'F1: The Movie' Papar Panorama Litar, Lumba Kereta, Adrenalin Laju dan Langkah Berani Kembali ke Garis Mula

oleh: zizi hashim

Terus terang saya datang menonton kerana Brad Pitt. Tak peduli tentang apa kisah kali ini, yang penting ada Brad Pitt.  Saya yang tidak tahu apa-apa tentang F1, tidak pernah minat dan tidak mahu ambil tahu langsung dengan sukan lumba kereta, akhirnya terpesona… dan jatuh cinta berat, serius! Durasi 2 jam 35 minit terasa sangat sekejap, saya rasa tak puas dan mahukan lebih lagi. Termasuk hari ini sudah kali ketiga saya menonton 'F1: The Movie', saya jangkakan akan lebih banyak lagi selepas ini, mungkin. Setiap orang yang saya jumpa, pasti akan saya berikan rekomendasi tertinggi dan suruh mereka pergi tengok cepat.

Deruman enjin kereta lumba yang meluncur laju di atas aspal panas merobek keheningan litar dengan semangat membara dan keghairahan menyala. Kisah tentang bagaimana masa lalu, luka, dan ketakutan boleh menjadi bahan bakar untuk kebangkitan semula dijadikan plot naratif dalam 'F1: The Movie'. Membuka tirai bukan dengan ledakan dramatik, tetapi dengan getar halus sebuah jiwa yang belum selesai. Dan di situlah saya mulai tenggelam di bawa arus deras tayar-tayar meluncur dan bunyi bingit yang pernah saya benci suatu ketika dulu.

Sonny Hayes, cemerlang di tangan Brad Pitt. Dia adalah legenda yang telah lama tersisih dari dunia yang pernah mengangkatnya ke puncak. Dahulu pelumba unggul, kini hanya bayangan masa silam, seorang yang tenggelam dalam kenangan dan kesunyian. Tidak lagi muda, tubuhnya menyimpan parut zaman silam; karier yang pernah gemilang terhenti mendadak akibat tragedi di litar. Namun, apabila pasukan APXGP kian terbenam dalam kegagalan dan rasa putus asa, Sonny dipanggil kembali. Untuk menghidupkan semula jiwa yang hampir hilang, untuk menyambung harapan yang hampir putus.

Saya akui, selain Brad Pitt, saya datang menonton dengan harapan yang bercampur-baur. Antara ingin menyaksikan kehebatan sinematografi, dan pada masa sama, mencurigai apakah ini hanya satu lagi kisah comeback’klise. Tetapi 'F1: The Movie' mengejutkan saya dengan cara yang perlahan, hampir senyap. Ia tidak segera mengaum seperti kereta F1 yang meluncur laju, tetapi membina dirinya dari dasar. Dari luka, keheningan, dan keinginan untuk menebus kegagalan. Saya berani declare 'Best Movie of The Year!'

Sutradara Joseph Kosinski, yang pernah mengarahkan Top Gun: Maverick, sekali lagi membuktikan bahawa dia memahami bagaimana memvisualkan kelajuan dengan ketepatan emosional. Dia mengajak penonton menyusuri lorong nostalgia dan tekad, dengan visual memukau hasil tangan sinematografer Claudio Miranda. Bersama-sama, mereka mencipta panorama balapan yang begitu dekat dan menggigit. Setiap selekoh tajam, setiap sudut litar, dari Silverstone hingga Yas Marina, dan kelajuan meluncur itu buat saya terasa bagaikan berada di dalam kokpit sebenar, mencengkam stereng dengan peluh dingin di telapak tangan.

Adegan kejar-mengejar di trek bukan sahaja membuatkan jantung saya berdegup kencang, tetapi juga menyelitkan pertarungan batin yang jarang kelihatan dalam genre sukan. Lebih mengharukan, filem ini tidak hanya menghidangkan sisi maskulin perlumbaan, tetapi membuka jendela ke dalam hati seorang lelaki yang ingin membuktikan bahawa dia masih punya nilai. Dan ketika Brad Pitt memegang stereng itu, saya tidak lagi melihat seorang bintang Hollywood, saya melihat lelaki berusia 61 tahun yang masih mahu bertarung, bukan kerana trofi, tetapi kerana dia belum mahu menyerah kalah terhadap dirinya sendiri. 

