
oleh: zizi hashim
Saya memilih untuk datang menonton The First Ride dengan hati yang lapang, tanpa beban ekspektasi. Selepas terlalu kerap dikecewakan oleh janji manis yang tidak ditepati, filem Korea yang mengangkat tema persahabatan memang sentiasa menarik perhatian, penuh harapan, namun tanpa jangkaan tinggi. Ternyata saya dapat menikmati filem ini dan terhibur dengan komedi yang ditampilkan lewat permainan kata mahupun tingkah laku para pelakon yang mampu mengundang tawa dan menghibur.
The First Ride bermula dengan pengenalan 4 sahabat karib yang telah bersama sejak mereka berusia 6 tahun lagi. Tae-Jung (Kang Ha-neul), Do-jin (Kim Young-kwang), Geum-bok (Kang Young-seok), dan Yeon-min (Cha Eun-woo) adalah sekawan yang tidak terpisahkan, menghadapi segalanya bersama. Suka dan duka, gelak dan tangis, mimpi dan kecewa. Apabila Yeon-min yang bercita-cita menjadi DJ terpaksa mengikut keluarganya berhijrah ke New Zealand, mereka semua merancang satu percutian istimewa ke Thailand, tempat Yeon-min dapat bertemu dengan idolanya.


Namun seperti yang sedia maklum, wacana kerap kali hanya tinggal sebagai wacana. Rancangan percutian bersama itu tidak kunjung terlaksana, bahkan ketika mereka semua sudah dewasa dan masing-masing menempuh jalan hidup yang berbeza. Geum-bok masih terumbang-ambing mencari jati diri, meskipun ibunya memaksanya mengikuti jejaknya menjadi sami. Do-jin keluar masuk hospital kerana penyakit mental yang dihidapinya. Tae-jung sibuk sebagai pembantu ahli politik. Yeon-min nampaknya masih berada di New Zealand, mengejar impiannya yang jauh.
Malam itu, atas desakan kawan-kawannya, Tae-jung akhirnya bersetuju dengan percutian bersama yang sudah lama menjadi rencana. Dan percutian inilah yang akhirnya membongkar segala rahsia yang mereka pendam selama ini. Rahsia yang mungkin seharusnya kekal tersimpan, atau mungkin perlu diungkapkan untuk membebaskan mereka semua.
Nam Dae-joong, sutradara dan penulis skrip filem ini, dua tahun lalu pernah melahirkan sebuah komedi romantis yang benar-benar lucu dan benar-benar romantis berjudul Love Reset. Dengan kejayaan Love Reset yang masih segar dalam ingatan, saya datang menonton The First Ride dengan sedikit harapan bahawa Nam Dae-joong akan sekali lagi menghadiahkan karya yang menghiburkan dan menyentuh hati. The First Ride memiliki potensi besar untuk menjadi filem tentang persahabatan yang menyenangkan, namun terdapat beberapa kekurangan yang menghalangnya daripada mencapai kehebatan Love Reset.


Dari saat pertama kali muncul di layar, kesemua pelakon sukses menunjukkan seolah-olah mereka benar-benar sudah bersahabat sejak umur 6 tahun. Ini merupakan satu pencapaian yang tidak mudah, kerana kemistri yang autentik antara pelakon adalah salah satu elemen paling penting dalam filem yang mengangkat tema persahabatan. Kang Ha-neul sebagai Tae-Jung memikat penonton melalui gaya lakonannya yang bersahaja dan penuh emosi. Beliau cemerlang menyampaikan konflik dalaman seorang lelaki yang tersangkut antara tanggungjawab kerja dan loyalti terhadap sahabat-sahabatnya. Setiap adegan yang melibatkan Kang Ha-neul memancarkan keaslian yang jarang ditemui dalam filem-filem komedi masa kini.
Kemistri yang lucu antara Kang Ha-neul dengan pelakon Han Sun-hwa yang berperanan sebagai Ok-shim, kawan adik Tae-jung yang sangat obses meminatinya turut menghiburkan penonton. Han Sun-hwa membuat suasana menjadi lebih meriah dan lucu. Kehadirannya melengkapkan cerita filem dan menambah sensasi humor yang menyegarkan. Melalui peranannya sebagai Ok-shim yang terus mengejar cinta tanpa pantang menyerah, Han Sun-hwa membuktikan bahawa beliau bukan sekadar pelengkap cerita, tetapi satu elemen penting yang mengikat jalinan naratif dengan lebih kuat.


