Keajaiban Air Mata Wanita: Kisah Pelangi Datang Selepas Hujan Hadiah Dari Iman Dan Percaya

oleh: zizi hashim

Tiada siapa yang pernah benar-benar bersedia untuk kehilangan. Apalagi kehilangan yang datang tiba-tiba, menggugurkan segala impian yang telah lama dibina. Begitulah nasib Kiki, seorang wanita, seorang ibu, seorang isteri, yang satu demi satu ditarik dari kehidupannya. Namun, dari keruntuhan itulah, Keajaiban Air Mata Wanita menemukan denyut emosinya, lalu memahatkan kisah yang tidak hanya memukul hati, tetapi juga menyuluh harapan.

Filem arahan sutradara Indra Gunawan ini, bukan sekadar melodrama konvensional. Ia adalah perjalanan batin yang memaut, menelanjangi duka dengan kelembutan visual, dan membiarkan penonton berlama-lama dalam ruang refleksi tentang kekuatan sebenar seorang wanita. Tatkala pawagam Malaysia bakal menayangkannya pada 12 Jun 2025 di Malaysia, kisah Kiki sudah pun bersedia untuk mengetuk setiap pintu jiwa.

Kiki (lakonan cemerlang Citra Kirana) dahulu adalah wanita yang tampak 'lengkap'. Suami penyayang, anak perempuan yang ceria, karier yang stabil, semuanya kelihatan seperti kehidupan yang terancang rapi oleh semesta. Namun, hanya dalam sekelip mata, suaminya Ronald meninggal dunia. Dan dengan itu, dunianya yang bersinar, seakan rebah dalam gelap yang panjang.

Apa yang menyusul selepas itu adalah kejatuhan demi kejatuhan. Hilang pekerjaan, rumah tergadai, kewangan runtuh, dan kepercayaan diri terhakis. Lebih tragis, masyarakat sekelilingnya terus menuntut agar dia tetap tegar, tetap tersenyum, tetap kelihatan ‘kuat’. Namun Kiki adalah manusia, bukan tugu. Dalam gelap yang menyesakkan itu, cahaya kecil datang dalam bentuk seorang sahabat lama bernama Rahma, yang dimainkan Natasha Rizky dengan aura lembut dan mendamaikan. Rahma memperkenalkan Kiki pada ilmu Magnet Rezeki, sebuah panduan kerohanian yang membangkitkan kesedaran bahawa setiap fikiran adalah doa, dan setiap air mata bukan sekadar kesedihan, tapi getar harapan.

Apa yang membuat Keajaiban Air Mata Wanita begitu istimewa ialah kejujurannya. Ia tidak cuba membina naratif palsu tentang wanita super yang mampu menepis semua ujian dengan senyuman palsu. Sebaliknya, ia menyelami luka terdalam, dan membiarkan kita menyaksikan bagaimana seorang wanita boleh bangkit bukan kerana dia kuat, tetapi kerana dia rela mengakui kelemahannya, lalu belajar mencintai dirinya semula.

Sinematografi filem ini membawa emosi penonton ke perut perasaan yang paling jujur. Cahaya lampu kekuningan yang sendu, rona pastel yang membalut kedukaan, dan tatapan kosong Kiki yang terasa seperti jeritan dalam senyap. Setiap bingkai seperti puisi yang tidak selesai dibaca. Penampilan Citra Kirana sebagai Kiki begitu mencengkam. Ia bukan sekadar lakonan malahan ianya adalah penghayatan yang meresap. Dari mata yang sembab kerana tangis yang tak berkesudahan, hingga senyum kecil yang perlahan-lahan muncul saat harapan menjenguk kembali, Citra Kirana mewakili jutaan wanita yang pernah tersepit dalam sunyi mereka sendiri.

Dan tentu saja, kehadiran Rezky Aditya sebagai Bagas, lelaki baru yang hadir saat Kiki tidak lagi berharap pada cinta, menyuntikkan makna tentang peluang kedua. Tetapi lebih penting dari itu, filem ini menunjukkan bahawa ‘penyelamat’ terbesar sebenarnya bukan orang lain, tetapi diri kita sendiri.

Sorotan yang tidak patut dilupakan adalah watak Rahma. Dilakonkan dengan kehangatan dan kelembutan oleh Natasha Rizky, Rahma adalah lambang sahabat sejati yang tidak menilai, tidak mendesak, hanya ada, dan tetap ada. Dinamika antara Kiki dan Rahma bukan sekadar pelengkap jalan cerita, tetapi denyut emosi yang menyempurnakan naratif. Hubungan mereka mengingatkan kita bahawa di dunia yang sering membuat wanita bersaing dan saling membanding, masih wujud persahabatan yang tulus. Yang saling memegang tangan saat yang satu hampir jatuh. Yang saling mendengar tanpa perlu menasihati secara berlebihan.

Benang merah yang mengikat keseluruhan filem ini adalah konsep ikhlas. Ikhlas melepaskan, ikhlas menerima, dan ikhlas berharap. Keajaiban Air Mata Wanita bukan mahu mendidik bagaimana harusnya kita menjalani duka, tetapi ia menjadi saksi bahawa kesabaran dan keyakinan pada sesuatu yang lebih besar dari diri, akan membuka pintu yang tidak disangka.

Sebagaimana ucapan Ustadz Nasrullah dalam filem ini:
"Agama mengajarkan agar semua perasaan ini dikelola agar mendapatkan keajaiban."

Bukan semua filem mampu memindahkan kita ke dunia yang membuatkan kita mahu lebih memeluk kehidupan sendiri. Tetapi Keajaiban Air Mata Wanita melakukannya. Ia tidak sempurna, ada detik yang mungkin terasa lambat, naratif yang sesekali jatuh ke wilayah klise. Namun emosi yang dibawanya terlalu tulus untuk diabaikan. Filem ini mengajarkan bahawa air mata bukan kelemahan, tapi bentuk tertinggi keberanian. Dan bahawa dalam setiap kehilangan, ada ruang baru yang mungkin belum pernah kita jelajahi.

Ruang untuk menemukan diri, ruang untuk memaafkan takdir, dan ruang untuk percaya bahawa takdir tidak pernah benar-benar kejam. Untuk setiap hati yang pernah patah, setiap ibu yang pernah hilang pegangan, dan setiap wanita yang pernah merasa tak cukup, Keajaiban Air Mata Wanita adalah naskhah yang akan memeluk kamu dengan lembut, dan berbisik: kamu tidak sendirian. Tayangan bermula 12 Jun 2025. Bawa tisu! Dan mungkin, jangan sampai lupa bawa hatimu yang sedang mencari cahaya terang.