Meski naskhahnya tidak sarat kejutan, formula naratif underdog comeback yang digunakan tetap memberi impak emosional. Ia tidak terlalu rumit, namun disulam dengan perincian teknikal F1 yang memuaskan. Dalam satu sisi, ia meraikan dunia balapan; pada sisi lain, ia menyentuh sisi manusiawi di sebalik helmet dan visor, tentang harga diri, keraguan, dan keinginan untuk terus relevan meskipun dunia telah bergerak jauh. Brad Pitt membuktikan dirinya bukan hanya bintang, tapi aktor yang tahu menggali sunyi dalam karektor. Watak Sonny terasa sangat dekat, seorang lelaki yang sebenarnya sudah terlalu letih, tetapi belum lagi mahu selesai.

Gabungannya dengan Damson Idris yang melakonkan watak Joshua Pearce, pelumba muda penuh ambisi, menyuntik dinamika 'mentor–protege' lintas generasi yang membentuk, saling melengkapi dan menyentuh hati. Di tengah kekacauan mesin dan publisiti, mereka saling mencari makna tentang apa sebenarnya erti kemenangan. Hubungan strategik serta pertukaran harapan antara dua generasi yang sama-sama sedang mencari arah. Mereka tidak bertarung sesama sendiri, tetapi saling menyokong.

Saya juga tidak boleh tidak memuji skor latar yang dicipta oleh Hans Zimmer.  Seperti denyutan jantung tambahan yang menyusupi setiap babak, muziknya mengangkat adegan lumrah menjadi epik, dan adegan balapan menjadi puisi. Filem ini terasa seperti simfoni mesin, kelajuan dan perasaan yang saling bertaut. Penampilan Kerry Condon, Sarah Niles, dan Javier Bardem pula melengkapi naratif, memberikan tekstur kepada dunia yang lazimnya keras dan maskulin.

Ada yang kata filem ini terlalu dramatik, atau terlalu bergaya. Tapi siapa bilang Formula One bukan juga panggung drama yang bergerak dengan kelajuan 300 kilometer sejam? Di sebalik teknologi dan kelajuan, 'F1: The Movie' mengangkat sisi sentimental sukan ini: impian yang digadai, pasukan yang terkandas, dan keberanian untuk mencuba lagi ketika semua orang menyangka kita sudah selesai.

Ya, naskhahnya mungkin tidak mengejutkan. Struktur ceritanya mengekalkan formula klasik underdog, juara lama kembali demi menyelamatkan pasukan tercinta. Namun, kekuatan 'F1: The Movie' bukan pada keaslian plot, tetapi pada execution yang rapi, emosi yang tulen, dan rasa hormat terhadap dunia perlumbaan yang sebenar.

Dengan akses eksklusif ke pelbagai Grand Prix, penampilan pelumba sebenar seperti Max Verstappen dan Charles Leclerc, dan sinematografi yang hampir dokumentari, filem ini turut menjadi pintu masuk kepada mereka yang baru mahu mengenali Formula One seperti saya. Ia menjelaskan dunia yang kompleks ini tanpa menghiraukan, dan menjadikan jentera jutaan dolar itu terasa seperti makhluk hidup yang punya degup dan nafas sendiri. 

Saya duduk selama 2 jam 35 minit dengan dada yang padat, jiwa yang sentiasa intens dan mata yang lekat pekat ke layar skrin. Saya sangat suka dan jatuh cinta pada strategi genius, kedegilan juga kekecohan yang sengaja ditimbulkan oleh Sonny Hayes. Terutama Pelan C yang terang-terangan mengajak sepasukan APXGP menjadi Chaos dan dengan lantangnya melaung "Combat!". Cukup menghiburkan, pada masa yang sama menanamkan satu kesedaran: terkadang, kemenangan terbesar ialah apabila kita cukup berani untuk kembali ke garis mula, meski kita tahu jalan di hadapan penuh risiko dan kecewa.

Telah berada di pawagam seluruh Malaysia sejak 26 Jun 2025, kalau tanya saya, sudah tentu 'F1: The Movie' adalah filem wajib tonton! Jika Tom Cruise ada 'Days of Thunder', kini giliran Brad Pitt pula menjawab dengan 'F1: The Movie', sebuah ode kepada ketahanan, kerjasama, dan hasrat manusia untuk terus meluncur maju meski segalanya pernah terhenti. Usai menonton filem ini, saya mulai faham tentang sukan F1, mula mencari-gali filem-filem terdahulu seumpamanya untuk masuk senarai 'must-watch' saya. Memanglah agak ketinggalan, tetapi belum lagi terlambat! Anda juga jangan sampai terlambat, pergi tonton sekarang!