oleh: zizi hashim
Sekeping kaset lama yang terbiar di rak arkib rupanya menyimpan jeritan yang tidak pernah sempat didengar. Di sebalik pita yang mereput itu, Misteri Rumah Darah membuka semula luka-luka lama. Bukan hanya pada tempat, tetapi pada jiwa yang menyelongkarnya. Filem ini tidak menjerit-jerit untuk menakutkan. Ia menghantui perlahan-lahan, seperti bayang-bayang yang enggan berpisah dari langkah penontonnya.
Shafeera, seorang pengacara muda yang mempunyai semangat membara dalam dunia penyiaran, dipilih mengendalikan versi baharu rancangan realiti mistik Percaya Nggak Percaya. Ketika menyelongkar arkib syarikat, dia menemui sebuah kaset misteri bertajuk Rumah Darah, rakaman lama yang dikatakan tidak pernah ditayangkan. Bersama sahabatnya dan seorang paranormal, dia cuba menyingkap kebenaran di sebalik kaset itu, tanpa menyedari bahawa setiap detik yang dibongkar membuka pintu kepada sesuatu yang jauh lebih gelap.
Bermula dari kaset, cerita beralih ke sebuah rumah tinggal yang memeluk rahsia. Aura rumah itu terasa seperti dindingnya masih menyimpan suara yang tidak mahu diam. Dengan pendekatan found footage dan gaya sinematografi yang malap dan merayap perlahan, penonton tidak sekadar menonton, mereka ditarik masuk untuk menjadi saksi. Rasa tidak selesa mula membiak dari frame ke frame, bukan kerana hantu melompat keluar, tetapi kerana atmosfera yang dibina terasa begitu jujur dalam menakutkan. Efek bunyi halus seperti bisikan, ketegangan senyap menumbuhkan rasa tidak selesa yang berterusan, menyentuh wilayah psikologi penonton.
Lakonan Wavi Zihan sebagai Shafeera membawakan transisi jiwa yang meyakinkan dan patut diberi kredit. Transformasi dari seorang wanita profesional yang selalu yakin kepada figura yang rentan, dihimpit oleh trauma, benar-benar menyuntik nyawa dalam naratif filem ini. Keberkesanannya dikuatkan oleh aksi pelakon tambahan seperti Tyan Anugrah, Emil Kusumo, Diky Chandra dan Gendhis Maharany yanng membina tenaga emosi yang berlapis dan menghidupkan suasana realistik, seolah-olah kita menonton rakaman sebenar.
Dari segi konsep, filem ini memanfaatkan nostalgia era ‘lost media’ dan realiti mistik rancangan awal 2000-an dengan membalikkan trauma lama ke layar besar tetapi ia lebih dari sekadar euforia nostalgia, menjadikannya filem seram yang bukan hanya mahu menakutkan tetapi mahu kita ingat rasa itu lama selepas keluar dari pawagam. Rekaan hantu masih klise dengan rambut panjang, kulit pucat, urat menyeramkan mengurangkan impak sesetengah pencinta genre seram. Jalan cerita juga didapati sangat mudah dijangka pada awalnya, meski ada plot twist menjelang klimaks yang memperkaya kesan.
Meski begitu, Misteri Rumah Darah tetap memiliki jiwa. Ia tidak sempurna, namun jujur. Ia tidak flamboyant, tapi meninggalkan kesan. Kekuatan utama filem ini bukan hanya pada aspek teknikal. Ia terletak pada lapisan psikologi yang perlahan-lahan terbuka. Filem ini tidak sekadar menyeramkan, ia mengganggu emosi. Ketakutan Shafeera bukan datang dari makhluk asing, tetapi dari suara dalam dirinya yang menjerit minta dikeluarkan. Dan apabila kebenaran akhirnya terbongkar, rasa seram bertukar menjadi simpati, marah dan geram kerana ‘dalang’ sebenar bukan hantu, tetapi manusia yang kehilangan nurani.
Secara keseluruhan, filem ini berjaya menyusun ketegangan perlahan dan membawa penonton pada perjalanan emosional dari rasa ingin tahu, ketakutan, lalu simpati dan kemarahan apabila kebenaran terbongkar. Satu peringatan bahawa masa silam yang tidak diselesaikan akan sentiasa menunggu. Mungkin dalam rak kaset yang berhabuk. Mungkin dalam rumah yang ditinggalkan. Mungkin juga… dalam diri kita sendiri.
Jika anda mencari filem seram yang menyentuh emosi sambil membangkitkan nostalgia, Misteri Rumah Darah ialah pilihan yang mesti ditonton. Meremang? Pasti. Akan menghantui minda? Begitu sekali. Tetapi ingat, tidak semua kebenaran layak dibongkar… terutama jika kita tidak bersedia untuk menerima harga disebalik pembongkaran itu. Tayangan bermula 26 Jun 2025 di pawagam seluruh Malaysia. Hati-hati, bukan semua kisah mahu didengar, tetapi ada yang tetap berdegil untuk diceritakan.