belas kasihan. Lelaki, wanita, kanak-kanak bahkan bayi dijadikan tahanan dan tidak lagi dipanggil dengan nama; mereka hanyalah “log”, batang kayu yang boleh digergaji sesuka hati.

Zhao Linshan tidak mengambil jalan mudah dalam menceritakan kisah ini. Beliau memilih untuk mempersembahkan kekejaman Unit 731 dengan realisme yang kejam, tanpa sensasi yang dibuat-buat, tetapi melalui sinematografi yang tenang dan terkawal tetapi kejam memberi kesan seakan menonton dokumentari, bukan fiksyen. Setiap adegan disokong oleh bahan sejarah yang ketat, menyesakkan jenayah tidak berperikemanusiaan itu ke dalam minda penonton seperti cop besi panas. Setiap adegan dipaparkan dengan detail menjijikkan. Rakaman autopsi, tubuh terbakar dalam relau, wajah beku sebelum pecah.

Sepanjang durasi 2 jam 5 minit, saya merasakan diri saya ibarat saksi kepada sejarah. Salah satu kekuatan filem ini terletak pada keberaniannya menunjukkan sisi konflik yang berlapis: pertarungan dalaman tentera Jepun sendiri, saintis yang dilanda dilema moral, serta penderitaan mangsa yang masih mencari cahaya di celah kegelapan. Fokusnya tidak hanya pada kekejaman Unit 731, tetapi juga pada konflik dalaman antara tentera, saintis, dan mangsa-mangsa tahanan. Kita dapat melihat dari pelbagai sudut pandangan. Pengawal yang mungkin mula mempersoalkan perintah mereka, saintis yang berjuang antara ambisi saintifik dan nurani, dan sudah tentu, mangsa-mangsa yang cuba mempertahankan sisa-sisa kemanusiaan mereka.

Lakonan para pelakon China yang memegang watak Jepun begitu meyakinkan, menambahkan lapisan realiti yang mengganggu. Namun, ada kelemahan yang ketara terasa. Jalan cerita ada ketikanya bergerak terlalu perlahan hingga menimbulkan rasa mengantuk. Beberapa watak muncul sekejap lalu mati tanpa sempat diberi ruang yang cukup. Fokusnya terlalu terikat pada Unit 731 sahaja, tanpa memperluas perspektif perang yang lebih besar. Bagi yang mencari tontonan ringan, filem ini pasti terasa berat, bahkan sukar dihadam.

Pengakhiran filem ini amat menyayat hati. Jepun cuba memadamkan jejak kejahatan dengan memusnahkan fasiliti, membakar bukti, dan membunuh saki-baki tahanan. Ironinya, Shiro Ishii, otak di sebalik semua kekejaman, diberikan kekebalan oleh Amerika Syarikat sebagai tukaran kepada penemuannya. Sebuah fakta sejarah yang menyakitkan, menampar kesedaran bahawa dunia kadang lebih mementingkan ilmu senjata daripada keadilan untuk korban. 

Kalau menurut saya, menonton filem ini terasa seperti dipaksa membuka luka lama yang bernanah. Ia bukan sekadar mengisahkan perang, tetapi memaksa kita merenung tentang sifat manusia, betapa kuasa dan obsesi mampu menghapus empati, dan betapa tipisnya garis antara ilmu pengetahuan dan kegilaan. Memang berat, tetapi penting. Sejarah ini perlu terus dihidupkan agar generasi mendatang tidak pernah mengulangi ngeri yang sama.

Saya sebenarnya tidak suka menonton filem gore brutal seperti '731', tetapi akur ianya adalah sejarah hitam yang tidak patut dilupakan oleh generasi sekarang. Meski pengalaman menontonnya mencekik nafas, kepentingan amaran yang dibawanya menjadikannya mustahil dan tidak boleh dimaafkan untuk setiap orang yang berhati nurani untuk melepaskannya. Filem ini bergelumang dalam kesakitan, penderitaan, dan pelbagai kesan praktikal dan visual yang digunakan untuk menghidupkan kesengsaraan tersebut

Niat Zhao untuk mendedahkan sekeping sejarah yang mengerikan ini nampak tulen. Namun, teknik yang digunakan kadang-kadang terasa eksploitatif, dan oleh itu, tampak tidak ikhlas. Filem ini memberikan kita pemahaman tentang betapa dahsyatnya Unit 731, tetapi ia gagal memberikan penghormatan yang mencukupi kepada kemanusiaan mangsa-mangsa itu. Sepatutnya ada satu tanggungjawab untuk mengingati, menceritakan dan memastikan mereka tidak mati sia-sia.

Meski begitu, saya percaya filem ini perlu ditonton. Bukan untuk hiburan, tetapi untuk pendidikan. Bukan untuk keseronokan, tetapi untuk mengingati. Setiap generasi perlu mengingati supaya sejarah tidak berulang. Ketika saya keluar dari panggung, saya diberi sebiji epal yang tertulis "Semoga selamat pulang" dan itulah sebenarnya harapan saya agar semua mangsa-mangsa bahan ujikaji selamat pulang, tetapi harapan cuma tinggal harapan.