Misi Bunuh Diri 'Project Hail Mary' Papar Epiknya Luar Angkasa, Fiksyen Ilmiah Terbaik 2026

oleh: zizi hashim

Kagum! Kagum! Kagum! 👎👎👎
Kisah persahabatan lintas galaksi yang menggetarkan jiwa dan mampu buat saya menangis. Hanya dengan terbayangkan filem itu sudah buat saya bergenang airmata. Project Hail Mary telah sukses mencipta satu makhluk fiksyen yang disayangi ramai kerana saya yakin bukan hanya saya seorang yang ingin membawa makhluk itu pulang. Contohnya seperti E.T atau Grogu, dan begitulah juga hal nya dengan Rocky.

Terperangkap dalam kehampaan angkasa yang luas, Project Hail Mary tidak sekadar membuka cerita. Ia mengundang kita masuk ke ruang sunyi yang perlahan-lahan dipenuhi makna. Pengalaman menontonnya terasa seperti menemani seorang manusia yang sedang belajar mengenali dirinya semula, satu demi satu serpihan memori yang kembali seperti gema jauh dari masa silam. Ryland Grace (diberi nyawa dengan penuh kejujuran oleh Ryan Gosling) terbangun tanpa identiti, tanpa tujuan yang jelas. Hanya tubuh yang masih bernyawa, dan kapal angkasa yang meluncur tanpa henti menuju takdir yang belum terjawab.

Sedikit demi sedikit, kebenaran terbongkar: dia seorang ahli biologi, seorang guru yang dipilih untuk misi paling mustahil iaitu menyelamatkan umat manusia daripada ancaman Astrophage, mikroorganisma asing yang menyerap tenaga matahari dan perlahan-lahan mematikan kehidupan di Bumi. Apa yang menarik, filem ini tidak memilih jalan mudah seperti kebanyakan naskhah sci-fi besar. Tiada peperangan besar ala Star Wars, tiada konflik epik seperti Dune atau visual bombastik ala Avatar. Sebaliknya, ia memilih jalur yang lebih intelektual, penuh eksperimen, teori, dan penyelesaian masalah.

Namun anehnya, pendekatan ini tidak menjadikan filem terasa berat. Malah, ia mengalir ringan, hampir santai, berkat skrip cermat oleh Drew Goddard yang sebelum ini juga berjaya menghidupkan The Martian. Arahan Phil Lord dan Christopher Miller pula memberi sentuhan yang sangat manusiawi. Ada humor spontan, ada momen yang hampir “over the top” di awal, namun perlahan-lahan bertukar menjadi lebih matang apabila cerita memasuki fasa emosi yang lebih mendalam. Peralihan tona ini terasa jelas, terutama selepas beberapa babak penting yang mengubah arah naratif menjadi lebih serius dan menyentuh.

Namun, kalau menurut saya, titik paling kuat filem ini hadir tanpa amaran... melalui Rocky. Makhluk asing berbentuk seperti batu hidup itu pada awalnya tampak asing, hampir mengganggu. Tetapi melalui komunikasi yang dibina perlahan menggunakan teknologi penterjemah, hubungan antara Grace dan Rocky berkembang menjadi sesuatu yang luar biasa. Mereka bukan sekadar bekerjasama, mereka saling memahami, saling melengkapi. Persahabatan ini terasa begitu tulus hingga sukar untuk dilupakan. Ia mengingatkan bahawa walaupun berbeza segala-galanya dari segi biologi, bahasa dan dunia, dua makhluk masih mampu membina hubungan berasaskan empati dan kepercayaan.

