
oleh: zizi hashim
Riuh rendah suara penonton dalam pawagam malam itu terasa seperti bunyi arked lama yang hidup kembali selepas bertahun-tahun terkubur dalam ingatan. Belum pun filem bermula, saya sudah dengar beberapa orang di belakang menjerit kecil “GET OVER HERE!” sambil ketawa. Aneh juga bagaimana sebuah permainan video boleh membesar bersama hidup ramai orang sehinggakan satu dialog ringkas mampu membuka semula zaman kecil yang pernah hilang.
Mortal Kombat II datang dengan satu misi yang sangat jelas. Ia tidak mahu berpura-pura menjadi filem falsafah berat tentang menyelamatkan dunia. Filem ini tahu apa yang penonton mahu. Pertarungan ganas. Fatality berdarah. Watak ikonik. Tulang patah. Kepala terbang. Dan ya… fan service yang melimpah-ruah sehingga satu panggung bersorak seperti sedang menonton final UFC versi neraka.


Kali ini, Simon McQuoid akhirnya membawa penonton masuk ke pertarungan Mortal Kombat sebenar selepas filem pertama tahun 2021 lebih banyak menjadi pengenalan dunia dan watak. Earthrealm kini benar-benar berada di hujung kehancuran apabila Shao Kahn lakonan Martyn Ford turun sendiri untuk memimpin Outworld menakluk bumi manusia selepas kegagalan Shang Tsung. Aura Shao Kahn dalam filem ini memang menggerunkan. Tubuh besar, suara berat dan kehadiran yang terasa seperti gunung bergerak. Setiap kali dia muncul di skrin, suasana terus jadi tegang. Dia bukan villain yang jenis banyak bercakap kosong. Dia muncul sebagai ancaman yang benar-benar boleh membunuh sesiapa sahaja tanpa amaran.
Namun jujurnya, insan yang paling mencuri perhatian malam itu bukanlah Shao Kahn. Karl Urban sebagai Johnny Cage benar-benar 'mencuri perhatian' filem ini. Masuk sahaja babak pertama Cage diperkenalkan sebagai bekas bintang filem aksi 80-an yang hidup atas nostalgia dan konvensyen peminat, satu pawagam terus ketawa. Wataknya sombong, sarkastik, suka menunjuk dan penuh dialog one-liner yang kadang-kadang terlalu cheesy… tapi itulah Johnny Cage yang peminat Mortal Kombat kenal sejak dulu.


Karl Urban memahami watak itu dengan sangat baik. Dia tidak cuba menjadi terlalu serius. Dia bermain dengan aura “washed-up action star” itu dengan penuh selamba sehingga ada masanya saya rasa umpama menonton gabungan Deadpool dan pelakon VHS era 90-an. Dialog seperti “My power is I’m incredibly handsome” kedengaran bodoh… tapi entah kenapa menjadi lucu bila keluar dari mulutnya. Dan kemistri Johnny Cage dengan watak-watak lain sememangnya hidup.
Liu Kang lakonan Ludi Lin masih menjadi tunjang moral Earthrealm dengan aura tenang dan lebih matang. Sonya Blade dan Jax pula membawa elemen ketenteraan yang keras tetapi masih manusiawi. Cole Young masih ada, meski kali ini jelas filem lebih memahami bahawa peminat datang untuk watak-watak legenda permainan video, bukan semata-mata untuk protagonis ciptaan baru. Kemunculan Kitana lakonan Adeline Rudolph juga memberi lapisan emosi yang lebih kuat kepada cerita. Latar belakang Edenia yang jatuh ke tangan Shao Kahn membuka sisi tragis wataknya. Kitana bukan sekadar “pretty face” dalam filem ini. Dia membawa rasa kehilangan, dendam dan identiti yang dirampas sejak kecil.


