
oleh: zizi hashim
Terpanggil menonton Send Help dengan satu rasa letih yang belum benar-benar sembuh. Rasa lelah yang biasa dipikul pekerja kota, terkepung rutin, dan sesekali dipijak ego orang atasan. Filem arahan Sam Raimi ini menyambut perasaan itu dengan cara yang ganjil: kejam, kelakar gelap, dan memaksa cermin emosi diangkat setinggi-tingginya. Produksi 2026, karya ini menggabungkan thriller psikologi, survival seram, serta komedi hitam: pakej lengkap yang membuat debaran terasa sinis namun jujur pada masa yang sama.
Rachel McAdams menghidupkan Linda Liddle, karyawan ambisius yang sering diremehkan; Dylan O’Brien menjelmakan Bradley Preston, boss sombong dan seksis. Dinamika kuasa di pejabat yang sudah rapuh, tercabut akarnya saat pesawat mereka terhempas dalam perjalanan bisnes ke Bangkok. Terpencil di pulau asing, hierarki runtuh; instinct bertahan hidup mengambil alih. Ketegangan tidak lahir dari raksasa atau mitos, melainkan dari psikologi manusia yang terdesak, ego yang enggan menyerah, dan luka harga diri yang lama dipendam.


Sutradara Raimi kembali ke teras seram selepas 17 tahun sejak Drag Me to Hell (2009) menganyam gaya khasnya melalui crash zoom, match cut, VFX berlimpah, serta ritma yang energetik. Sinematografi Bill Pope merakam keindahan yang mengancam; suntingan Bob Murawski menjaga denyutan tempo tanpa memberi ruang aman; skor Danny Elfman pula menggelapkan atmosfera dengan nada yang menggigit.
Produksi berlangsung dari Februari sehingga April 2025 di Sydney, Los Angeles dan Thailand; terbitan 20th Century Studios, bakal ditayangkan secara meluas sedunia pada 30 Januari 2026, dan tayangan di pawagam Malaysia bermula 29 Januari 2026. Barisan pelakon hebat seperti Dennis Haysbert, Xavier Samuel, Chris Pang, Edyll Ismail, Thaneth Warakulnukroh serta cameo Bruce Campbell dan Emma Raimi menambah jejak Raimi yang terasa akrab.


Prestasi lakonan menjadi tulang belakang Send Help. O’Brien meninggalkan persona heroik, memeluk karakter yang menyakitkan hati dengan komitmen penuh. Dia seorang boss yang menjengkelkan, manipulatif, dan membakar emosi penonton. McAdams pula memikul spektrum yang lebih berlapis: rapuh, jenaka getir, sedikit tidak stabil, memikat, lalu menggelincir ke wilayah gelap: transisi yang membuat jantung saya terasa sempit.
Skrip Damian Shannon & Mark Swift bagi saya sangat bijaksana dengan akal tajam; dialog kerap memecah ketegangan dengan tawa pahit. Meski beberapa bahagian dapat diramal, putaran akhir menebus rasa jangka itu.


Petikan “There is no help here, help yourself” terngiang lama seolah-olah sindiran pada dunia kerja yang kerap memaksa individu menyelamatkan diri sendiri. Bagi penonton yang memikul geram terhadap majikan yang culas, filem ini terasa dekat; bagi yang sensitif terhadap gore, bersedialah! Kekejaman visual bukan hiasan semata. Durasi 1 jam 56 minit mengekalkan intensiti; ritma awal membina perlahan sebelum letupan babak akhir yang mengigit.
Kalau menurut saya, Send Help sangat direkomendasi buat golongan bekerja yang rasa frustasi tahap tertinggi untuk melepaskan perasaan geram terhadap majikan yang bodoh dan tidak adil. Meski filem ini agak gory tetapi sangat relatable terutamanya bagi pekerja yang pernah teraniaya. Andai menonton dengan prihatin secara lebih mendalam, banyak mesej tersirat yang cuba disampaikan.


Ada juga pada suatu ketika, saya marah pada satu watak yang agak satu dimensi, dengan akhlak yang samar-samar, membuatkan saya berharap serta mahu kedua-duanya mati. Plot itu dianggap predictable pada babak tertentu, meski sentuhan akhir berkata sebaliknya. Bagi yang tidak suka gore berlebihan, Send Help mungkin terlalu brutal, terutama adegan CPR yang disebut sebagai "one of Raimi's all-timers."
Intinya, ini adalah kembalinya Raimi yang memuaskan ke teras seram, dengan rating R yang membolehkan kebebasan kreatif. Secara peribadi, pengalaman menonton terasa seperti terapi yang bengis: mengizinkan marah keluar, lalu mentertawakannya. Send Help bukan tontonan ringan, tetapi kepulangan Raimi ke genre ini sungguh memuaskan: liar, licik, dan berani.
Wajib tonton di layar besar kerana impaknya terasa penuh di ruang gelap pawagam. Takut dan ketawa datang beriringan, dengan sengatan emosi yang sukar dilupakan.
Justeru, singgahlah sebentar ke pawagam berdekatan anda mulai 29 Januari 2026 tayangan di Malaysia, Send Help menanti dengan kegelapan yang menggigit, tawa yang sinis, dan ketegangan yang memaksa jantung berdegup lebih cepat. Biarkan pulau terpencil itu menguji naluri, maruah, dan sisa-sisa keberanian yang masih ada.