Sarat Aksi Berdarah, 'Ikatan Darah' Bicara Tentang Sanggup Hancur Demi Lindungi Orang Tersayang

oleh: zizi hashim

Debu, darah dan bunyi tulang retak memenuhi suasana pawagam malam itu. Belum pun sempat penonton menarik nafas panjang, Ikatan Darah terus menghentam dari babak pertama seperti manusia yang terlalu lama memendam amarah lalu akhirnya meledak tanpa amaran. Terus-terang, saya masuk menonton filem ini dengan ekspektasi mahu melihat filem aksi biasa. Pergaduhan, dendam, gangsterism dan sedikit drama keluarga. Tetapi semakin cerita bergerak, semakin saya sedar filem ini sebenarnya jauh lebih emosional daripada yang saya sangka.

Mega bukan watak perempuan yang dicipta untuk nampak “cool” semata-mata. Dia penat. Dia terluka. Dan dia manusia yang perlahan-lahan dipaksa menjadi ganas kerana dunia sekelilingnya terlalu kejam untuk membenarkan dia hidup tenang. Livi Ciananta benar-benar membawa watak Mega dengan tenaga yang liar tetapi rapuh dalam masa yang sama. Setiap tumbukan terasa berat sebab kita tahu perempuan ini sebenarnya tidak mahu kembali ke dunia kekerasan.

Namun apabila adiknya, Bilal, terjerat dengan hutang besar dan dunia jenayah bawah tanah, hidup Mega kembali ditarik masuk ke lorong gelap yang pernah cuba ditinggalkannya. Dan percayalah… filem ini memang tidak memberi ruang untuk penonton berehat. Pacingnya laju gila. Belum sempat satu luka reda, datang lagi pertarungan baru. Belum habis satu darah mengalir, muncul lagi manusia lain yang mahu membunuh atau dibunuh.

Ada ketika satu pawagam tergelak dengan dialog tertentu, beberapa saat kemudian terus diam sebab babak fighting datang mengejut dan terlalu menyakitkan untuk ditonton sambil santai. Koreografi aksi antara perkara paling kuat dalam filem ini. Sutradara Siddhartha Tata memang tahu bagaimana mahu membuat tubuh manusia kelihatan rapuh dan brutal serentak. Kamera bergerak rapat mengikuti setiap tumbukan, tendangan dan bunyi hentakan tubuh ke dinding atau lantai. Penonton terasa seperti sedang berada di tengah-tengah pergaduhan itu sendiri. Malah penggunaan pelbagai objek sebagai senjata, termasuk mesin rumput, membuat banyak pertarungan terasa liar dan tidak dapat dijangka.

Ada beberapa babak yang betul-betul membuat saya rasa tak selesa. Darah memercik hampir sepanjang filem, tubuh manusia dipukul tanpa belas, dan ada adegan yang membuat beberapa penonton spontan menutup mata. Tetapi anehnya, di sebalik segala kekerasan itu, Ikatan Darah sebenarnya sangat manusiawi. Saya paling tersentuh dengan bagaimana filem ini melihat hubungan adik-beradik. Mega mungkin marah dengan Bilal. Penonton pun boleh jadi marah dengan Bilal sebab wataknya memang jenis yang buat kita rasa mahu mencarut sepanjang filem. Tetapi dalam masa sama, Mega tetap memilih untuk berdiri di depan segala bahaya demi adiknya.

Dan itu sakit. Sebab kasih keluarga kadang-kadang memang begitu. Kita tahu orang itu banyak buat silap, tetapi hati tetap tidak mampu membiarkan dia hancur sendirian. Watak Dini pula memberi lapisan emosi yang sangat kuat. Meski tiada ikatan darah dengan mereka, dia tetap memilih untuk berkorban walaupun tahu nyawanya sendiri sudah berada di hujung tanduk. Ada satu momen melibatkan Dini yang buat saya terdiam lama kerana filem ini berjaya menunjukkan bahawa keluarga kadang-kadang bukan cuma tentang darah, tetapi tentang siapa yang tetap tinggal ketika dunia mulai runtuh.

Visual filem ini juga antara yang paling mengganggu pernah saya tonton untuk genre aksi serantau. Lokasi-lokasinya kotor, sempit, gelap dan membuat penonton rasa lemas. Lorong suram, bangunan usang, tempat perjudian haram dan dunia gangster yang penuh rasuah membuat suasana filem terasa sangat hidup. Saya suka bagaimana pengarah tidak cuba mencantikkan dunia mereka. Segalanya terasa keras dan berpeluh. Malah ada beberapa babak yang membuat saya teringat aura filem The Raid, walaupun untuk saya sendiri, tahap keganasan fighting Ikatan Darah masih belum “segila” filem itu. Tetapi dari segi emosi, filem ini mempunyai kekuatan tersendiri kerana ia meletakkan wanita sebagai pusat kepada seluruh kemarahan dan penderitaan cerita.

Dan itu yang membuat filem ini terasa berbeza. Siddhartha Tata berjaya membuktikan bahawa dia bukan cuma kuat dalam genre seram seperti Waktu Maghrib, Sakaratul Maut dan Malam Pencabut Nyawa, tetapi juga tahu bagaimana mahu menghasilkan filem aksi yang intens dan beremosi. Barisan pelakon lain seperti Teuku Rifnu Wikana, Rama Ramadan, Abdurrahman Arif, Agra Piliang dan Dimas Anggara turut membantu menghidupkan dunia bawah tanah filem ini dengan baik. Semua watak terasa punya ancaman tersendiri.

Jalan cerita Ikatan Darah memang ringkas dan straight forward. Tiada plot twist terlalu kompleks atau falsafah berat. Tetapi mungkin itu juga kekuatan filem ini. Ia tahu apa yang mahu dijual kepada penonton: aksi brutal, emosi keluarga dan survival manusia dalam dunia yang terlalu ganas. Dan saya rasa filem ini berjaya melakukannya. Kerana akhirnya Ikatan Darah bukan cuma tentang siapa paling kuat berlawan. Tetapi tentang seorang perempuan… yang rela tangannya dipenuhi darah… asalkan keluarganya masih sempat diselamatkan.

Membawa tenaga aksi tanpa henti dari awal sampai akhir, dunia gangster brutal dan pertarungan survival yang penuh darah serta emosi, Ikatan Darah memang wajib masuk watchlist apatah lagi dengan koreografi padu pencak silat wanita yang ganas dan memukau. Ikatan Darah mula menggegarkan pawagam Malaysia bermula 14 Mei 2026. Kadang-kadang… manusia paling berbahaya bukan yang lahir untuk berlawan. Tetapi yang terpaksa bertarung demi keluarga.

Comments
* The email will not be published on the website.