Menyingkap Pesona Teater Kabuki, 'Kokuho' Fenomena Epik Jepun Rangkul 10 Anugerah

oleh: zizi hashim

Hampir 3 jam berada di hadapan layar biasanya menjadi cabaran yang menguji kesabaran. Namun Kokuho membuatkan waktu bagai kehilangan makna. Tanpa letupan aksi, tanpa kejutan yang sengaja dipaksa, filem arahan Lee Sang-il ini menggenggam perhatian melalui sesuatu yang jauh lebih sukar dicapai. Emosi yang tumbuh sedikit demi sedikit sehingga akhirnya memenuhi seluruh ruang hati. Setiap minit seperti helaian diari yang dibuka perlahan, memperlihatkan perjalanan hidup Tachibana Kikuo sejak zaman kanak-kanaknya di Nagasaki sehingga dia berdiri megah di pentas sebagai pelakon Kabuki yang disanjung.

Saya hampir tidak sedar bilakah filem ini berjaya membuatkan saya berhenti melihat jam. Yang tinggal hanyalah keinginan untuk terus menyaksikan langkah berikutnya, seolah-olah hidup Kikuo kini turut menjadi sebahagian daripada hidup saya sendiri. Diadaptasi daripada novel terkenal karya Shuichi Yoshida, Kokuho membawa penonton memasuki dunia Kabuki: teater tradisional Jepun yang diwariskan turun-temurun selama ratusan tahun. Seni ini bukan hanya mengenai lakonan atau tarian. Ia ialah disiplin yang menuntut kesetiaan mutlak kepada tradisi, pengorbanan tanpa penghujung serta latihan yang mampu mengikis seluruh sisi kemanusiaan seseorang.

Sutradara Lee Sang-il membiarkan kita belajar sedikit demi sedikit tentang Kabuki, merasakan sendiri betapa beratnya beban yang dipikul oleh mereka yang memilih untuk mengabdikan hidup kepada seni. Kisahnya bermula daripada sebuah tragedi yang begitu mengesankan. Kikuo, anak kepada seorang ketua yakuza, menyaksikan sendiri bapanya ditembak mati ketika salju sedang gugur membasahi bumi. Adegan pembukaan itu begitu indah tetapi menyakitkan. Putih salju bertembung dengan merah darah, mencipta imej yang terus menghantui sepanjang filem berlangsung. Trauma itulah yang akhirnya membentuk jiwa Kikuo, menjadikan setiap persembahannya kelak terasa begitu hidup ibarat dia sedang menumpahkan seluruh luka yang tidak pernah mampu diungkapkan melalui kata-kata.

Takdir kemudian menemukan Kikuo dengan Hanai Hanjiro, seorang maestro Kabuki yang melihat bakat luar biasa dalam diri anak kecil itu lalu mengambilnya sebagai anak angkat. Sejak saat itu, kehidupan Kikuo berubah sepenuhnya. Dia membesar bersama Shunsuke, anak kandung Hanjiro yang sepatutnya mewarisi segala kemegahan nama keluarga mereka. Hubungan antara Kikuo dan Shunsuke menjadi denyut nadi paling indah dalam filem ini. Mereka bukan hanya sahabat. Mereka juga saudara, pesaing, cermin kepada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Semakin usia mereka meningkat, semakin jelas bahawa bakat tidak sentiasa berjalan seiring dengan darah keturunan. Kikuo memiliki anugerah yang sukar ditandingi, manakala Shunsuke memiliki nama besar yang diwariskan sejak lahir.

Konflik itu berkembang tanpa perlu dialog yang berlebihan. Saya cukup terpesona melihat bagaimana filem ini memilih diam sebagai bahasa utamanya. Setiap renungan mata, setiap langkah kaki di atas pentas, setiap hela nafas sebelum tirai dibuka membawa makna yang jauh lebih dalam daripada puluhan baris dialog. Keajaiban Kokuho sebenarnya terletak pada cara ia menggunakan persembahan Kabuki sebagai cerminan kehidupan watak-wataknya. Keenam-enam pementasan utama yang dipilih bukan sekadar persembahan untuk menghiburkan penonton. Setiap satunya menjadi metafora kepada perubahan jiwa Kikuo.

