Hanya Namamu Dalam Doaku: Ketika Cinta Di Uji Sakit, Tekad Berjuang Bersama Meski Sulit

oleh: zizi hashim

Ada saat-saat dalam hidup ketika tubuh perlahan-lahan mengkhianati jiwa, namun hati masih berdegup setia pada orang-orang tercinta. Itulah medan getir yang harus dilalui Arga (Vino G. Bastian), seorang suami sekaligus ayah, saat di diagnosis menghidap ALS (Amyotrophic Lateral Sclerosis), penyakit langka yang perlahan merenggut fungsi motoriknya hingga menuju maut. Apa yang sepatutnya dibicarakan dengan kejujuran kepada keluarga justeru dia pilih untuk simpan sendiri. Dengan alasan tak masuk akal, kononnya tidak mahu membebani Hanggini (Nirina Zubir) dan puteri mereka, Nala (Anantya Kirana), Arga memilih jalan sunyi untuk merahsiakan penyakitnya.

Saya melihat seorang lelaki dengan prinsipnya yang menolak goyah, sebodoh apa pun itu, pada awalnya menjalani rumah tangga harmoni. Keberadaan puteri mereka semakin melengkapi kebahagiaan keluarga kecil tersebut. Namun ketika diuji sakit, selalunya manusia normal akan memberitahu kondisi itu kepada keluarganya. Mungkin terpukul buat sementara waktu, kemudian bangkit lalu berjalan beriringan hingga akhir hayat. Hanya 2 orang yang mengetahui kondisi Arga iaitu Rio (Ge Pamungkas), sepupu sekaligus rakan sekerja, kemudian Marisa (Naysila Mirdad), bekas kekasihnya ketika belajar bersama yang kini menjadi Doktor.

Kalau menurut saya, keputusan Arga untuk merahsiakan penyakitnya adalah sungguh kejam, egois dan tentu sekali, bodoh. Lambat laun Hanggini justeru curiga bahawa Arga berselingkuh dengan Marisa. Nala yang cerdas pun segera memahami konflik orang tuanya. Arga enggan keluarganya terbebani, namun tanpa dia sedari, kebohongan itu malah memberi beban yang tidak kalah (atau bahkan lebih) berat. Begitulah lelaki beserta pemikiran kaku yang sukar memandang permasalahan dari sudut pandang orang lain, juga kecenderungan mereka merahsiakan perihal yang tidak sepatutnya dirahsiakan.

Santy Diliana dan Elin Yuma selaku penulis naskhah ini faham benar sisi problematik dari lelaki seperti Arga. Apatah lagi dengan status ketua keluarga, yang membuat mereka membebani diri sendiri dengan beragam tanggungjawab, meski sang isteri dan anak mengharapkan sebaliknya. Dalam hal ini, salah apabila menganggap perempuan lebih keras kepala. Hanya Namamu dalam Doaku (HNDD) mengambil risiko dengan bermain di garis batas antara garis romantis atau menyindir sinis fenomena tersebut. Kuncinya terletak pada momen saat Rio dan Marissa, yang dipaksa oleh Arga menyembunyikan penyakitnya, nekad memberitahu fakta itu pada Hanggini. Secara tidak langsung naskhahnya membantah perspektif si protagonis.

Lakonan cemerlang barisan pelakon sungguh menawan, dari Vino yang mampu menghindari kesan karikatur ALS telah meragut banyak kapasiti motorik Arga, Nirina Zubir dengan ledakan emosinya yang terasa menusuk, sehingga Anantya Kirana yang kembali menunjukkan kecerdasan lakonan selayaknya pelakon dewasa. Ge Pamungkas pun cukup baik, hanya saja performanya di sebuah adegan pertengkaran dengan Nirina lebih efektif memancing ketawa berbanding pilu. Apapun kaedah pengarahan sutradara Reka Wijaya, terutama pilihan tata kameranya, turut bertanggungjawab atas kebodohan yang tidak disengajakan itu.

Bagaimana membuat penonton terhubung dengan sikap lelaki seperti Arga? Ada alasan mengapa sinema arus utama cenderung menghindari tuturan yang mempamerkan ketidaksempurnaan protagonisnya. Perlu kreativiti lebih tinggi untuk membuat penonton bersedia menaruh simpati, yang sayangnya belum filem ini miliki. Bagaimana pengarahan Reka Wijaya menjauhi melodrama klise, dengan meningkatkan tahap emosi maksima dalam setiap babak memang wajar diberi diapresiasi, tetapi di majoriti kesempatan, Hanya Namamu dalam Doaku masih bergantung pada muslihat lama yang tidak mampu mendasari kerumitannya sendiri.

