oleh: zizi hashim
Sejurus ternampak nama Stephen King si poster, cukup untuk membuat saya hadir. Tahun 2025 terasa lebih istimewa kerana giliran The Long Walk, kisah distopia yang sederhana dalam premis, namun berat dalam makna. Lantas, Francis Lawrence, sutradara yang pernah menggoncang layar dengan I Am Legend dan The Hunger Games, membawa saya masuk ke lorong gelap distopia yang brutal, penuh filosofi, sekaligus menyayat kalbu. The Long Walk terasa lebih intim, lebih getir dan lebih manusiawi.
Saya masuk ke pawagam tanpa banyak ekspektasi, hanya membawa pengetahuan samar tentang novel klasik 1979 itu. Tetapi perlahan-lahan, filem ini menjerat hati. Dari langkah pertama Ray Garraty (Cooper Hoffman) hingga setiap helaan nafas terakhir peserta lain, semuanya terasa begitu dekat. Suasana hening jalan panjang itu membawa saya hanyut, seolah-olah turut sama berjalan bersama mereka, menanggung beban tubuh, ketakutan, dan sisa harapan.
Yang membuat The Long Walk luar biasa bagi saya adalah keputusannya untuk berpaut pada manusia, bukan dunia distopia yang megah. Tiada sorakan massa, tiada spektakel besar seperti The Hunger Games. Hanya wajah-wajah penonton jalanan yang muram, dan peserta-peserta muda yang bercerita tentang keluarga, impian, dan kehilangan yang menunggu di penghujung jalan. Sembang borak kecil ini yang jadi jantung cerita. Saya ketawa ketika mereka saling menyindir, lalu menitiskan air mata ketika terpaksa melihat seorang demi seorang rebah.
The Long Walk datang bukan dengan dentuman spektakuler. Ia menyelinap perlahan, merayap, lalu mencengkam erat-erat hingga nafas jadi tersekat. Kalau tanya saya, karya ini muncul sebagai kejutan paling menggemparkan di 2025. Bukan sekadar kompetisi jalan tanpa garis penamat, ia adalah alegori kehidupan yang menyentuh sumsum tulang. Tentang harapan yang rapuh, persahabatan yang tulus, dan perjuangan meneruskan langkah walau takdir sudah menghunuskan pisaunya.
Film ini membuat penonton termasuk saya terdiam. Bahkan berlinang air mata. Perut saya berbelit, kaki saya berkedut gelisah. Menjelang separuh akhir, dada terasa sesak. Kenapa? Kerana Lawrence berhasil menampar kesedaran kita: mengapa kita bangun setiap pagi dan terus melangkah, meski dunia melemparkan segala kegetiran? Kerana itulah hakikat hidup, kita berjalan kerana masih punya tujuan. Kita berjalan meskipun tahu suatu hari nanti, langkah ini akan berhenti jua untuk selamanya.
Filem survival thriller ini menjadi kritikan pedas terhadap tentera diktator yang mengendalikan masyarakat dengan cara tidak berperikemanusiaan: menjadikan penderitaan anak muda sebagai tontonan. King seolah-olah mahu memperlihatkan bagaimana generasi baharu dimanfaatkan, dieksploitasi, bahkan dibuang demi mempertahankan ilusi stabiliti kekuasaan. Jalan panjang itu sepi, hanya sesekali menampilkan wajah-wajah warga yang menatap dengan ngeri atau jijik. Kehampaan visual ini boleh dibaca sebagai tanda bahawa publik sudah muak dengan sistem tersebut. Tidak ada glorifikasi, tidak ada sorak-sorai. Mesej ini menjadi semakin kuat kerana hadir di tengah suasana negara rejim kuku besi.
Dalam sunyi, setiap tapak peserta terasa lebih berat, ibarat mereka berjalan sambil menanggung dosa rejim yang memperalatkan mereka. Kritikan sosial yang tersirat ini menjadikan The Long Walk jauh lebih relevan dan mengena dibanding kebanyakan filem distopia moden. Cooper Hoffman melakonkan Raymond Garraty dengan nuansa rapuh tapi tegar membuat penonton merasa dekat dengan dilema batinnya, sementara David Jonsson sebagai Peter McVries tampil penuh karisma memberi cahaya, sosok sahabat yang sentiasa optimis dan sering mengingatkan tentang persahabatan tetap setia meski di ambang maut. Kemistri keduanya membuat ikatan persahabatan antara Ray dan Pete terasa nyata sekaligus memilukan.