Saat dia menarikan The Love Suicides at Sonezaki, saya melihat seorang lelaki yang sedang memotong sedikit demi sedikit masa lalunya sendiri. Ketika dia bergandingan dengan Shunsuke dalam Renjishi, hubungan mereka terasa begitu akrab walaupun pada hakikatnya sedang retak dari dalam. Kemudian apabila muncul sebagai burung bangau putih dalam The Heron Maiden, saya merasakan seluruh kesunyian hidupnya akhirnya menjelma dalam bentuk yang paling indah dan paling menyayat. Saya tidak mempunyai latar belakang tentang Kabuki sebelum menonton filem ini. Saya juga tidak memahami sepenuhnya kisah yang sedang dipersembahkan di atas pentas. Anehnya, kekurangan itu langsung tidak menghalang saya menikmati keindahan persembahan mereka.

Di situlah kekuatan terbesar Kokuho, tidak memaksa penonton memahami Kabuki terlebih dahulu untuk menghayatinya. Sebaliknya mengajak kita merasakan denyut emosinya terlebih dahulu. Apabila hati sudah tersentuh, segala tradisi dan simbolisme itu perlahan-lahan menjadi semakin mudah difahami. Lee Sang-il bijak mengawal rentak penceritaan. Meski kisah ini melangkaui hampir lima dekad kehidupan, setiap lompatan masa terasa begitu semula jadi. Tidak pernah sekali pun saya berasa kehilangan arah. Setiap perubahan zaman membawa bersama luka baharu, harapan baharu dan persoalan yang semakin berat untuk dipikul oleh kedua-dua watak utamanya.

Satu demi satu watak mula meniti usia, dan pada titik itulah saya menyedari bahawa Kokuho bukan sebuah filem tentang siapa yang akhirnya berdiri paling tinggi di atas pentas. Ia sebenarnya berkisah tentang siapa yang sanggup kehilangan paling banyak demi sampai ke puncak itu. Perjalanan Kikuo dan Shunsuke perlahan-lahan berubah daripada persaudaraan kepada pertarungan yang tidak pernah mereka minta. Pertembungan mereka tidak lahir daripada kebencian semata-mata. Ia turut muncul daripada sesuatu yang jauh lebih rumit: rasa hormat yang tidak pernah padam, kasih sayang yang sukar diungkapkan, dan iri hati yang tumbuh tanpa dapat dikawal.

Kikuo memiliki bakat luar biasa yang seolah-olah dikurniakan sejak lahir. Tubuhnya memahami Kabuki dengan cara yang sukar diterangkan. Setiap gerakan, setiap lirikan mata dan setiap langkah terasa begitu alami sehingga dia sering mengatasi mereka yang lahir dalam keluarga seni itu sendiri. Namun di sebalik segala keistimewaan tersebut, dia tetap dianggap orang luar. Shunsuke pula mewarisi nama besar keluarga Hanai. Darah keturunannya membuka pintu yang tidak mampu dimiliki Kikuo. Malangnya, bakat yang diharapkan tidak pernah berkembang setanding dengan sahabatnya sendiri. Kontradiksi itulah yang menjadi jantung filem ini.

Lee Sang-il tidak memilih jalan mudah dengan menjadikan mereka musuh yang saling membenci. Kedua-duanya terus saling memerlukan meski hati masing-masing semakin retak. Ada ketika saya melihat mereka seperti dua cabang pohon yang tumbuh daripada akar sama, namun semakin tinggi semakin menjauh antara satu sama lain. Rasa itu menjadi semakin sakit kerana sebenanya tiada siapa pun yang bersalah. Kikuo tidak pernah meminta dirinya dilahirkan berbakat. Shunsuke pula tidak pernah meminta dirinya dilahirkan sebagai pewaris yang sentiasa dibandingkan. Setiap kejayaan Kikuo menjadi luka buat Shunsuke. Pada masa yang sama, setiap kelebihan yang dimiliki Shunsuke mengingatkan Kikuo bahawa walau setinggi mana pun dia terbang, darah keturunan tetap menjadi tembok yang sukar ditembusi. Perasaan itu disampaikan dengan begitu mengkagumkan oleh Ryo Yoshizawa dan Ryusei Yokohama.

