oleh: zizi hashim
Sukar untuk dijelaskan bagaimana ngeri itu merayap masuk, bukan melalui jeritan, tetapi menerusi gangguan bunyi yang berulangkali dari atas kepala. Bunyi yang pada awalnya tampak remeh, namun lama-kelamaan menjelma menjadi denyut ketakutan yang menyesakkan dada dan otak. Filem Noise arahan sutradara Kim Soo Jin ini membedah kegelisahan urban yang paling halus, iaitu bunyi. Dan bagaimana bunyi yang tidak kelihatan itu mampu merobek kewarasan, mengoyak emosi, dan mencetuskan trauma yang sukar ditafsirkan dengan kata-kata.
Watak utama, Joo Young, lakonan penuh intensiti oleh Lee Sun-bin, bukanlah tipikal heroin filem seram. Dia seorang wanita yang dilukis dengan palet kesunyian dan ketabahan. Ketika dia menerima berita bahawa adiknya, Joo Hee, hilang tanpa jejak, langkah kembalinya ke apartmen lama mereka bukan hanya satu pencarian fizikal tetapi satu perjalanan menelusuri suara-suara yang disorokkan oleh tembok, siling dan orang-orang sekeliling yang 'bisu'. Gangguan bunyi yang disangka remeh mula bertukar menjadi mimpi ngeri yang perlahan-lahan menelan akal dan kewarasan.
Teman lelaki adiknya, Ki Hoon (Kim Min Seok), menyertai pencarian itu. Namun, semakin mereka menyusur lorong-lorong gelap apartment tersebut, semakin kabur garis pemisah antara realiti dan halusinasi. Bunyi ketukan dari atas yang tidak pernah berhenti. Nota-nota ancaman yang ditampal penuh marah. Seorang lelaki misteri di tingkat bawah lakonan Ryu Kyung Soo yang mencengkam, menjadi lambang segala ketidakwarasan yang dipendam oleh masyarakat moden.
Visual Noise adalah puisi dalam bentuk kegelapan. Pencahayaan samar, bingkai sempit, sudut kamera yang menghimpit, semuanya dirangka untuk menanam perasaan klaustrofobia. Terdapat adegan papan kekunci pintu yang dicakar, seolah-olah kemarahan dan ketakutan telah bertukar menjadi tingkah fizikal yang ekstrem.
Poster promosi filem ini memperlihatkan nota bertulis tangan dengan ancaman mengerikan: “Diam, sebelum aku hancurkan mulutmu.” Ia bukan sekadar reka bentuk produksi, ia adalah isyarat bahawa gangguan mental dan emosi tidak memerlukan makhluk ghaib untuk hidup, cukup dengan manusia dan bunyi yang tidak difahami.
Yang menjadikan filem ini lebih menyentuh ialah latar fizikal dan psikologi watak Joo Young. Dia mengalami masalah pendengaran. Lantas, setiap bunyi baginya bukan sekadar deria tetapi ancaman. Ia mengingatkan saya pada Wait Until Dark yang menggunakan kekurangan fizikal watak sebagai medan suspens, tetapi Noise membawa pendekatan ini lebih jauh. Menggabungkan trauma kolektif masyarakat urban dengan horror peribadi yang menyesak dada.
Teks visual yang berat dan rekaan bunyi yang menekan menjadikan Noise pengalaman sinematik yang tidak menyenangkan secara sengaja. Ia memaksa penonton untuk tidak hanya melihat, tetapi mendengar dengan seluruh tubuh. Kadangkala, diam itu sendiri menjadi senjata. Dan ketika Joo Young mula mendengar bunyi yang sama seperti adiknya sebelum hilang di sebuah unit yang dikatakan kosong selama berbulan-bulan, penonton mula menyedari bahawa ini bukan pencarian biasa. Ini adalah pencungkil rahsia yang telah lama dibiarkan membusuk di bawah lantai.
Adegan klimaks membawa kita ke ruang bawah tanah, lokasi yang menjijikkan dan seakan-akan hidup. Tiada raksasa. Tiada darah memercik berlebihan. Tetapi atmosferanya cukup untuk membuatkan bulu roma meremang. Bahkan ketika filem ini tergesa-gesa menutup babak akhir, impaknya masih kuat kerana ia telah menyusun rasa gentar secara perlahan-lahan sejak dari awal lagi.
Lee Sun-bin adalah nadi utama filem ini. Mimik mukanya, tubuhnya yang sering tegang, getaran suara yang menahan panik, semuanya memaut emosi. Dalam satu adegan, dia memegang risalah kehilangan adiknya sambil menangis perlahan, mulutnya terkumat-kamit menenangkan dirinya sendiri. Babak yang terlalu sunyi untuk diabaikan. Kim Min Seok pula membawa dimensi yang lebih rasional dalam kegilaan, manakala Han Soo Ah sebagai Joo Hee hadir melalui bayangan dan ingatan yang menghantui.
Sutradara Kim Soo Jin, dalam karya sulungnya, menunjukkan kematangan yang mengejutkan. Dia tidak bergantung pada jumpscare murahan. Sebaliknya, dia membina ketegangan seperti simfoni gelap. Meningkat, menyusut, dan akhirnya meledak dalam keheningan yang menusuk. Dia memuji Lee Sun Bin sebagai pelakon yang segera memahami ‘jiwa’ watak Joo Young, dan saya akur sepenuhnya.
Penduduk apartment yang lain dilukis dengan wajah-wajah acuh tak acuh, mewakili masyarakat yang lebih mementingkan keuntungan pembangunan semula berbanding kehidupan sebenar yang terhapus. Mereka adalah saksi bisu kepada kehilangan, dan juga pelindung kepada kegelapan yang tersembunyi. Filem ini bukan hanya tentang bunyi yang mengganggu, tetapi tentang bagaimana kita mengabaikan panggilan minta tolong yang disuarakan dalam bentuk paling halus sehingga semuanya sudah terlambat.
Usai tayangan, saya keluar dari pawagam dan sejenak memandang ke siling pusat beli-belah yang tenang. Entah mengapa, bagai ada getaran halus yang berdesing di telinga saya, kononnya. Filem ini tidak mengakhiri pengalaman setelah tirai ditutup, ia ikut pulang mengendap bersama, menyelinap ke dalam ruang sunyi.
Noise ialah refleksi urban yang menyakitkan, naskhah seram psikologi yang berjaya menyelinap masuk ke dalam deria paling primitif kita, bunyi. Dan dari situ, ia menggugat akal, menyesakkan dada, dan meninggalkan gema yang sukar dipadam. Jika anda mencari filem yang akan membuatkan anda memerhati siling rumah dengan curiga, atau terhenti sebentar sebelum menekan loceng lif di apartmen sendiri, Noise adalah untuk anda.
Tayangan di pawagam Malaysia bermula 17 Julai 2025 dengan durasi 1 jam 35 minit. Jangan tunggu bunyi itu datang kepada anda. Tontonlah Noise dan biarkan ia menyapa kegelisahan yang selama ini anda biarkan lena dalam diam.