Tambahan pula, Mark Hamill sebagai Sang Major menghadirkan antagonis yang kejam dan sinis; kehadirannya bagai bayang gelap yang mengekori setiap langkah. Dalam senyap, metafora kehampaan menjadi lebih menghiris, di mana penderitaan manusia dijadikan tontonan, dan kematian berubah menjadi statistik. Para pelakon sokongan juga tidak kalah kukuh, memberikan warna dan dinamika dalam perjalanan lebih 500 km yang terasa nyaris tak berhujung. Mereka bukan figura yang menunggu giliran mati, melainkan manusia dengan cerita, harapan, dan ketakutan masing-masing. Watak-watak inilah yang membuat filem terasa lebih peribadi, kerana setiap kematian bukanlah sekadar angka, melainkan kehilangan yang benar-benar terasa.
Rekomendasi tertinggi dari saya untuk anda menonton filem ini, Namun ingat, The Long Walk bukanlah tontonan ringan. Filem ini brutal, menyayat hati, dan sarat dengan adegan yang boleh melelahkan emosi. Ini bukanlah filem yang menghadirkan hiburan escapist, melainkan refleksi keras tentang hidup, kematian, dan sistem yang menindas. Maka dari itu, anda harus siap sedia secara mental sebelum menontonnya. Lalu, mengapa harus menonton filem ini? Kerana ia bukan sahaja tentang siapa yang bertahan hingga akhir, tetapi juga bagaimana manusia merespons penderitaan, membina ikatan, dan mempertahankan harapan di tengah situasi mustahil. Tak lupa, pesan tentang solidariti kelas dan keberanian dalam menghadapi takdir terasa sangat relevan dengan kondisi hari ini.
Saya akui saya sendiri terasa perut senak, kaki bergetar sepanjang tayangan. Ada saat saya ingin berpaling, tetapi cerita ini memaksa untuk terus berjalan, sama seperti para pesertanya. Ia menyayat, melelahkan, tetapi juga membangkitkan sesuatu: renungan tentang hidup, ketabahan, dan solidariti. Saya dan suami bermain teka-teki siapa yang akan menjadi juara akhirnya nanti meski sejujurnya saya tidak mahu sesiapa pun di antara mereka yang mati. Francis Lawrence berjaya mengembalikan roh Stephen King yang klasik, bahawa seram terbesar adalah realiti manusia itu sendiri.
Visual suram, skor muzik yang menusuk, serta dialog-dialog yang merayap ke dalam jiwa menjadikan filem ini sebuah pengalaman emosional yang jarang hadir dalam genre distopia moden. Tidak berlebihan jika saya menyebut The Long Walk sebagai salah satu adaptasi King terbaik dalam satu dekad ini. Dengan pengarahan solid, penampilan epik para pelakon, dan mesej sosial yang kukuh, filem ini adalah karya seni yang layak dipelajari. Untuk para pencinta Stephen King mahupun antusias filem distopia, The Long Walk wajib masuk senarai tontonan.
Menonton The Long Walk saya terasa seperti filem perang lama, dengan lelaki muda berbaris, melangkah satu demi satu, dengan ketidakpastian tentang apa yang menanti mereka. Semua elemen penting seperti kebanggaan, kemarahan, ketamakan, keberanian, bahkan kebaikan semuanya dipamerkan oleh barisan pelakon muda yang cemerlang. The Long Walk mungkin akan mengelirukan ekspektasi pencinta genre survival horror dan berlatar distopia. Namun, filem ini rasanya sayang dilepaskan jika ingin merasakan pengalaman berbeza daripada tema tersebut.
Setelah anda mula menonton The Long Walk, tiada jalan untuk berhenti atau berpaling, tidak kira betapa brutalnya filem ini tidak memberi pilihan selain untuk terus menggali kekuatan, terus melangkah, sekadar untuk melihat siapa yang bertahan hingga ke penghujung. Ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 11 September 2025,The Long Walk mengajar kita: hidup adalah perjalanan, tapak demi tapak. Dan selagi kita masih bernafas, kita akan terus melangkah, untuk mereka yang kita sayangi, untuk tujuan yang kita pegang, atau sekadar kerana itulah satu-satunya yang kita tahu: bertahan.