
oleh: zizi hashim
Bau peluh, darah dan dendam terasa pekat sejak babak pertama lagi. Tarung: Unforgiven bukan filem yang cuba menjadi 'cantik' dengan cara biasa. Ia keras, kasar dan penuh tubuh-tubuh lelaki yang memendam terlalu banyak luka dalam diam. Namun di sebalik tumbukan, bunyi tulang berlaga dan sorakan gelanggang bawah tanah, terselit sesuatu yang jauh lebih pilu. Manusia yang gagal memaafkan dirinya sendiri. Saya masuk panggung kononnya dengan ekspektasi mahu menonton filem aksi yang penuh gaduh dan pertarungan macho semata-mata. Tetapi semakin cerita bergerak, semakin saya sedar Tarung sebenarnya lebih dekat kepada kisah tentang trauma, rasa bersalah dan lelaki-lelaki yang dibesarkan untuk menyembunyikan emosi mereka di sebalik penumbuk.
Razaisyam Rashid sekali lagi membuktikan bahawa dia tahu bagaimana mahu membina dunia lelaki yang keras tetapi rapuh dari dalam. Selepas kejayaan Kahar: Kapla High Council, kali ini dia membawa penonton masuk ke dunia “underground” bernama MARGA: organisasi gelap yang menguasai lapan kawasan di Kuala Lumpur, lengkap dengan sistem hierarki, maruah dan pertarungan yang menentukan kuasa. MARGA terasa seperti dunia yang hidup. Ada undang-undangnya sendiri, ada “Paduka”, ada budaya loyalti dan pengkhianatan yang bergerak perlahan di belakang tabir.


Meskipun world-building itu terasa sedikit separuh masak dan masih banyak ruang untuk dikembangkan, cukup untuk membuat saya mahu tahu lebih jauh tentang dunia ini kalau sekuel benar-benar diteruskan nanti. Pusat cerita bergerak melalui Hatta, lakonan Mierul Aiman, seorang bekas juara silat yang hidup dalam bayang-bayang tragedi. Satu kematian ketika pertandingan silat dahulu meninggalkan trauma yang tidak pernah sembuh. Hatta berhenti bertarung, gelanggang itu dia anggap sudah menjadi kubur. Tetapi hidup selalu punya cara paling kejam untuk memaksa manusia kembali kepada perkara yang paling ingin mereka tinggalkan.
Apabila kakaknya, Aishah lakonan Sharifah Sakinah disahkan menghidap penyakit kritikal dan memerlukan kos rawatan yang besar, Hatta akhirnya menerima tawaran Badrul, watak yang dimainkan Zul Ariffin, untuk kembali ke gelanggang haram sebagai “ayam sabung” dalam pertarungan Tarung. Dan sejak langkah pertama Hatta masuk ke dunia itu semula, filem ini berubah menjadi perjalanan emosi yang perlahan-lahan menghimpit dada.


Apa yang paling saya suka tentang Tarung adalah bagaimana ia tidak cuba terlalu bijak dengan plot twist melampau. Ceritanya sebenarnya cukup linear dan predictable. Kalau banyak menonton filem aksi atau drama dendam, mungkin kita sudah boleh ramal ke mana arah akhirnya pergi. Tetapi anehnya, itu langsung tidak merosakkan pengalaman menonton. Kadang-kadang cerita sederhana tetap boleh menjadi sangat berkesan kalau disampaikan dengan jujur. Dan Tarung sangat jujur dengan emosinya. Itu yang paling saya suka.
Konflik utama antara Hatta dan Isa, lakonan Aedy Ashraf, menjadi nadi sebenar filem ini. Dua lelaki yang sama-sama memikul luka masa lalu, tetapi memilih cara berbeza untuk hidup dengannya. Isa menyimpan dendam seperti api yang tidak pernah padam, sementara Hatta pula sibuk melarikan diri daripada rasa bersalah sendiri. Kemistri mereka memang luar biasa. Setiap kali mereka berkongsi skrin, terasa seperti ada bara kecil yang menunggu masa untuk meletup. Pertarungan mereka terasa peribadi. Ada sejarah, ada marah, ada kecewa yang terlalu lama dipendam.


