oleh: zizi hashim
Hadir sebagai detik sulung yang mencorakkan jejak baharu dalam jagat Marvel Cinematic Universe (MCU), kemunculan semula pasukan ikonik Fantastic Four: First Steps ini adalah sebagai pemacu yang diharap mampu mengangkat semula saga multiverse ke mercu naratifnya. Harapan menggunung dan persoalan bergema dari kalangan peminat, mampukah filem ini menjadi jambatan antara nostalgia dan visi baharu MCU, dari segi penceritaan mahupun pencapaian teknikal?
Untungnya, Fantastic Four: First Steps (FFFS) memberi tontonan yang selama ini didambakan para fanatika setianya. First Steps mempunyai nyaris semua yang perlu ada dalam adaptasi FF: cerita solid tentang 4 anggotanya, villain ikonik, dan pertaruhan bertema keluarga yang emosional. Membawa Reed Richards (Pedro Pascal), Sue Storm (Vanessa Kirby), Ben Grimm (Ebon Moss-Bachrach), dan Johnny Storm (Joseph Quinn) ke Earth-828, semesta alternatif yang berbeza dari semesta utama MCU, adalah percaturan bijak sutradara Matt Shakman bersama barisan penulisnya.
Langkah itu semakin sempurna berkat keputusan mengusung latar 1960-an yang disuntik dengan nuansa retro-futuristik menjadikan visual filem ini begitu menyerlah, bagaikan helaian komik klasik yang hidup kembali dalam bingkai moden MCU. Matt Shakman dan pengarah sinematografi Jess Hall menciptakan semesta alternatif itu total kontra dengan semesta Earth-616. Nuansa retro-futuristik juga memberikan kesegaran baru, seolah-olah penonton tidak sedang menyaksikan kisah MCU pada umumnya.
Eksplorasi First Steps terhadap latar New York City versi Earth-828 juga menawan. First Steps masih menampilkan tempat simbolik seperti Patung Liberty dan Times Square, tetapi juga membangun kota itu dengan imaginasi epik yang membuatkannya terasa berbeza dari biasa. Estetika FFFS yang mampu memanjakan mata semakin terasa berwarna kerana alunan muziknya ikut memikat telinga. Michael Giacchino yang sudah masyhur sebagai komposer meracik alunan scoring megah, dengan lagu tema utama Fantastic Four yang begitu nostalgik.
Keindahan dunia FF itu pun dengan mulus membawa penonton menuju kisah keluarga legenda yang hidupnya berubah setelah mengalami peristiwa kosmik. Matt Shakman, yang namanya harum setelah menjadi sutradara WandaVision (2021), kembali mempamerkan aksi apabila Feige memberi kepercayaan kepadanya untuk mengarahkan filem ini. Rekod dan visi Matt Shakman ketika membuat WandaVision ternyata sesuai untuk diaplikasikan semula dalam FFFS. Dia mengubah FFFS sehingga bersandar kepada dinamika Reed, Sue, Ben, dan Johnny.
Dinamika itu diterokai lebih lanjut saat Reed dan Sue dikurniakan anak lelaki bernama Franklin Richards. Shakman kemudian memeras elemen emosional itu lewat kisah motherhood Sue Storm dan Franklin. Satu lagi perkara yang menarik tentang cerita ini ialah sifat transparent dan berterus-terang. Filem ini memberi tumpuan kepada menceritakan kisah Fantastic Four di alam semestanya, tanpa tergesa-gesa untuk menunjukkan watak dari alam semesta lain atau crossover yang rumit.
Plot tidak berbelit itu membuat FFFS terasa seperti menghidupkan satu buku komik, fokus mengisahkan Mr. Fantastic, Invisible Woman, The Thing, dan Human Torch melawan Galactus. Namun, saya menghadapi sedikit dilema setelah menikmati tontonan berdurasi 114 minit ini. Method yang membuat First Steps menjadi salah satu filem tersingkat MCU itu ternyata membuat saya terasa hanya seperti berkenalan singkat dengan para karektornya.
