
oleh: zizi hashim
Pada awalnya saya fikir Fleak cuma sebuah pengembaraan fantasi biasa untuk si cilik. Makhluk comel, dunia warna-warni dan kisah persahabatan kanak-kanak yang ringan. Tetapi semakin cerita bergerak, semakin saya sedar filem ini sebenarnya berbicara tentang sesuatu yang jauh lebih manusiawi: tentang kehilangan, rasa tersisih dan bagaimana seseorang cuba belajar menerima dirinya semula selepas hidup berubah secara tiba-tiba. Fleak kalau menurut saya tak ubah seperti pelukan kecil sebelum seseorang mula bercerita tentang luka yang lama dipendam sendirian.
Thomas, kanak-kanak berusia 11 tahun, menjadi pusat kepada seluruh emosi filem ini. Hidupnya berubah selepas satu kemalangan tragis membuatkan dia kehilangan kemampuan untuk berjalan. Dari seorang budak yang mahu mengejar langkah abang dan kakaknya, Thomas perlahan-lahan berubah menjadi anak kecil yang mula percaya dirinya hanya beban kepada orang lain. Dan rasa itu tentunya sangat menyakitkan.


Saya jujur tidak menyangka filem animasi ini akan menyentuh hati sedalam itu. Filem ini tidak pernah terlalu dramatik dalam menunjukkan kesedihan Thomas. Sebaliknya, ia hadir melalui perkara-perkara kecil. Cara dia memandang keluar tingkap. Cara dia diam ketika ahli keluarganya bercakap. Cara dia cuba tersenyum walaupun jelas dirinya sedang tenggelam dalam rasa kecewa terhadap tubuh sendiri. Kemudian hadirlah si Fleak.
Makhluk kecil berbulu dari dimensi lain yang pada mulanya kelihatan nakal dan aneh, tetapi perlahan-lahan menjadi cahaya paling penting dalam hidup Thomas. Persahabatan mereka terasa sangat tulus. Fleak bukan hadir untuk “menyelamatkan” Thomas seperti hero biasa. Sebaliknya, dia cuma menemani seorang budak kecil yang sedang cuba memahami kenapa hidupnya tiba-tiba berubah terlalu drastik. Dan mungkin kerana itu hubungan mereka terasa sangat indah.


Ada sesuatu yang sangat menenangkan tentang cara filem ini membina dunia fantasinya. Dimensi alternatif yang dipenuhi warna, bentuk pelik dan makhluk aneh terasa seperti gabungan mimpi kanak-kanak dan kesedihan manusia dewasa. Visual animasinya benar-benar cantik. Liar, imaginatif dan penuh tekstur emosi. Saya faham kenapa media antarabangsa memanggil Fleak sebagai karya “wildly imaginative”. Tetapi apa yang paling membuat saya jatuh cinta dengan filem ini ialah bagaimana fantasi itu sebenarnya menjadi simbol kepada proses menerima diri sendiri.
Thomas hanya mampu berjalan di dunia Fleak apabila dia melepaskan bayang-bayangnya sendiri. Dan ketika bayang itu berubah menjadi makhluk besar yang menyeramkan tetapi sedikit lucu, filem ini seolah-olah sedang berkata bahawa trauma yang kita tinggalkan tidak pernah benar-benar hilang. Ia cuma menunggu masa untuk kembali memburu kita. Fleak diterbitkan menerusi kolaborasi antarabangsa bersama Anima Vitae Point, Anima Vitae, Animoon serta Godo Films, filem ini turut dipasarkan di Malaysia oleh Astro Shaw.


Namun Fleak tidak pernah menjadi terlalu berat. Filem ini tetap mempunyai humor yang manis, momen comel dan energi pengembaraan yang membuat kanak-kanak terus terhibur. Tetapi untuk penonton dewasa, ada lapisan emosi lain yang diam-diam menyelinap masuk ke dalam hati. Tentang keluarga. Tentang rasa tidak cukup baik. Tentang manusia yang sebenarnya cuma mahu difahami. Saya juga suka bagaimana filem ini memberi ruang kepada hubungan Thomas dengan abang dan kakaknya berkembang perlahan-lahan. Konflik mereka terasa realistik. Kadang-kadang orang yang paling dekat dengan kita pun tidak tahu bagaimana mahu memahami kesedihan yang sedang kita tanggung. Dan di situlah Fleak menjadi sangat manusiawi meski ianya filem fantasi.
Arahan Jens Moller terasa matang tetapi lembut. Tidak hairanlah kerana beliau pernah terlibat dengan dunia animasi seperti Lego Star Wars: The Freemaker Adventures dan Ninjago. Fleak mempunyai ritma penceritaan yang membuat hampir 1 jam 23 minit terasa terlalu cepat berlalu. Saya langsung tidak rasa bosan walaupun filem ini bergerak perlahan di beberapa bahagian. Malah penggunaan POV Fleak serta rakaman seperti video telefon membuat keseluruhan pengalaman terasa lebih dekat dan autentik. Kita seperti sedang menyaksikan kenangan kecil dalam hidup seseorang, bukan cuma menonton animasi biasa.


Apa yang lebih membanggakan, Fleak turut melibatkan ramai bakat kreatif Malaysia menerusi Anima Vitae Point bersama kolaborasi Finland, Poland dan Perancis. Dan hasil akhirnya benar-benar terasa bertaraf antarabangsa. Saya suka bagaimana filem ini mengingatkan bahawa imaginasi masih penting walaupun dunia hari ini bergerak terlalu laju. Adakalanya manusia dewasa terlalu sibuk menjadi kuat sehingga lupa bahawa hati juga perlukan tempat untuk bersembunyi dan bernafas. Dan mungkin kerana itu Fleak terasa begitu menyentuh.
Pada akhirnya filem ini bukan cuma tentang seorang budak lumpuh yang bertemu makhluk ajaib. Tetapi tentang manusia yang perlahan-lahan belajar… bahawa hidup masih mempunyai keajaiban… meskipun selepas dunia pernah menghancurkan segalanya. Selepas mencuri perhatian di festival antarabangsa seperti Annecy International Animation Film Festival, Busan International Kids and Youth Film Festival dan Children’s International Film Festival Australia, kini FLEAK akhirnya menemui penonton Malaysia lebih awal sebelum tayangan Amerika Utara. FLEAK mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 21 Mei 2026.