oleh: zizi hashim
Derapan langkah seekor T. rex merobek hujan deras di malam gelap masih tertinggal dalam ingatan saya sejak zaman VHS dan pawagam berskrin satu. Saya tumbuh dengan Jurassic Park, dan dahulu, melihat dinosaurus mengaum di bawah kilat seolah-olah menyaksikan magis sinema di puncaknya. Maka, setiap kali waralaba ini menghidupkan bab baharu, saya datang bukan untuk sinopsis, tapi untuk nostalgia dan harapan agar keajaiban itu kembali menyala.
Kali ini, harapan itu disandarkan kepada Gareth Edwards, sutradara yang pernah membawa Rogue One dan The Creator ke layar perak. Lewat Jurassic World: Rebirth, dia diberi tugas menghidupkan kembali francais yang kelihatan semakin letih berlari. Dan jujurnya? Ia satu hasil yang… bercampur-aduk! Cerita bermula 5 tahun selepas Dominion. Dinosaurus bukan lagi musuh besar, malah kini hanyalah gangguan harian, seperti burung liar yang sukar dikawal. Ada satu adegan, misalnya, di mana seekor sauropod diangkat dari East River New York di siang hari, dan orang ramai hanya memandang seolah-olah sedang menonton burung bangau.
Namun di sebalik ketenangan palsu itu, wujud agenda tamak manusia. Martin Krebs (Rupert Friend), tokoh korporat Big Pharma, mahu mengeksploitasi DNA makhluk purba dari sebuah pulau rahsia demi kepentingan “kemanusiaan”. Maka dibentuklah sebuah pasukan ekspedisi yang diketuai oleh Zora Bennett (Scarlett Johansson), tentera bayaran bergaya yang tetap tampil anggun walau berpeluh dalam hutan tropika. Turut serta, Dr. Henry Loomis (Jonathan Bailey), seorang ahli paleontologi yang kelihatan lebih seperti model sweater muzium, dan Duncan Kincaid (Mahershala Ali), kapten kapal berjiwa tenang tapi kurang ruang tampil.
Awal filem penuh dengan naratif sains, dialog penerangan dan pacing perlahan, seolah-olah membaca brosur pelaburan genetik. Saya mula tertanya-tanya: di mana jeritan? Di mana degupan jantung saya yang sepatutnya berlari seiring larian mangsa? Tetapi apabila kamera akhirnya menjejak rumput tinggi, dan nafas reptilia kuno mengaburi kaca kamera, barulah saya rasa denyutan itu. Adegan kejar-mengejar di hutan, di kedai serbaneka usang, hingga ke sarang raksasa di puncak tebing, semuanya terasa mendebarkan. Edwards membina skala dan ketegangan dengan cermat, dan saya kembali teringat mengapa dahulu saya jatuh cinta pada dunia ini.
Sayangnya, setiap kali momentum itu terbina, filem ini seperti menggigit lidah sendiri. Tiba-tiba muncul subplot keluarga yang terasa canggung, tentang seorang ayah (Manuel Garcia-Rulfo), dua anak remaja (Luna Blaise dan Audrina Miranda), dan teman lelaki menyebalkan (David Iacono). Mereka kelihatan seperti plot dari siri Disney yang tersesat ke dalam filem dinosaur. Tanpa sumbangan bermakna, mereka sekadar memperlahankan langkah filem yang sudah pun lambat.
Namun begitu, masih banyak sisi teknikal yang layak dipuji. Sinematografi oleh John Mathieson (Gladiator, Logan) menawarkan pemandangan yang memukau: cahaya mentari keemasan menari di permukaan laut, flare merah membelah langit malam yang cemas. Skor muzik oleh Alexandre Desplat pula menyisipkan motif klasik John Williams. Sejenak, saya terasa bagaikan kembali throwback ke dunia 1993 yang penuh kekaguman.
Scarlett, Ali dan Bailey berikan komitmen yang tinggi. Johansson cuba membawa Zora sebagai ikon kekuatan, meskipun naskhahnya terlalu nipis. Ali menyuntik kedalaman emosi dalam masa tayang yang singkat. Bailey, meskipun dibebani jargon saintifik, berusaha menjadikan wataknya lebih daripada sekadar alat naratif. Tetapi sayangnya, hubungan antara mereka gagal berkembang. Dinamika trio ini terasa ringkas dan dialog mereka lebih berbentuk penjelasan daripada perbualan tulen.
Jurassic World: Rebirth ialah sebuah produksi yang rapi dari sudut teknikal, visual dan aksinya kadang-kadang berhasil membakar adrenalin. Tema kapitalisme sebagai pemangsa utama sebenarnya relevan, tapi sayangnya disampaikan terlalu samar. Tiada rasa perlawanan yang cukup kuat, tiada titik emosi yang benar-benar tertancap.
Dan saya akui, D. rex si mutan baharu ciptaan waralaba ini langsung tidak mengesankan. Lebih kelihatan seperti makhluk dari filem Alien ataupun seiras rupa ikan flowerhorn, dan kehadirannya di awal dan hujung filem hanya membuatkan ia terasa seperti umpan pemasaran, bukan tulang belakang cerita. Saya rindukan raksasa yang punya jiwa, bukan yang sekadar menjerit dengan CGI.
Namun begitu, ada detik-detik dalam filem ini yang membuat saya diam. Adegan seekor raptor menatap langit penuh asap, atau bunyi nafas berat yang menggema di balik semak. Momen-momen ini mengingatkan saya bahawa di balik semua letupan dan babak lari-menyorok, masih ada keajaiban kecil yang tersisa.
Jurassic World Rebirth bukanlah kegagalan mutlak, tetapi ia juga bukan kebangkitan yang saya antisipasikan. Ia adalah refleksi francais yang terus mencari makna dalam dunia yang semakin letih dengan rekaan semula. Seperti kata Jurassic Park dahulu: hanya kerana kita boleh buat, tidak bermakna kita perlu.
Tetapi kalau anda datang untuk merasa semula denyut kagum zaman kanak-kanak, masih ada serpihannya di sini, tersembunyi di antara suara dinasaurus, hutan yang gelap, dan harapan yang masih punya harapan dan belum benar-benar terpadam. Tayangan serentak bermula 3 Julai 2025 di seluruh dunia, dengan durasi 2 jam 14 minit, pergi lah tonton dan nilai sendiri.