Momen-momen kecil antara mereka, dari eksperimen bersama hingga ke pengorbanan yang tidak terucap, menjadi nadi sebenar filem ini. Dari sudut visual, Project Hail Mary menawarkan sesuatu yang jarang dilihat dalam filem moden. Penggunaan set praktikal dibina dengan rujukan terus daripada NASA, memberikan rasa autentik yang luar biasa. Tiada kebergantungan penuh kepada green screen; setiap ruang terasa nyata, seolah-olah kapal itu benar-benar wujud. Sinematografinya pula bukan sekadar cantik, tetapi berfungsi sebagai “watak” yang mengiringi perjalanan Grace yang kadangkala sunyi, kadangkala megah, kadangkala menghimpit emosi.

Runut bunyinya juga tidak kurang hebat. Gabungan muzik klasik, folk dan skor dramatik mencipta lapisan emosi yang kuat, menjadikan setiap detik terasa lebih hidup. Ada momen yang benar-benar mengingatkan kepada karya seperti Interstellar atau 2001: A Space Odyssey, tetapi dengan pendekatan yang lebih intim dan peribadi. Ryan Gosling memberikan salah satu persembahan terbaik dalam kariernya. Dia membawa Grace sebagai manusia yang canggung, lucu, tetapi penuh empati. Karakter ini tidak pernah terasa seperti hero tipikal meski dia rapuh, dia ragu, tetapi dia tetap memilih untuk terus berjuang. Sokongan daripada Sandra Hüller pula menambah dimensi kepada konflik di Bumi, memberi keseimbangan antara emosi dan rasional.

Meski filem ini berdurasi panjang, melebihi dua setengah jam, ia tidak terasa membebankan. Ya, ada beberapa bahagian yang sedikit meleret, dan mungkin ada detik yang boleh dipadatkan. Namun panjang itulah yang membolehkan setiap emosi berkembang secara organik, menjadikan klimaks terasa benar-benar berbaloi. Apa yang paling mengesankan, Project Hail Mary tidak pernah menjual idea “hero menyelamatkan dunia” secara konvensional. Ia menolak konsep kekuatan fizikal, dan menggantikannya dengan kecerdikan, komunikasi, serta keberanian untuk bekerjasama. Masa depan manusia, dalam filem ini, bukan terletak pada senjata tetapi pada ilmu dan empati.

"So I met an alien. He's kind of growing on me. At least he's not growing in me, which was a concern for while." - Ryland Grace.

Dan mereka kata sci-fi yang bagus sudah tidak wujud lagi... di situlah Project Hail Mary bersinar terang-benderang. Kerana ia adalah kisah manusia yang mendalam merangkumi kelemahan kesilapan manusia, biologi, kesunyian dan kematian yang secara kebetulan memiliki elemen sci-fi. Project Hail Mary meninggalkan satu kesan yang sukar dijelaskan dengan kata-kata sederhana.

Ia bukan tentang siapa paling kuat, tetapi siapa yang sanggup memahami. Ia bukan tentang siapa paling hebat, tetapi siapa yang berani untuk peduli. Dan mungkin, dalam keluasan semesta yang tidak terjangkau itu, harapan manusia sebenarnya terletak pada satu perkara paling sederhana iaitu hubungan sesama makhluk. Ryan Gosling & Rocky buktikan sains, persahabatan dan harapan masih mampu selamatkan dunia.

Percayalah, anda pastinya tidak mahu ketinggalan menonton Project Hail Mary, sebuah pengalaman sci-fi yang bukan sahaja memukau secara visual tetapi juga menyentuh emosi paling terdalam. Bermula 26 Mac 2026 di pawagam seluruh Malaysia, filem ini mengajak kita menyelami perjalanan luar biasa seorang manusia yang terperangkap dalam kesunyian angkasa, namun menemukan harapan melalui ilmu, keberanian dan sebuah persahabatan yang tidak terduga.

Inilah antara karya fiksyen sains paling emosional tahun ini, yang tidak sekadar mempamerkan kehebatan teknologi, tetapi merayakan kemanusiaan dalam bentuk paling jujur. Luangkan waktu, duduk dalam gelap pawagam, dan biarkan Project Hail Mary membawa kamu jauh… lebih jauh daripada sekadar gemerlap bintang... 🚀✨