Di separuh kedua filem, Kim Young-kwang sebagai Do-jin mampu menampilkan sisi emosional karektornya. Perasaan emosional yang ditampilkan turut mengundang rasa hiba dan air mata penonton. Adegan-adegan yang melibatkan Do-jin bergelut dengan penyakit mentalnya disampaikan dengan begitu jujur dan menyentuh, membuatkan penonton merasai kesakitan yang dialami oleh watak ini. Sementara itu, penampilan Cha Eun-woo sebagai Yeon-min dalam The First Ride tidak begitu banyak seperti yang lain. Meski demikian, pelakon berusia 28 tahun itu dapat bergaul sebati tampa sebarang masalah dengan pelakon utama lainnya dan memanfaatkan kesempatan menampilkan lakonannya di layar dengan baik.
Setiap kali Yeon-min muncul, kehadirannya membawa satu dimensi baru kepada cerita. Satu dimensi yang mengingatkan kita tentang impian-impian yang terpaksa ditinggalkan demi realiti hidup yang keras. Watak lainnya yang tidak kalah menggeletek adalah Geum-bok yang dibawakan oleh Kang Young-seok. Tingkahnya yang lucu dalam filem berjaya menambah sensasi humor pada cerita. Geum-bok adalah karektor yang paling relatable bagi ramai penonton. Seorang lelaki muda yang masih mencari arah hidupnya, tersangkut antara harapan ibunya dan impian dirinya sendiri.


Sayangnya, semua lakonan cemerlang ini kurang seimbang dengan cerita yang diberikan. Hal terbesar yang membuat The First Ride kurang begitu lincah dalam bertutur adalah kekeliruan Nam Dae-joong menentukan siapa pemilik cerita ini. Sudut pandang yang dipilih pembuat filem ini terasa mengelirukan kerana karektornya tidak hadir di sebahagian besar cerita. Sudahlah tidak hadir, naratif malah berpindah-pindah yang membuat rasa filem ini kurang utuh. Terasa seperti menonton 4 cerita berbeza yang cuba digabungkan menjadi satu, tetapi tanpa satu benang merah yang kuat untuk mengikat semuanya.
Kekeliruan untuk menentukan sudut pandang ini mungkin ada hubungannya dengan kejutan yang sengaja disimpan di akhir. Tetapi kejutan yang hadir di penghujung filem datang terlalu lewat untuk menyelamatkan filem ini daripada kelemahan strukturnya. Tidak hanya itu, The First Ride juga mengalami kekeliruan dalam menentukan arah komedinya. The First Ride terasa salah nada. Peralihan dari komedi ringan kepada situasi yang lebih gelap dan berbahaya dilakukan dengan begitu mendadak sehingga penonton berasa keliru. Adakah ini masih filem komedi atau sudah bertukar menjadi filem thriller?
Apa yang paling saya hargai daripada The First Ride adalah keupayaannya untuk membawa penonton dari gelak tawa kepada air mata tanpa terasa dipaksakan. Filem ini tidak hanya menampilkan bahagian yang lucu sahaja. Penonton turut dibawa merasai kesedihan melalui kisah yang emosional, terutamanya apabila rahsia-rahsia yang terpendam akhirnya terbongkar. The First Ride menyampaikan satu mesej yang sangat penting tentang persahabatan sejati: bahawa persahabatan yang sebenar bukan tentang sentiasa bersama secara fizikal, tetapi tentang sentiasa ada untuk satu sama lain apabila diperlukan.
Meski mereka telah menempuh jalan hidup yang berbeza dan jarang bertemu, ikatan persahabatan mereka tetap kukuh. Mulai 13 November 2025, filem komedi-kembara Korea Selatan The First Ride bakal menghiburkan penonton di seluruh pawagam Malaysia. Saksikan sendiri kemistri memukau 4 bestie yang dalam perjalanan penuh gelak ketawa yang akhirnya membongkar segala rahsia terpendam mereka. 116 minit penuh emosi, humor, dan nostalgia yang akan membuat anda teringat akan sahabat-sahabat tersayang!