
oleh: zizi hashim
Hamparan pasir luas menjadi saksi bagaimana pedang berbicara lebih lantang daripada kata-kata. Blades of the Guardians muncul sebagai antara naskhah wuxia paling ambisius tahun ini, ditayangkan bermula 17 Februari 2026 sempena musim Tahun Baru Cina. Filem berdurasi 2 jam 7 minit, berbahasa Mandarin dengan sari kata Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu ini diklasifikasikan 16, menandakan pendekatannya yang lebih keras dan matang.
Arahan legenda koreografi aksi Yuen Woo-Ping, nama yang pernah mengangkat seni pertarungan ke tahap ikonik dalam sinema Asia dan antarabangsa, menjadikan filem ini satu pertemuan lintas generasi. Barisan pelakon yang menghimpunkan Wu Jing, Nicholas Tse, Yu Shi, Chen Lijun, Sun Yizhou, Ci Sha, Li Yunxiao, Tony Leung Ka-fai, Zhang Jin dan Jet Li memberi dimensi berlapis pada naratif yang sarat konflik.


Diadaptasi daripada manhua popular Biao Ren, kisahnya berlatar zaman Dinasti Sui, satu era penuh pergolakan politik dan pertembungan kuasa. Dao Ma, dibawakan dengan intensiti terkawal oleh Wu Jing, ialah bekas pengawal upahan yang kini menjadi pemburu hadiah. Hidupnya bergerak antara ganjaran dan kelangsungan. Namun misi terbaharunya mengubah segalanya iaitu mengiringi Zhishilang, figura yang digelar “Heaven-ranked Most Wanted Fugitive”, merentasi Wilayah Barat menuju Chang’an.
Premis pengiringan ini menjadi pemangkin kepada gelombang konflik. Pelbagai fraksi: tentera kerajaan, pendekar bebas, dan kuasa-kuasa tersembunyi berebut peluang untuk memburu Zhishilang demi kemasyhuran dan imbuhan. Gurun bertukar menjadi medan perburuan yang tidak mengenal belas. Adegan kejar-kejaran berkuda memecah sunyi, sementara pertarungan jarak dekat dirakam dengan komposisi kamera yang memberi ruang pada koreografi, bukan sekadar potongan pantas.


Wu Jing memikul watak Dao Ma dengan keseimbangan antara ketegasan dan sisi kemanusiaan. Dia bukan wira sempurna; motivasinya berakar pada keperluan dan naluri bertahan. Namun di sebalik wajah dingin itu, terpantul prinsip yang masih utuh. Keberadaan seorang kanak-kanak kecil, Xiao Qi, yang sering bersamanya memberi lapisan emosi yang tidak dijangka, seolah perjalanan ini bukan hanya soal pedang, tetapi juga perlindungan.
Nicholas Tse tampil dengan karakter yang lebih kelabu moralnya. Bukan antagonis tipikal, tetapi individu dengan misi dan tafsiran keadilan tersendiri. Jet Li, meskipun kemunculannya tidak dominan, tetap mencuri perhatian. Karismanya masih terpancar; setiap gerak tubuhnya mengundang nostalgia kepada era kegemilangan wuxia klasik. Gabungan pelakon senior dan wajah kontemporari ini menjadikan dinamika layar terasa hidup dan tidak berat sebelah.


Kekuatan utama filem ini jelas terletak pada koreografi. Yuen Woo-Ping menyusun setiap duel dengan presisi teknikal yang jarang ditemui dalam produksi moden. Aksi berlangsung dalam pelbagai elemen. Api yang marak, ribut pasir yang menggila, hingga hujan salju, semuanya dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada strategi pertempuran. Gerakan akrobatik yang menentang graviti tetap ada, namun tidak terasa berlebihan; ia berpadu dengan atmosfera yang lebih gelap dan brutal.
Dari sudut visual, sinematografi memanfaatkan landskap gurun dengan efektif. Tone warna hangat seperti emas, coklat, debu mencipta latar yang keras tetapi indah. Rekaan kostum dan produksi memberi keaslian era tanpa terasa kostum semata-mata. Walaupun plotnya kadang terasa padat dan bergerak laju sehingga beberapa watak kurang diperincikan latar belakangnya, alur keseluruhan masih dapat diikuti tanpa perlu pengetahuan mendalam tentang manhua asal.


Ada sedikit kejanggalan naratif dimana persoalan tentang penyamaran Zhishilang dan motivasi tertentu mungkin dibiarkan tergantung. Namun kekurangan ini tidak menenggelamkan pengalaman keseluruhan. Filem ini tidak terlalu terjerumus dalam intrik politik kompleks; fokusnya tetap pada perjalanan, pilihan, dan akibat yang mengiringinya.
Menariknya, Blades of the Guardians menolak romantisasi berlebihan yang sering menghiasi wuxia tradisional. Luka terasa nyata. Pertarungan meninggalkan kesan fizikal dan psikologi. Tema kehormatan, pengkhianatan dan kelangsungan hidup digarap selari dengan aksi, bukan sebagai sisipan moral yang terpisah.
Bagi peminat epik bela diri, pengalaman menontonnya di pawagam memberi impak yang lebih menyeluruh. Skala pertarungan dan reka bunyi hanya benar-benar terasa apabila disaksikan pada layar besar. Filem ini mungkin tidak sempurna dari segi kedalaman naratif, tetapi sebagai spektakel wuxia moden yang menghimpunkan generasi legenda dan bakat baharu, ia berdiri dengan keyakinan.
Ketika kredit akhir bergulir, yang tertinggal ialah gambaran gurun yang luas dan pertanyaan yang tidak sepenuhnya terjawab: tentang takdir, tentang kesetiaan, dan tentang harga sebuah misi.