Bila Taksub Mahu Anak Cemerlang, Bermulalah Misi Paling Huru-Hara Dalam '5 Bomoh'

oleh: zizi hashim

Kelucuan kadangkala menjadi cermin paling jujur untuk melihat kelemahan manusia. Itulah perasaan pertama yang hadir sepanjang menonton 5 Bomoh. Pada permukaannya, filem ini tampak seperti sebuah komedi santai tentang seorang bapa yang terlalu obses mahu anaknya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Namun semakin cerita bergerak, semakin jelas bahawa naskhah ini sebenarnya sedang menyindir banyak perkara yang masih berakar dalam kehidupan masyarakat kita.

Rashdan, lakonan Aaron Aziz, digambarkan sebagai lelaki yang berjaya dalam kerjayanya tetapi masih terperangkap dalam kepercayaan lama yang diwarisi sejak kecil. Ketika anaknya Nisa gagal mencapai keputusan yang diimpikan, dia mula panik. Ketakutan itu perlahan-lahan berubah menjadi obsesi. Dari situlah bermula pengembaraan yang menemukan mereka dengan lima bomoh yang masing-masing mempunyai perangai, pendekatan dan "kepakaran" yang cukup mengarut untuk membuat penonton ketawa sambil menggeleng kepala.

Apa yang saya suka, filem ini tidak memilih jalan mudah dengan menjadikan semua watak bomoh sekadar bahan jenaka semata-mata. Sebaliknya setiap pertemuan membuka satu lapisan baharu tentang bagaimana ketakutan manusia sering menjadi ruang paling mudah untuk dimanipulasi. Watak Sakinah lakonan Scha Alyahya pula menjadi suara rasional dalam kekecohan tersebut. Sebagai seorang graduan perubatan yang percaya kepada ilmu dan doa, dia berdiri sebagai kontras kepada Rashdan yang semakin hanyut mengejar jalan pintas. Pertembungan dua cara fikir ini sebenarnya menjadi nadi utama cerita.

Mungkin ramai datang ke pawagam kerana mahu melihat deretan nama besar seperti Aaron Aziz, Scha Alyahya, Afdlin Shauki, Johan, Amy Search dan juga kemunculan istimewa Khairy Jamaluddin. Sejujurnya, saya juga begitu. Dan saya akui antara perkara yang membuat saya terus terhibur ialah bagaimana setiap pelakon memahami nada satira yang cuba dibawa filem ini. Amy Search sebagai Bomoh Alami misalnya tampil dengan karisma tersendiri. Johan pula sebagai Bomoh Sem Chai memberikan tenaga komedi yang cukup bersahaja. Kehadiran mereka tidak terasa dipaksa, sebaliknya menghidupkan dunia yang memang sengaja dibina untuk kelihatan sedikit huru-hara dan kacau-bilau.

Dari sudut teknikal, 5 Bomoh mungkin bukan filem yang mahu memukau penonton dengan visual berskala besar atau efek yang berlebihan. Namun saya cukup menyukai bagaimana sinematografinya membantu menghidupkan identiti filem ini. Pergerakan kamera yang santai dan tidak terlalu agresif memberi ruang kepada para pelakon bermain dengan ekspresi serta dialog. Beberapa babak melibatkan pertemuan dengan bomoh-bomoh tersebut dirakam dengan sudut yang kreatif, menjadikan suasana terasa sedikit sureal tetapi masih dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.

Colour grading filem ini juga menarik perhatian saya. Palet warnanya hangat, cerah dan penuh karakter. Kampung-kampung, rumah-rumah lama serta lokasi pengembaraan keluarga Rashdan dipaparkan dengan tona yang menyenangkan mata. Ia memberi rasa seperti menonton sebuah kisah rakyat moden yang dibalut dengan humor kontemporari. Tata bunyi dan skor muzik pula memainkan peranan penting dalam membentuk identiti komedi filem ini. Muziknya tidak cuba mendominasi emosi, tetapi hadir pada waktu yang tepat untuk memperkuatkan situasi lucu, janggal atau ironik yang sedang berlaku. Ada beberapa momen yang terasa lebih menghiburkan hanya kerana pemilihan muzik latarnya yang bijak.

Namun saya juga harus jujur. 5 Bomoh bukan filem yang cuba menjadi karya satira berat atau kritikan sosial yang terlalu tajam. Pendekatannya lebih ringan dan mesra penonton umum. Ada ketikanya saya merasakan beberapa isu yang disentuh boleh diteroka dengan lebih mendalam, terutama tentang tekanan ibu bapa terhadap anak-anak dan budaya terlalu mengejar kejayaan akademik. Tetapi mungkin itu memang pilihan pengarah. Filem ini mahu membuat penonton tersenyum terlebih dahulu sebelum perlahan-lahan menyelitkan persoalan yang lebih besar. Dan pada saya, ia berjaya melakukannya.

Apa yang tinggal selepas kredit penutup bukanlah gelak ketawa semata-mata. Sebaliknya satu kesedaran kecil bahawa masih ramai antara kita yang kadangkala terlalu takut menghadapi kegagalan sehingga sanggup mempercayai apa sahaja yang menjanjikan harapan segera

5 Bomoh kalau menurut saya ialah filem yang ringan, mudah dihadam dan menghiburkan. Namun di sebalik segala kekecohan, lawak dan karakter-karakter eksentriknya, terselit sebuah sindiran halus terhadap masyarakat yang masih mencari jalan pintas untuk mengatasi masalah kehidupan. Kadangkala kita ketawa melihat kebodohan watak-watak di layar.Kadangkala tanpa sedar, kita sebenarnya sedang mentertawakan sebahagian daripada diri sendiri.

Saksikan filem komedi satira tempatan yang penuh warna ini di seluruh pawagam Malaysia bermula 4 Jun 2026. Ajak keluarga, kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang pernah berdepan tekanan peperiksaan atau pernah mendengar kisah bomoh "power" di kampung. Siapa tahu, mungkin anda akan ketawa paling kuat pada babak yang sebenarnya paling dekat dengan realiti hidup kita sendiri.

Comments
* The email will not be published on the website.