
oleh: zizi hashim
Rimba hijau yang tampak tenang rupanya menyimpan rahsia yang jauh lebih aneh daripada sekadar burung dan desir angin. Panda Plan: The Magical Tribe membawa saya masuk ke dunia yang terasa seperti dongeng zaman kanak-kanak. Penuh warna, sedikit bodoh-bodoh alang dan sesekali menyentuh sisi hati yang lembut.
Filem arahan Keyang Pan ini mula ditayangkan pada 17 Februari 2026, berdurasi 1 jam 40 minit, berbahasa Mandarin dengan sari kata Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu serta diklasifikasikan P12. Menggabungkan aksi dan komedi keluarga, ia kembali mempertemukan legenda laga Jackie Chan bersama panda comel bernama Hu Hu, ditemani pelakon seperti Ma Li dan Qiao Shan.


Kisahnya bermula ketika Jackie, yang memegang peranan sebagai versi dirinya sendiri, tiba-tiba terpisah daripada pembantu dan pemandunya akibat kejadian misteri di tengah perjalanan. Sebelum sempat memahami apa yang berlaku, dia sudah dikejar pemburu dari sebuah suku primitif tersembunyi jauh di dalam hutan. Bersamanya, Hu Hu, panda kesayangannya yang tidak pernah gagal mencuri perhatian.
Suku tersebut menyangka Hu Hu ialah “makhluk suci” yang diramalkan dalam batu-batu purba mereka. Dalam satu monolog yang disertai animasi eksposisi, ketua suku menjelaskan bahawa malapetaka besar bakal menimpa jika “makhluk” dan “utusan” tidak berjaya menawan puncak Awe Summit. Tanpa banyak pilihan, Jackie dipilih sebagai utusan, terutama setelah Hu Hu kelihatan begitu mesra dengannya.


Konsepnya terdengar epik, namun perjalanan yang dijanjikan terasa lebih ringan daripada yang dibayangkan. Separuh pertama dipenuhi humor slapstik, dialog yang sengaja dibuat polos, serta pertengkaran kecil antara Jackie dan anggota suku. Ada percubaan untuk mencipta konflik serius, termasuk watak Tulu yang mengutus pembunuh bayaran Qiangshan (lakonan Qiao Shan) untuk menyingkirkan Jackie. Namun situasi itu berakhir dengan twist komedi. Qiangshan hilang ingatan dan menganggap Jackie sebagai penyelamatnya.
Beberapa adegan, seperti babak jamuan yang melibatkan cendawan “ajaib” hingga menyebabkan halusinasi, jelas dirancang untuk mencetuskan gelak tawa. Namun tidak semua jenaka benar-benar mengena. Ada momen yang terasa berlarutan dan sedikit repetitif, membuat ritma cerita tampak berputar di tempat.


Sebagai peminat Jackie Chan sejak era 90-an, saya tetap menemukan kehangatan tertentu dalam cara beliau bergerak. Meski usianya tidak lagi muda, refleks dan timing komedinya masih punya pesona tersendiri. Adegan aksi kali ini lebih terkawal dan klasik: tanpa senjata api, kembali pada gaya fizikal yang banyak bergantung kepada prop di sekeliling. Koreografi memang tidak seintens filem aksi puncak kariernya, tetapi cukup untuk menghadirkan nostalgia.
Hubungan Jackie dan Hu Hu menjadi jantung emosi filem ini. Panda yang gemar makan dan bertingkah lucu itu bukan hanya objek rebutan, tetapi simbol kesucian dan harapan suku tersebut. Di penghujung cerita, mesej tentang keluarga, kesatuan dan keberanian berdiri bersama ketika berdepan musibah terasa lebih kuat daripada adegan pertarungan itu sendiri.


Secara visual, latar perkampungan suku di tengah hutan disiapkan dengan cukup teliti. Landskapnya asyik, cantik dan memanjakan mata, memberi nuansa dongeng yang menyenangkan untuk tontonan keluarga sempena Tahun Baru Cina. Skor muzik dan efek bunyi pula sederhana tetapi efektif. Bunyi hentakan dan jatuhan masih membuat kita sedikit ngilu, mengingatkan bahawa Jackie tetap melakukan aksi fizikal sendiri.
Sebagai sekuel, ada yang mungkin merasakan ia lebih ringan atau kurang mencabar berbanding pendahulunya. Namun bagi penonton yang datang dengan ekspektasi hiburan keluarga dan sedikit nostalgia, Panda Plan: The Magical Tribe menawarkan pengalaman santai yang mudah dicerna.
Jom sertai pengembaraan penuh warna bersama Jackie Chan dan panda comel, Hu Hu. Kisah yang sarat dengan aksi, komedi dan nilai kekeluargaan ini menjanjikan hiburan ringan yang sesuai untuk semua peringkat usia. Nikmati detik-detik lucu, momen menyentuh hati dan pengembaraan yang bakal menceriakan hari anda. Jangan sampai terlambat!