oleh: zizi hashim
Di tengah gemerlapan kota futuristik Cyberaya, ketika langit malam dihiasi lampu-lampu digital dan dunia bergantung harap pada teknologi yang makin rumit, seorang budak lelaki memikul misi yang jauh melebihi usianya. Namanya Ali. Seorang anak biasa yang secara tidak sengaja telah menjadi luar biasa. Satu nama itu kekal mengukir tempat di hati penonton: Ejen Ali. Kini, wira kecil dari Cyberaya kembali dengan misi yang lebih getir, lebih mendalam dan lebih menyentuh emosi dari sebelumnya.
Sudah hampir satu dekad sejak watak budak lelaki biasa bernama Ali diserap masuk ke dunia penuh rahsia dan teknologi oleh agensi perisikan MATA. Dari animasi TV ke layar lebar, dari satu siri ke satu francais, perjalanan ini bukan hanya tentang hiburan. Ia tentang keberanian seorang remaja yang belajar bahawa menjadi wira bukan hanya tentang kuasa, tapi tentang memilih apa yang benar walau jalan itu sukar. Filem sekuel ini membuka lembaran baharu kepada pengembaraan Ali, yang kini menyertai program elit SATRIA, sebuah pasukan perisik muda dengan sut berteknologi tinggi dan AI sebagai pendamping.
Namun, cabaran sebenar muncul bila dunia siber mula diganggu oleh Neonimus, seorang penggodam misteri yang menyimpan dendam terhadap MATA dan terhadap Ali sendiri. Ketika rahsia demi rahsia terbongkar, Ali terperangkap dalam dilema antara tanggungjawab, kesetiaan dan keberanian. Malam gala tayangan perdana 'Ejen Ali The Movie 2' (EATM2) di IOI City Mall bukan sekadar pelancaran filem; ia adalah detik yang membawa kembali harapan dan kebanggaan kepada dunia animasi tempatan. Tidak hanya penuh aksi dan visual yang memukau, EATM2 menyentuh emosi melalui penceritaan berlapis dan runut bunyi yang meresap ke jiwa.
Lagu "Hanya Kamu" dari Dato' M. Nasir bukan sekadar tema, ia adalah suara hati Ali, dan suara hati kita semua yang pernah merasa hilang, lalu bangkit semula. Begitu juga "Teman Sejati" oleh Nidji dan "Penjuara" oleh Hael Husaini, membalut setiap adegan penting dengan makna dan rasa. Filem ini adalah hadiah untuk semua yang tidak pernah berhenti percaya pada Ejen Ali. Proses pembikinannya, yang bermula sejak sebelum pandemik, ibarat satu misi sebenar. Panjang, penuh rintangan, tapi akhirnya berjaya ditamatkan dengan bangga.
Pada malam yang bersejarah, 19 Mei 2025, di panggung gah IOI City Mall Putrajaya, tirai misi terbaru dibuka dengan penuh gemuruh dan harapan. Tayangan perdana Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) mengembalikan semangat dan cinta terhadap dunia animasi tempatan. Dunia di mana keberanian kecil bisa menggoncang bahaya besar. Setelah 6 tahun sejak filem sulungnya mencipta sejarah dengan kutipan lebih RM30 juta, Ejen Ali kini kembali dengan lebih matang, lebih laju, dan lebih sarat dengan konflik jiwa.
Mulai 22 Mei 2025, penonton seluruh negara akan dibawa menyelami dunia baru Ali yang jauh lebih kompleks, emosional dan menggugah jiwa. Di bawah Projek SATRIA, Ali menggalas perisai berteknologi tinggi yang memerlukan bukan hanya kecerdasan, tetapi keteguhan hati dan ketulusan niat. Namun, tidak semua musuh datang dari luar. Kadang, musuh itu hadir dalam bentuk keraguan, keputusan yang sukar, dan ketidakpastian akan siapa yang benar dan siapa yang hanya menyamar. Rizwan kembali, meminta pertolongan. Neonimus pula bangkit, membawa dendam lama dan misteri baharu. Dalam dunia yang dipenuhi tipu daya dan rahsia, langkah Ali bukan sekadar tentang misi tetapi tentang menjadi seorang yang benar-benar layak dipanggil ‘wira’.
Filem ini bukan hanya menyambung cerita, ia menyambung harapan. Sejak mula ditayangkan di TV3 pada 2016, 'Ejen Ali' telah menjadi harta intelek kebanggaan Malaysia, menembusi lebih 65 negara dan menjadi saksi kepada kejayaan anak tempatan mengangkat animasi ke tahap dunia. Di sebalik animasi penuh aksi, terletak cerita tentang kehilangan, kepercayaan, pengorbanan, dan keberanian memilih kebenaran dalam kekeliruan. Ejen Ali bukan sekadar hiburan, ia adalah cermin kepada jiwa muda yang sedang membesar dalam dunia yang semakin rumit.
Tayangan awal di 9 lokasi GSC habis terjual dalam masa singkat, tanda bahawa semangat Ejen Ali terus membara dalam hati peminat. Lebih 70 pawagam kini bersedia menyambut ribuan penonton yang ingin menjadi sebahagian daripada misi ini. Pelbagai barangan eksklusif ditawarkan, dari figurine edisi terhad hingga peranti IRIS dan bucket popcorn berwajah wira. Dalam dunia yang sedang mencari-cari harapan, 'Ejen Ali The Movie 2' tampil membawa sinar. Ia mengingatkan kita bahawa walaupun dunia makin rumit, satu perkara tetap perlu dijaga iaitu keberanian untuk memilih apa yang benar.
22 Mei ini, Cyberaya memanggil. Dan Ali, si kecil yang tidak pernah menyerah, bersedia melangkah ke medan perjuangan sekali lagi.