Filem Seram Dramatik 'The TuTor' Buat Pelajar Tertekan, Trauma, Depresi Sampai Mati

oleh: zizi hashim

Tenang bukan jaminan. Di dalam kepala remaja yang dipaksa selalu cemerlang, angin boleh menderu sekuat ribut taufan. Filem The Tutor, garapan sutradara Khun Bandit Thongdee, seperti membuka pintu kepada dunia tempat pelajaran tidak lagi datang dari buku tetapi dari entiti yang tidak bernama, tidak berwajah, hanya hadir sebagai rasa tertekan yang menggigit jiwa. Langit tidak selalu biru untuk anak yang terpaksa belajar demi orang lain. Selalu dipaksa untuk membanggakan keluarga tetapi tidak pernah ditanya: “Kau bahagia?” 

The Tutor menyuluh ruang itu dengan lentera malap yang tidak menyilaukan, tetapi cukup untuk kita melihat habuk-habuk luka di antara baris subjek dan gred. Membawa penonton menyusuri ruang gelap jiwa remaja yang terbeban oleh harapan keluarga, sambil mencampur-adukkan seram, drama dan sedikit humor tragik dalam satu sajian yang aneh tetapi dekat di hati. Ia bukan semata tentang hantu. Ia adalah tentang sistem. Tentang tekanan dan depresi yang diwariskan seperti kerusi buruk dalam rumah lama. Tidak berguna, tapi tidak boleh dibuang. 

Ada Belle, siswi pintar yang sentiasa menurut kata dan sekaligus tunduk pada cita-cita ibunya. Impian besar, kerjaya stabil, status doktor yang diukir sebelum dia sempat bertanya, “Siapa aku sebenarnya?” Adiknya, Best, jauh berbeza. Dunia media sosial lebih memikat hatinya, tetapi apabila Belle mulai menunjukkan kelakuan ganjil selepas menyertai kelas tuisyen misteri, Best terpaksa menjadi pelindung. Kelas itu kononnya diajar oleh ‘guru hantu’ yang menjanjikan kejayaan akademik, tetapi harga yang perlu dibayar ialah masa, tenaga, kewarasan dan kadangkala, nyawa.

Belle dipaksa belajar, bukan sahaja oleh ibu, tetapi juga oleh roh yang menjelma sebagai semangat sistem itu sendiri. Yang dipanggil ‘guru’, tapi mengajar dengan dera, dengan pengulangan tak bertepi, seolah-olah dunia hanya akan mengiktiraf mereka yang berjaya menghafal. Belle menjadi boneka kepada pelajaran yang tak membebaskan. Sambil itu, adiknya Best yang dianggap tiada nilai kerana tidak suka buku menjadi satu-satunya suara waras yang cuba mematahkan kitaran tersebut.

Sebagai penonton yang juga pernah diasak dengan impian orang lain, ada luka yang digali perlahan-lahan sepanjang filem ini. Ada babak yang menyakitkan, terutama apabila si ibu meletakkan semua harapan hanya pada seorang anak. Mencintai yang satu dan mengabaikan yang lain. Dialognya kadangkala lucu, namun menampar jika diteliti betul-betul.

Plot bermula ringan dan agak santai, memperkenalkan Belle, Gott dan Pai sebagai remaja biasa yang sedang mencari jalan keluar dari tekanan akademik. Apabila mendengar kisah mistik tentang ‘kelas bersama hantu’ yang dikatakan mampu menjamin lulus semua subjek menerusi Cikgu Phi Wan yang misteri, mereka memutuskan untuk menyertai kelas terbiar di sebuah pusat tuisyen terkenal demi mencari jalan keluar daripada tekanan pelajaran yang kian menghimpit. Namun, apa yang disangka harapan bertukar menjadi pintu masuk kepada kelas yang dipenuhi unsur ghaib. Dari saat itu, mereka dihantui dan "diajarkan" dengan cara-cara yang menyeramkan, seolah terperangkap dalam satu kitaran pembelajaran yang tak berpenghujung.

Dari sudut sinematografi, filem ini tidak menipu rasa. Warna-warna suram, lorong pusat tuisyen yang sempit, bunyi derap kasut yang perlahan, semua menyumbang kepada suasana seram yang sederhana tetapi efektif. Babak jumpscare hadir tidak berlebihan. Yang lebih mengganggu ialah ironi bahawa pelajaran paling menakutkan dalam hidup selalunya diajar oleh orang yang paling kita sayang. Hubungan adik-beradik antara Belle dan Best, walaupun tidak selalu manis, terasa begitu nyata. Watak ibu pula dilukis sebagai simbol tekanan dalam diam. Dia tidak memarahi, tetapi dengan setiap harapan yang disebut, setiap impian yang dipaksa masuk ke tubuh anak-anaknya, dia menjadi cermin kepada begitu banyak realiti keluarga kita.

Sayangnya, tidak semua watak dikembangkan sepenuhnya. Cikgu Phi Wan, watak utama di sebalik kekacauan, hanya disentuh dari segi permukaan. Watak yang sepatutnya kuat, hanya muncul separuh masak. Ada potensi yang tidak digunakan sepenuhnya. Saya berharap ada lebih banyak lapisan tentang siapa dia, kenapa dia wujud, apa sejarahnya. Saya teringin tahu lebih banyak tentang latar belakangnya. Kenapa dia begitu? Apa yang dia cari dari anak-anak ini? Bayang-bayangnya menakutkan. Namun sayang sekali, bayang-bayang itu hilang sebelum sempat saya jejaki. Jiwa yang mencipta bayang itu masih samar. Sekiranya ia dijelaskan, pasti lebih menggugat.

Namun, semua kekurangan itu seakan dimaafkan oleh barisan pelakon yang karismatik khususnya heroin yang tampil dengan aura memukau. Tatapannya menyimpan trauma, suaranya menggambarkan jerit sunyi. Dan watak adik-beradik Belle dan Best? Satu hubungan yang membuat tersenyum sebak. Sedikit perlindungan, sedikit sayang yang tak terucap, semuanya menjelma dalam perbuatan diam-diam. The Tutor bukan filem seram klise. Ia menyoal sesuatu yang lebih dalam: tentang sistem yang membunuh perlahan-lahan, tentang ibu bapa yang mencintai tetapi tidak mendengar, tentang anak-anak yang ingin bernafas dalam dunia yang memaksa mereka menjadi orang lain.

Sebagai penonton yang pernah dipaksa percaya bahawa 'cemerlang' adalah satu-satunya jalan bahagia, filem ini mengetuk pintu lama dalam diri. Ia mengganggu dengan cara yang lembut, tetapi mencucuk. Ia membuatkan kita tertanya, adakah selama ini kita benar-benar belajar… atau sekadar bertahan dari tekanan? Jika anda tonton sebagai hiburan semata, mungkin akan terasa ringan. Tetapi jika anda pernah hidup dalam acuan impian orang lain, filem ini seperti cermin yang memantulkan semula wajah yang disembunyikan. Wajah remaja yang hanya ingin bertanya: bolehkah aku pilih jalanku sendiri?

The Tutor mungkin tidak sempurna, tapi jujurnya, ia meninggalkan gema. Dan kadang-kadang, kejujuran itu lebih menakutkan dari hantu. Anak-anak juga berhak bermimpi. Bukan hanya menghidupkan impian orang tua. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 19 Jun 2025, ada yang berani tonton tak?