Huru-Hara Yang Kreatif 'Good Luck, Have Fun, Don't Die' Bicara Lantang Tentang Teknologi

oleh: zizi hashim

Kekacauan sering kali lebih jujur daripada ketenangan. Perasaan itulah yang menyergah saya saat menonton Good Luck, Have Fun, Don’t Die, karya terbaharu sutradara Gore Verbinski selepas hampir sedekad menjauh dari kerusi pengarah. Filem ini tidak datang untuk memujuk atau berbisik lembut; ia datang seperti seseorang yang menarik kolar baju kita dan menjerit, “Hey, bangunlah.”

Good Luck, Have Fun, Don’t Die menerjah, menggoncang, lalu menjerit tepat ke wajah kita. Karya ini sangat terasa seperti ledakan tenaga yang terpendam: liar, bising, dan sarat imaginasi. Premisnya kedengaran hampir tidak masuk akal untuk dipadukan dengan logika. Seorang lelaki dari masa depan menyerbu sebuah restoran di Los Angeles dan mengisytiharkan bahawa dunia bakal runtuh. Dia memerlukan sekumpulan orang asing, yang kelihatannya tiada kaitan, untuk menyertainya dalam misi yang hanya merentasi beberapa blok kota, namun implikasinya menyentuh kelangsungan umat manusia.

Konsep ini seakan gabungan episod-episod Black Mirror yang ditingkatkan dosnya: penuh kafein, penuh paranoia. Lantas diikat menjadi satu naratif panjang, ditambah humor gelap bergaya Shaun of the Dead dan kepantasan komedi aksi seperti Hot Fuzz. Watak lelaki misteri itu digerakkan oleh Sam Rockwell, dan Rockwell benar-benar dilepaskan tanpa kekangan. Geraknya seolah elektrik hidup: melompat, meracau, memikat, mengancam lalu tiba-tiba memaparkan keseriusan yang menggetarkan.

Dia berdiri di antara perutusan masa depan dan orang gila, dan garis pemisah itu sengaja dibiarkan kabur. Verbinski membina momentum filem ini bak melempar mancis ke dalam tong minyak. Ritma suntingannya tajam, reka bentuk bunyinya agresif, dan visualnya terasa dibuat tangan, bukan sekadar terhasil daripada algoritma. Ketika efek khas akhirnya dilepaskan sepenuhnya, kegilaan visual itu terasa wajar: seperti klimaks demam yang sudah lama membara. Saya benar-benar tidak bersedia untuk tahap tenaga yang dibawakannya.

Rockwell tampil seperti arus elektrik yang tidak pernah padam. Sesekali dia meruntuhkan dinding emosi dengan kejujuran yang mengejutkan, saya tidak pernah benar-benar yakin sama ada harus mempercayainya, namun mata saya tidak mampu berpaling. Geniusnya seorang Verbinski, dia membina filem ini mengelilingi karisma Rockwell, menjadikannya pusat graviti kekacauan.

Di sebalik kekecohan dan humor gelapnya, naskhah ini memendam kemarahan yang jelas terhadap dunia moden. Ia mempersoalkan bagaimana kita menyerahkan perhatian, imaginasi, bahkan kemanusiaan kepada mesin dan algoritma yang memelihara kita dalam keadaan pasif. Kritikan terhadap budaya digital dan kecerdasan buatan memang lantang, bahkan kadang-kadang kritikan itu sangat terus terang, kadang-kadang hampir terasa “boomer-flavored” dalam nada frustrasinya. Namun keberanian itu terasa tulen. Filem ini tidak berminat untuk menjadi halus; ia mahu menggoncang.

Skrip nukilan Matthew Robinson bergerak seperti roller-coaster tanpa brek. Rujukan budaya pop, humor keterlaluan, dan lonjakan plot yang tidak terduga silih berganti. Ada ketikanya terasa berlebihan, malah hampir runtuh di bawah berat ideanya sendiri. Bahagian akhir menjadi begitu kacau sehingga logik dalaman cerita mula terurai. Namun anehnya, saya tetap terhibur. Meski pendekatan yang tidak seefektif struktur berlapis yang pernah dicapai filem Weapons tahun lalu, namun cukup untuk memperluas dunia ceritanya.

Sisipan latar belakang watak dalam potongan pendek memberi tekstur: membuat misi menyelamatkan dunia terasa lebih intim dan menyentuh manusia yang sudah retak sebelum kiamat tiba. Barisan pelakon pembantu menambah warna pada kegilaan ini. Haley Lu Richardson menghadirkan sisi rapuh yang sangat diperlukan, memberi emosi yang membumi pada cerita yang nyaris meledak. Juno Temple tampil liar dan sukar dijangka, sementara Michael Peña serta Zazie Beetz melengkapkan ensemble dengan tenaga yang selari dengan rentak panik Verbinski.

Dari sudut teknikal, Verbinski berada dalam mode penuh fleks. Reka bentuk bunyi agresif dan imersif, suntingan tajam ketika diperlukan, serta visual yang terasa organik dan tidak bergantung sepenuhnya kepada kesan janaan komputer. Ketika filem akhirnya melepaskan kegilaan visualnya, ledakan itu terasa diperoleh dengan usaha, bukan sekadar gimik.

Kelemahan tetap ada. Bahagian akhir menjadi terlalu sarat, hampir nonsensikal, sehingga logik dalaman cerita mula kabur. Penarafan R juga terasa sedikit membelenggu, seakan filem ini mahu melangkah lebih jauh tetapi berhenti separuh jalan. Mahu melangkah lebih ganas tetapi menahan diri pada saat akhir. Keraguan itu sedikit mengurangkan impak, namun anehnya, tidak memadamkan keseronokan keseluruhan sama sekali.

Pada akhirnya, pengalaman menonton Good Luck, Have Fun, Don’t Die terasa seperti mimpi demam yang indah dan menakutkan serentak. Ia berantakan, bising, kadang-kadang terlalu sarat, namun berani dan penuh imaginasi. Dunia mungkin tenggelam dalam bunyi dan skrin, tetapi filem ini masih percaya bahawa roh manusia layak dipertahankan.

Saat lampu pawagam menyala, saya sedar sesuatu: di balik semua hiruk-pikuk dan kegilaannya, Good Luck, Have Fun, Don’t Die benar-benar peduli. Ia percaya roh manusia masih penting meskipun dunia tenggelam dalam kebisingan digital. Verbinski kembali dengan jeritan yang barangkali kita memang perlu dengar. Saya keluar dari pawagam dengan kepala berpusing dan hati bergetar, dan untuk sekali ini, kekacauan terasa seperti sesuatu yang patut dirayakan. Tayangan bermula 12 Februari 2026 di pawagam seluruh Malaysia. Jom!