Sebagai bukan pelakon Kabuki sebenar, mereka cemerlang meniru gerakan dan teknik persembahan, sekaligus sukses menangkap roh seni itu sendiri. Terutamanya ketika Yoshizawa membawakan watak onnagata, iaitu tradisi Kabuki yang menyaksikan pelakon lelaki melakonkan watak wanita dengan penuh kelembutan, keanggunan dan disiplin emosi. Tradisi yang telah bertahan selama berabad-abad itu diterjemahkan dengan begitu meyakinkan sehingga saya faham mengapa seni tersebut terus diraikan sebagai Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO. Lebih kagum lagi, Yoshizawa tidak pernah menjadi sesuatu yang dibuat-buat. Dia tidak kelihatan seperti lelaki yang sedang menyamar. Dia berubah menjadi satu entiti baharu yang melampaui sempadan jantina. Ada kelembutan, ada ketegasan, ada keanggunan yang lahir daripada latihan bertahun-tahun, dan semuanya dipersembahkan dengan penuh keyakinan.

Ken Watanabe sebagai Hanai Hanjiro pula menjadi tiang yang mengikat seluruh naratif. Sebagai guru, dia memahami bahawa bakat Kikuo jauh melangkaui anak kandungnya sendiri. Namun sebagai ayah, dia tetap memikul rasa bersalah terhadap Shunsuke. Sinematografi yang just nice buat saya rasa seperti sedang duduk di dalam sebuah teater tradisional Jepun. Saya dapat meneliti setiap lipatan kimono, setiap sapuan solekan putih yang menyembunyikan wajah sebenar para pelakon, dan setiap perubahan kecil pada riak muka mereka. Solekan dalam filem ini bukanlah sekadar kosmetik. Ia menjadi topeng yang menyorokkan luka manusia. Semakin cantik wajah di atas pentas, semakin jelas penderitaan yang sedang disembunyikan di baliknya.

Tidak hairanlah filem ini muncul sebagai antara karya Jepun paling berjaya tahun ini, malah mengungguli Anugerah Akademi Filem Jepun ke-49 dengan meraih 10 kemenangan termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. Kehebatan tata rias serta dandanan rambut yang diinspirasikan daripada estetika Kabuki turut mendapat perhatian antarabangsa menerusi pencalonan di Anugerah Akademi (Oscars) ke-98. Semua pencapaian itu adalah wajar apabila melihat kesungguhan yang dicurahkan pada setiap bingkai filem ini. Usai filem, saya rasa seperti baru selesai menemani seorang manusia menjalani seluruh hidupnya. Saya melihat seorang anak kecil kehilangan ayah, seorang remaja menemui keluarga baharu, seorang sahabat bertukar menjadi pesaing, seorang seniman menggadaikan kebahagiaan demi kesempurnaan.

Pada akhirnya saya melihat seorang legenda berdiri sendirian di pentas yang selama ini menjadi impiannya. Salju kembali gugur. Putihnya masih sama. Sunyinya juga masih sama. Dan itulah lambang sebenar Kokuho. Gelaran "Khazanah Negara" hanyalah penghormatan yang akan terus bertukar tangan mengikut zaman. Yang benar-benar abadi ialah seni yang ditinggalkan, sementara manusia yang melahirkannya perlahan-lahan menghilang daripada ingatan dunia. Andai anda menghargai karya sinematik yang kaya emosi, mencintai budaya Jepun atau sekadar ingin menikmati sebuah filem yang benar-benar menyentuh hati, Kokuho adalah jawapannya. Saksikan sendiri bagaimana dunia Kabuki dihidupkan dengan penuh keindahan. Berdurasi 2 jam 55 minit, Kokuho kini sedang ditayangkan bermula 23 Julai 2026. 

Comments
* The email will not be published on the website.