Fantastic Four sememangnya sudah lama menjadi ikon, tidak perlu lagi diulang babak asal yang klise dan berulang-ulang. Saya akur dengan pilihan itu. Namun di sebalik keterujaan menyambut versi baharu ini, timbul rasa ingin tahu yang belum terjawab. Saya masih mendambakan ruang untuk menyelami lebih dalam sisi-sisi tersembunyi mereka. Bagaimana Sue sebenarnya mengemudi kuasa yang tidak kelihatan itu, bagaimana Ben mendamaikan diri dengan jasad barunya yang asing, dan bagaimana luka-luka kecil dalam kisah cintanya masih berdarah diam-diam.
Saya ingin tahu apakah yang benar-benar bergolak dalam jiwa Reed yang obses dengan logika, dan apa yang membakar Johnny di sebalik apinya yang sentiasa marak. Bahkan, Galactus (si pemakan planet) dan orang suruhannya Silver Surfer, meski besar pengaruhnya, terasa hanya tersentuh di permukaan sahaja. Mungkin filem ini sengaja menjanjikan lebih untuk yang akan datang, namun saya tidak menafikan ada kekosongan kecil yang terasa di sana sini.
Kuartet FF tampil solid dengan kemistri yang langsung terbangun sejak awal. Penonton dapat merasakan bahawa mereka bukan superhero yang kebetulan bersatu, tetapi memang sudah bersama begitu lama dan menjadi satu keluarga utuh. Di antara 4 peranan utama, Vanessa Kirby menjadi yang paling bersinar dalam FFFS. Dia sebenarnya punya tugas besar karena plot utama filem ini dibina di sekitar Sue Storm.
Lakonan cemerlang Vanessa Kirby lantas membuat kisah itu menjadi bernyawa hingga menampilkan banyak adegan emosional ketika Sue bertaruh di antara tugasnya sebagai ibu dan pahlawan super. Saya tak dapat menahan tangis, pipi saya basah, hati rasa sakit dan berdebar-debar ketika sama-sama turut merasai apa yang Sue rasakan. Sebagai ibu, tipulah kalau saya tak rasa! Naluri keibuan yang sanggup berbuat apa saja bahkan sanggup mati demi memastikan keselamatan buah hati pengarang jantungnya.
Gabungan Pedro, Vanessa, Ebon dan Joseph membentuk tunjang emosi dan tenaga kepada FFFS. Barisan pelakon pembantu turut memberi warna yang menyala, Julia Garner dan Ralph Ineson tampil sebagai antagonis yang memaku perhatian dengan kehadiran yang penuh aura. Malah pelakon sokongan lain seperti Sarah Niles, Mark Gatiss, Natasha Lyonne dan Paul Walter Hauser berjaya meninggalkan impresi meski ruang waktu mereka di layar amat terhad. Setiap wajah, setiap dialog, terasa seperti kepingan kecil yang menyempurnakan kanvas besar filem ini.
Pertarungan akhir yang mendebarkan mengakhiri naratif dengan kepuasan, meski adegan mid-kredit memberi petunjuk akan datangnya badai yang lebih hebat. Sebelum kekacauan itu meletus dalam saga Multiverse, ada baiknya kita nikmati dulu kemilau tenang semesta Earth-828, satu dunia alternatif yang dibina dengan kehalusan dan gaya retro-futuristik yang barangkali tidak akan kembali dalam fasa-fasa MCU seterusnya.
Jika ingin merasai pengalaman sinematik yang bukan saja menggetarkan deria tetapi juga menyentuh rasa, Fantastic Four: First Steps adalah wajib tonton bermula 24 Julai 2025. Dan kalau boleh, nikmatilah di skrin IMAX, setiap butiran visual terasa lebih hidup, dan setiap denyut emosinya lebih menyerap ke dada.