Saya tidak pasti suka atau marah ketika Hanggini memutuskan untuk berpisah dalam satu ledakan emosi. Baginya, selingkuh adalah batas mutlak. That's it! Enough! Yang pastinya saya setuju dan apabila Arga berbohong mengiyakan konon dia memang berselingkuh, saya jadi marah. Di sinilah filem ini memainkan konflik batin penonton, apakah berbohong demi kebaikan boleh dibenarkan? Apakah niat tulus mampu selamanya menghindari luka? Sambil menyembunyikan rasa sakitnya, Arga tetap bekerja keras membangun usaha catering yang diimpikan Hanggini. Filem dengan cermat memperlihatkan sosok ayah yang tetap ingin 'berdaya' di saat kondisi tubuh yang kian melemah.

Perubahan Hanggini dari marah menjadi menyesal sangat terasa apabila mengetahui hal sebenar. Lakonan Nirina Zubir menyerlah ketika dia menyedari bahawa cinta mereka tak seharusnya berakhir dalam salah faham, lebih-lebih lagi setelah mengetahui kondisi Arga. Puncak emosi filem hadir saat Nala bertemu kembali dengan sang ayah setelah lama terpisah, kerana Arga memilih pergi dari rumah. Adegan tangis rindu di antara ayah dan anak ini menjadi titik balik paling menyentuh. Saya menangis, saya positif mungkin seluruh panggung turut menangis berkongsi derita keluarga ini. Simpati, kasihan namun hanya mampu pasrah.

Arga akhirnya pulang semula ke rumah, setelah dipujuk sang anak. Fokusnya bukan untuk sembuh, tapi untuk menghabiskan sisa waktu bersama orang yang dicintai. Ketiganya kembali tertawa, bercanda dan saling berpelukan. Momen kebersamaan yang singkat itu justeru terasa paling menyayat. Rasanya seperti diingatkan bahawa kebersamaan tidak selalu lama, tetapi bisa menjadi sangat bererti. Air mata sulit dibendung ketika mereka memilih untuk tertawa, bukan meratap, di tengah kenyataan bahawa waktu mereka yang tertinggal cuma sedikit. Ada banyak babak dalam filem ini terasa sangat dekat dengan realiti. Soal menahan rasa sakit demi orang lain, hangatnya sebuah keluarga, komunikasi yang sering terlambat, juga salah faham yang seharusnya dihindari dengan kejujuran dan keberanian untuk bersikap terbuka.

HNDD adalah keberanian menyuarakan realiti ALS, memberi penghormatan kepada para pejuang dan para penjaga yang tanpa lelah merawat dengan sepenuh kasih sayang. Dalam setiap babak, ada pesan lembut yang mengingatkan kita bahawa sakit ini bukan hanya milik tubuh, tetapi juga keluarga yang ikut bertahan. Lebih daripada itu, Arga adalah lambang lelaki yang terikat pada norma maskulin toksik, dipaksa oleh dunia untuk tampak gagah, menolak air mata, menekan kerentanan. Ia menanggung sendiri beban yang seharusnya boleh dikongsi, sehingga cintanya berubah jadi salah faham. Melalui watak ini, filem membuka ruang renung: lelaki pun berhak untuk rapuh, berhak menangis, berhak meminta dipeluk tanpa merasa dihukum oleh pandangan orang.

Hanya Namamu Dalam Doaku bukan sekadar melodrama keluarga, tetapi sebuah cermin tentang manusia yang terlambat jujur, tentang cinta yang diuji sakit, dan tentang doa yang menjadi jambatan terakhir ketika kata-kata tak lagi mampu diucap. Ia mengingatkan kita bahawa kerentanan bukanlah kelemahan, melainkan sisi paling manusiawi yang sepatutnya dirayakan. Meski saya merasa agak frustrasi dengan pendekatan naskhah yang terlalu menahan diri, terutama dalam menggali details perubatan tentang penyakit ALS. Namun saya tahu disitulah daya tarik filem ini, bukan tentang penyakitnya, melainkan tentang manusia di sebalik penyakit itu.

Tidak hanya berpusat tentang ALS, HNDD ini adalah renungan tentang cinta yang diuji sakit, tentang penerimaan, dan tentang keberanian untuk tetap merangkul meski dunia seakan merenggut segalanya. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 4 September 2025 dengan durasi 1 jam 53 minit. Jangan lupa sediakan tisu kerana pada akhirnya, ia bukan hanya cerita tentang kehilangan, melainkan tentang bagaimana rapuhnya manusia apabila menjadi sumber kekuatan yang paling tulus.