
oleh: zizi hashim
Segalanya bermula dengan sesuatu yang simple, permintaan polos untuk menjaga seekor kucing. Tetapi seperti halnya hidup, perkara paling remeh terkadang membuka pintu ke dunia yang tak seharusnya disentuh. Saya masih ingat perasaan dan reaksi saya ketika menonton Caught Stealing, filem yang saya sangka hanya satu lagi kisah jenayah kota New York, rupanya menjelma menjadi perjalanan jiwa tentang kehilangan, dendam, dan kebangkitan manusia di ambang kehancuran.
Darren Aronofsky, sutradara yang namanya cukup sinonim dengan kegilaan visual dan emosi ekstrim, filem ini membawa kita menyelami sisi tergelap seseorang yang terperangkap antara dosa dan kelangsungan hidup. Watak utamanya, Hank (Austin Butler), seorang bartender yang dulu punya masa silam kelam, hanya mahu hidup tenang di New York. Namun selepas bersetuju menjaga kucing jirannya yang pergi menziarahi ayahnya yang sakit, dia tanpa sengaja membuka pintu kepada neraka.


Satu demi satu orang asing datang, membawa persoalan tentang jirannya yang menghilang, dan tanpa amaran, darah mula tumpah. Hank menjadi sasaran penyeksaan, ancaman, dan pengkhianatan yang tidak berkesudahan. Namun daripada setiap pukulan dan peluru yang menembus tubuhnya, dia berubah, bukan lagi sekadar mangsa, tetapi binatang yang akhirnya melawan.
Aronofsky melukis kekacauan ini dengan gaya yang gila dan memukau. Segalanya terasa mentah, penuh adrenalin dan anehnya… indah. Kamera menyorot kota New York seperti tubuh luka. Lembap, berdenyut, tetapi masih hidup. Gaya pengarahannya mengingatkan pada karya Guy Ritchie, dengan rentak pantas dan watak-watak eksentrik yang berpusing dalam lingkaran jenayah dan humor hitam. Namun, Caught Stealing lebih suram, lebih kejam, lebih manusiawi.


Pelakon utamanya, Austin Butler, benar-benar memikul filem ini di atas bahunya. Ada sesuatu yang getir dalam wajahnya. Campur aduk lelaki yang sudah kalah, tapi belum sepenuhnya menyerah. Dari setiap luka, kita melihat evolusi Hank: dari seorang lelaki biasa, menjadi sosok yang putus asa tapi berbahaya. Meski brutal, dia masih punya sisa belas bahkan terhadap musuhnya yang terluka. Di situlah keindahan filem ini bersembunyi: dalam pesan moral yang kabur, dalam simpati yang muncul di tengah darah dan peluru.
Barisan pelakon seperti Zoë Kravitz, Matt Smith, Liev Schreiber dan Regina King menambah dinamika warna, membentuk dunia yang kacau bilau tetapi menarik untuk diselami. Kravitz menjadi bayangan lembut di tengah dunia keras Hank, sementara Smith dan Schreiber memberi tenaga antagonis yang menggetar. Setiap karektor terasa seperti potongan kaca dalam cermin retak. Tajam, merbahaya, tetapi mencerminkan sisi-sisi manusia yang jujur.


Aksi tembak-menembak dan kejar-mengejar dipersembahkan dengan gaya yang hampir artistik. Keras tetapi bergaya. Babak klimaksnya, ketika Hank berdepan Drucker Bersaudara, adalah letusan emosi dan keganasan yang nyaris mematikan. Pemetik api milik Yvonne, kekasihnya yang telah mati, menjadi simbol pengungkapan kebenaran tragis, sekaligus pencetus kepada pembalasan terakhir.
Selepas pertarungan berdarah itu, Hank akhirnya melarikan diri ke Tulum bersama Bud, membawa empat juta dolar, bukan untuk kemewahan, tapi untuk memulai hidup baru. Dalam babak sunyi di tepi pantai, kita melihat lelaki yang akhirnya memilih damai daripada dendam, menolak alkohol, dan membiarkan ombak menelan segala masa silamnya. Saat itu, filem ini berhenti menjadi kisah jenayah, ia berubah menjadi renungan tentang penebusan.


Saya sangat suka ending filem ini. Aronofsky menggabungkan humor gelap, drama psikologi, dan aksi ganas dalam satu paduan yang pelik tetapi menggoda. Ia seperti mimpi buruk yang tak mahu berakhir, tapi di dalamnya terselit doa: bahawa setiap manusia, sekejam apa pun masa lalunya, masih berhak pada kesempatan kedua.
Caught Stealing bukan filem yang sempurna. Adakalanya terlalu bising, adakala pula terlalu gila. Namun di antara retakan itulah keindahannya bersembunyi. Ia mengingatkanku bahawa manusia, bila terdesak, sanggup melakukan apa saja… demi terus hidup. Sebuah karya gila yang tak akan membuat anda tenang, tetapi pasti membuat anda berfikir lama selepas kredit terakhir hilang di layar.
Dari aksi ganas, plot penuh luka, hingga momen gelap yang membuat jantung berdebar, filem ini menanti anda membedah jiwa manusia lewat layar. Bersedialah untuk merasai ketegangan penuh adrenalin, Caught Stealing menemui anda di pawagam Malaysia mulai 2 Oktober 2025. Jangan lengah lagi, saksikan sendiri bagaimana Hank berjuang dalam terjangan maut, dikelilingi karektor brutal, pengkhianatan, dan kucing yang tak pernah hanya sekadar kucing.