Dan ya, fight scene mereka memang gila sedap ditonton .Koreografi aksi dalam Tarung antara yang paling kemas pernah saya lihat dalam filem aksi tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pertarungan jarak dekat menggunakan elemen silat dan boxing dibuat dengan agresif tetapi masih mudah diikuti mata. Tiada kamera bergoyang keterlaluan atau suntingan berserabut yang merosakkan momentum.S etiap tumbukan terasa berat. Setiap tendangan terasa sakit. Malah bunyi-bunyian ketika berlawan juga memberi kepuasan aneh yang susah dijelaskan. Ada hentakan yang membuat penonton terasa seperti tulang sendiri yang berlaga. Filem ini faham bagaimana mahu menjadikan aksi terasa “real” tanpa perlu terlalu stylized.
Silat dalam Tarung juga berjaya dibuat terasa moden dan cool tanpa menghilangkan identitinya. Cara Hatta dan Isa bergerak di gelanggang benar-benar memberi penghormatan kepada seni bela diri itu. Tetapi yang lebih mengejutkan saya sebenarnya bukan aksi. Sebaliknya, kelembutan yang hadir di celah dunia maskulin filem ini. Ada banyak momen kecil yang memperlihatkan persahabatan lelaki dengan cara yang jarang dipaparkan dalam filem aksi tempatan. Hubungan Hatta dengan Yusof lakonan Amir Ahnaf terasa sangat manusiawi. Mereka bergurau, marah, melindungi satu sama lain dan kadang-kadang sekadar duduk diam bersama tanpa perlu bercakap banyak.


Filem ini seperti mahu mengingatkan bahawa lelaki juga punya ruang untuk takut, sedih dan lemah. Saya suka bagaimana Tarung cuba menyentuh idea toxic masculinity tanpa terlalu mengajar penonton. Lelaki-lelaki dalam filem ini kelihatan keras dari luar, tetapi sebenarnya masing-masing sedang bertarung dengan sesuatu dalam diri sendiri. Mierul Aiman cemerlang! Matanya sepanjang filem terasa seperti menyimpan terlalu banyak benda yang tidak mampu diucapkan. Ada rasa marah, trauma dan keletihan yang sangat jelas pada wajahnya. Sharifah Sakinah bermain dengan cukup baik sebagai Aishah, seorang kakak yang cuba kuat walaupun tubuhnya perlahan-lahan menyerah kalah.
Barisan pelakon lain juga sangat solid. Zul Ariffin sebagai Badrul membawa aura lelaki berbahaya yang tenang tetapi mengancam. Azira Shafinaz pula memberi lapisan emosi tambahan melalui watak Dahlia, terutama dalam hubungan “terlarang” bersama Isa. Hubungan mereka menambahkan rasa tragis kecil di tengah dunia ganas MARGA. Bront Palarae seperti biasa, tidak pernah gagal bila memegang watak yang punya aura dominan. Kehadirannya sebagai Khalid memberi tenaga besar kepada keseluruhan dunia filem ini.
Dari sudut visual, produksi Tarung memang cantik. Pencahayaan dunia bawah tanah MARGA terasa gritty tetapi stylish. Banyak shot pertarungan dirakam dengan bingkai yang kemas dan sinematik. Walaupun ada beberapa aksi sampingan terasa seperti filler dan momentum filem kadang-kadang naik turun, keseluruhan produksinya tetap berada pada level yang sangat memuaskan. Skor muzik mungkin tidak sekuat Kahar, tetapi masih membantu membina emosi dan ketegangan dengan baik.
Yang paling saya suka? Tentulah final battle! Anda kena tengok sendiri final battle itu. Pada akhirnya, Tarung bukan filem tentang siapa paling kuat berlawan. Ia tentang manusia yang cuba berdamai dengan masa silam. Tentang lelaki yang belajar bahawa memaafkan diri sendiri kadang-kadang jauh lebih sukar daripada menumbangkan musuh di depan mata. Mulai 7 Mei 2026, bersedialah untuk masuk ke dunia MARGA. Dunia pertarungan bawah tanah yang keras, brutal dan penuh manusia yang sedang melawan iblis dalam diri sendiri. Jom apa lagi tunggu?