Jade lakonan Tati Gabrielle pula menambah warna kepada dunia Outworld yang semakin luas dan gelap. Namun kalau bercakap tentang fan service, filem ini memang menggila. Scorpion lawan Noob Saibot? Ya Tuhan... babak itu sahaja sudah cukup untuk membuat peminat Mortal Kombat tepuk tangan bagai orang kerasukan nostalgia. Hiroyuki Sanada masih membawa aura Scorpion yang sangat ikonik. Setiap kali dia muncul, terasa seperti legenda lama turun semula ke medan perang. Joe Taslim pula sebagai Bi-Han/Sub-Zero/Noob Saibot terus menjadi antara karakter paling “cool” dalam seluruh filem.
Dan ya… fatality dalam filem ini memang ganas habis. LPF langsung tidak banyak mengganggu pengalaman gore tersebut. Kepala pecah, darah memancut, tulang terkeluar, badan dibelah: semuanya dipaparkan dengan penuh rakus seperti game asal Mortal Kombat yang dulu pernah buat ibu bapa panik di era 90-an. Tetapi yang menariknya, filem ini tidak terasa terlalu berat walaupun penuh keganasan. Humor menjadi penyelamat utama ritma filem. Kano lakonan Josh Lawson sekali lagi menjadi manusia paling mulut celupar dalam dunia Mortal Kombat. Setiapkali dia bercakap, satu panggung ketawa. Lawaknya kasar, bodoh dan kadang-kadang langsung tak masuk akal… tapi itu yang membuatkan suasana filem sentiasa hidup.



Saya suka bagaimana filem ini menerima sisi “campy” Mortal Kombat tanpa rasa malu. Ia tidak cuba menjadi filem superhero gelap yang terlalu serius. Ia faham bahawa Mortal Kombat memang sejak awal lagi adalah dunia pelik tentang ninja ais, hantu api, dewa petir dan lelaki Hollywood narcissist yang tumbuk raksasa bertaring. Dan sebab itu filem ini terasa jujur kepada identitinya sendiri. Babak Johnny Cage melawan Baraka memang antara highlight paling menyeronokkan. Seluruh pawagam bersorak dan ketawa serentak. Sama juga dengan beberapa pertarungan lain seperti Liu Kang vs Kung Lao dan arena brutal melibatkan Sonya Blade serta Sindel.
Koreografi pertarungan kali ini jauh lebih agresif dan pantas. Kamera juga tidak terlalu banyak “cut” sehingga merosakkan momentum aksi. Setiap tumbukan terasa berat. Setiap tendangan terasa sakit. Meski begitu, filem ini masih mempunyai kelemahan. Jalan ceritanya memang agak linear dan mudah dijangka. Ada beberapa subplot terasa tergesa-gesa, terutama ketika filem cuba memasukkan terlalu banyak watak dan lore daripada permainan video dalam satu masa. Sesetengah hubungan emosi juga tidak sempat berkembang dengan mendalam kerana filem terlalu sibuk bergerak ke pertarungan seterusnya.
Tetapi terus-terang… saya rasa ramai peminat Mortal Kombat tidak datang untuk mencari drama Oscar pun. Mereka datang semata-mata untuk melihat Scorpion menjerit “GET OVER HERE!”, melihat tulang patah dalam slow motion dan mendengar soundtrack yang membakar adrenalin. Dan filem ini memberikan semua itu dengan penuh kegilaan. Visual efek pula kadang-kadang ada yang nampak kasar, tetapi rekabentuk dunia Outworld sangat cantik dan penuh aura fantasi gelap. Arena pertarungan terasa seperti gabungan mimpi ngeri, permainan arked dan dunia heavy metal yang hidup. Tayangan di pawagam seluruh Malaysia bermula 7 Mei 2026.
Paling saya suka, filem ini tetap mesra untuk penonton baru. Kalau anda tak tengok filem pertama pun masih boleh faham cerita kerana filem memberi sedikit recap dan pengenalan semula kepada watak-watak utama. Jadi tak perlu terlalu risau kalau baru mahu masuk ke dunia Mortal Kombat sekarang. Hakikatnya, Mortal Kombat II mungkin bukan “Flawless Victory” sempurna dari sudut penceritaan… tetapi ia adalah kemenangan besar untuk peminat permainan video yang sudah lama mahu melihat Mortal Kombat benar-benar terasa seperti Mortal Kombat. Loud. Brutal. Kelakar. Berdarah. Dan penuh nostalgia. Kadang-kadang itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan satu malam terasa sangat menyeronokkan. “Fight!”