
oleh: zizi hashim
Bayangan dunia animasi sering hadir dalam bentuk yang terlalu sempurna. Licin, teratur, dan selamat. Namun GOAT muncul seperti percikan berani yang memecah kebiasaan itu. Rasa pertama yang menyapa bukan sekadar hiburan ringan, tetapi satu perjalanan yang sarat emosi, gaya, dan semangat yang sukar diabaikan.
Vineland, kota distopia yang menjadi latar cerita, tidak dibina untuk kelihatan indah. Sebaliknya, ia terasa liar, sedikit kotor, dan penuh tekstur yang hidup. Bangunan usang, tumbuhan yang menjalar tanpa kawalan, dan suasana yang seolah-olah terhenti dalam masa. Semuanya memberi karakter yang unik. Dunia ini tidak cuba memanjakan mata, tetapi mengajak penonton untuk merasai sesuatu yang lebih mentah dan jujur. Sentuhan visualnya yang hampir impresionistik memberikan nuansa yang jarang ditemui dalam animasi arus perdana.


Di tengah dunia itu, lahir seorang watak yang tampak kecil tetapi menyimpan impian besar. Will Harris, seekor kambing Boer muda yang disuarakan oleh Caleb McLaughlin. Sejak kecil, Will mengkagumi pasukan roarball Thorns, khususnya figura lagenda Jett Fillmore (Gabrielle Union), seekor panther yang karismatik namun mulai dihimpit usia dan bayangan kegemilangan lampau. Sepuluh tahun kemudian, Will bukan siapa-siapa, sekadar penghantar makanan yang hampir kehilangan tempat tinggal. Namun satu hal tidak pernah padam: impian untuk berada di gelanggang.
Roarball, versi bola keranjang dalam dunia ini, jauh lebih ekstrem, liar, kasar, dan hampir seperti pertarungan gladiator. Gelanggangnya boleh berada di atas permukaan berbahaya, menjadikan setiap perlawanan terasa seperti ujian nyawa. Di sinilah GOAT mula berbicara tentang sesuatu yang lebih mendalam: tentang kasta sosial, stereotaip fizikal, dan bagaimana dunia sering menentukan nilai seseorang berdasarkan rupa dan saiz.


Perjalanan Will bermula secara tidak sengaja apabila satu video viral memperlihatkan dirinya seolah-olah menewaskan pemain hebat. Perhatian itu membuka pintu kepada peluang yang tidak pernah dia bayangkan. Flo (Jenifer Lewis), pemilik pasukan Thorns yang oportunis tetapi bijak, melihat potensi di sebalik sensasi tersebut. Dari situ, Will melangkah masuk ke dalam dunia yang selama ini hanya mampu dia pandang hanya dari kejauhan.
Apa yang menarik, filem ini tidak menjadikan Will sebagai wira yang tiba-tiba sempurna. Perjalanannya penuh keraguan, kegagalan, dan usaha yang berulang-ulang. Rakan sepasukan yang eksentrik seperti Olivia si burung unta dan Modo si komodo menambah warna dalam cerita, namun tetap terasa manusiawi dalam keanehan mereka. Setiap karakter diberikan ruang untuk hidup, bukan sekadar pelengkap naratif.


Satu momen yang cukup membanggakan sebagai penonton tempatan hadir melalui suara Zul Ariffin yang menghidupkan watak Archie. Kehadiran beliau memberi dimensi tambahan yang signifikan. Bukan hanya sebagai pelengkap, tetapi sebagai bukti bahawa bakat Malaysia mampu berdiri sebaris dalam produksi animasi antarabangsa. Ada rasa bangga yang sukar disorok apabila suara tempatan menyatu dalam dunia global seperti ini, seolah-olah membawa pesan halus bahawa Malaysia boleh melangkah lebih jauh dalam industri kreatif dunia.
Dari sudut lakonan suara, setiap pelakon benar-benar menyatu dengan watak masing-masing. Caleb McLaughlin membawa emosi yang tulus, menjadikan Will terasa dekat dan mudah disayangi. Gabrielle Union pula memberikan lapisan kompleks kepada Jett, seorang atlet yang masih hebat, tetapi bergelut dengan realiti waktu. Gabungan ini mencipta dinamika yang kuat antara generasi dan perspektif. Visual GOAT menjadi antara kekuatan utama. Latar belakang yang ringkas tetapi penuh karakter berpadu dengan warna-warna berani di bahagian hadapan, menghasilkan keseimbangan yang memikat. Setiap adegan terasa hidup, seolah-olah lukisan yang bergerak dengan emosi tersendiri. Ditambah pula dengan muzik berjiwa hip-hop dan soul, setiap momen terasa punya ritma yang mengalir, dari sessi latihan hingga ke perlawanan.


Namun kekuatan terbesar filem ini terletak pada mesejnya. GOAT tidak terlalu obses untuk menjadikan wataknya “yang terhebat sepanjang masa”. Sebaliknya, ia menekankan bahawa menjadi hebat tidak selalu tentang kemenangan besar, tetapi tentang bagaimana seseorang mampu menghidupkan semangat, dalam diri sendiri dan orang di sekelilingnya. Will tidak perlu menjadi yang paling kuat untuk memberi impak. Cukup dengan keberanian untuk percaya pada dirinya sendiri.
Perjalanan emosi yang dibawa terasa tulus. Walaupun struktur ceritanya mengikuti formula klasik underdog, penyampaiannya membuatkan ia tetap segar. Ada momen lucu, ada detik yang menyentuh, dan ada saat yang membuatkan hati terasa hangat tanpa disedari. Secara keseluruhan, GOAT mungkin bukan filem animasi paling revolusioner, tetapi ia mempunyai identiti yang jelas, berani, berjiwa, dan penuh karakter. Ia mengingatkan bahawa dalam dunia yang sering menilai berdasarkan saiz dan kekuatan, impian tetap milik sesiapa sahaja yang berani mengejarnya. Pengalaman menonton ini meninggalkan satu rasa yang sederhana tetapi kuat: keyakinan bahawa setiap individu, walau sekecil mana pun dianggap, tetap punya ruang untuk bersinar.
Langkah kaki ke pawagam kali ini terasa seperti undangan untuk menyaksikan sesuatu yang berbeza. Sebuah kisah yang bukan hanya menghibur, tetapi juga menghidupkan semangat yang lama terpendam. GOAT bukan sekadar animasi biasa, ia adalah perjalanan penuh warna, emosi dan keberanian yang wajar dirasai di layar besar.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan GOAT di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 Mac 2026, dengan durasi 1 jam 40 minit yang padat dengan aksi, humor dan momen menyentuh hati. Ajak keluarga, sahabat, atau siapa saja yang perlukan sedikit inspirasi, kerana kadang-kadang, cerita tentang sesuatu yang “kecil” mampu meninggalkan kesan yang sangat besar. Jom!