oleh: zizi hashim
Dengr judulnya saja, Gerbang Setan, mungkin langsung terbayang ada banyak syaitan berkeliaran, pintu neraka terbuka luas, atau penonton teriak-teriak ketakutan. Tetapi tunggu dulu, belum pun 5 minit filem bermula, seluruh pawagam sudah gamat dengan ketawa berdekah-dekah tak berhenti. Saya pun tak terkecuali, pecah perut tergelak besar! Ya, filem ini memang membawa label genre filem seram, tetapi jangan tertipu, komedinya jauh lebih menendang. Malah, ada masanya saya rasa hantu dalam filem ini pun ‘kalah lucu’ dengan pelakon-pelakonnya. Serius, filem ini lebih banyak buat saya ketawa daripada menjerit. Belum sempat rasa takut, saya sudah tercungap ketawa semula.
Gerbang Setan mengisahkan 5 sahabat: Diki, Beni, Rachel, Bagas dan Wina, yang ‘tergoda’ untuk mencuba pengalaman pelancongan seram di sebuah desa terpencil bernama Lawase Urip. Apa yang mereka anggap percutian santai berubah menjadi perjalanan yang sarat gangguan ghaib, mitos purnama berdarah, dan ritual yang menuntut nyawa. Namun semua itu dipersembahkan dalam adunan yang bijak, antara seram dan jenaka. Cak Lontong sebagai pemandu pelancong misalnya, muncul dengan gaya serius tapi penuh sindiran jenaka. Komeng, seperti biasa, mencuri perhatian dengan gaya spontan dan penuh kejutan. Setiap kali ketegangan memuncak, ada sahaja babak atau dialog yang meletuskan ketawa, mengendurkan saraf.
Kalau menurut saya, itulah kekuatan sebenar Gerbang Setan. Ia tahu bila mahu menakutkan dan bila perlu menceriakan. Ia menyentuh tema klasik filem seram seperti kampung terkutuk, korban manusia, roh pendendam tetapi tidak membebankan dengan terlalu banyak klise. Sebaliknya, ia bermain dengan mood penonton, menghayun kita dari seram ke lucu, dari panik ke riang.
Visual kampung Lawase Urip dirakam dengan cukup teliti. Sunyi, terasing, dan menyimpan banyak rahsia. Suasana malam yang gelap, bunyi serangga dan tiupan angin semuanya menyatu dalam landskap bunyi dan visual yang meyakinkan. Kononnya, kisah ini diinspirasikan dari kisah benar sebuah kampung yang hilang pada era 1950-an. Meskipun tidak disahkan, naratif itu memberi naskhah ini satu lapisan tambahan yang menambah seramnya.
Pelakon-pelakon muda seperti Ummy Quary, Rizza Fahlevi, dan Renaga Tahier tampil bertenaga dan tidak tenggelam dalam kehadiran pelawak-pelawak legenda. Kemistri mereka terasa autentik. Bahkan pelakon sampingan seperti Bopak Castello dan Denny Chandra memberi sentuhan tersendiri pada watak kampung yang aneh dan penuh misteri. Adakalanya saya rasa cerita ini boleh dijangka terutama jika anda penggemar filem seram. Beberapa plot twist terasa lemah, dan momentum cerita sedikit perlahan di tengah.
Namun semuanya ditebus oleh dialog lucu dan persembahan pelakon yang tidak pernah membosankan. Satu hal yang pasti, Gerbang Setan bukan filem seram tipikal. Ia tidak cuba menakut-nakutkan secara agresif, sebaliknya menggunakan humor dan komedi sebagai benteng agar penonton tidak tenggelam dalam rasa gentar. Ia mengingatkan kita bahawa dalam dunia yang penuh kegelapan, ketawa adalah pelita terakhir yang menyelamatkan.
Dan apabila saya dengar filem ini akan mula ditayangkan di Malaysia pada 7 Ogos 2025 oleh Big Fortune Movie Sdn. Bhd., saya rasa ia langkah yang tepat. Penonton Malaysia pasti akan menikmati kombinasi ‘seram main-main’ ini dengan cara santai tetapi menyengat. Justeru, kalau anda rasa minggu anda berat dan perlukan sesuatu yang menegangkan tetapi menghiburkan, pergilah tonton Gerbang Setan. Dan kalau anda datang dengan geng yang kuat gelak, lebih afdal! Cukup menghibur, cukup berbeza, dan cukup mengingatkan bahawa filem seram tak semestinya perlu serius untuk memberi kesan.