Alunan Nada-Nada Indah 'Sunshine Women's Choir' Di Sebalik Jeriji Besi Sungguh Menyentuh Hati

oleh: zizi hashim

Menyapa naluri jiwa saya secara senyap dan perlahan-lahan, filem ini meresap tanpa memberi ruang bersedia. Berkisarkan sekumpulan tahanan wanita yang membentuk sebuah kumpulan koir, digerakkan oleh Li Hui Zhen, tahanan bernombor 8112, lakonan Ivy Chen. Hasratnya tampak sederhana, namun menyimpan beban yang terlalu berat untuk dipikul seorang ibu. Dia terlalu ingin meninggalkan memori suara terpaling merdu buat anak perempuannya, Yun Shi, yang terpaksa diserahkan kepada keluarga angkat demi rawatan penyakit mata yang tidak mampu ditanggung dalam batas sistem penjara.

Keputusan itu terasa kejam bukan kerana ketiadaan cinta, tetapi kerana limpahan kasih sayang yang terpaksa berundur. Perpisahan antara ibu dan anak dirakam dengan kesenyapan yang menyakitkan, tanpa perlu dialog panjang atau muzik berlebihan. Di situlah saya mula goyah. Sejujurnya, saya menangis semahunya menonton filem ini. Tangisan yang datang tanpa sempat ditahan, kerana naluri keibuan yang dipaparkan terasa terlalu dekat dengan jiwa. Saya membayangkan diri berada di tempat Li Hui Zhen dan fikiran itu sendiri sudah cukup membuatkan dada saya sesak. 

Jika saya dipaksa membuat pilihan seperti itu, berpisah dengan anak sendiri demi peluang hidup yang lebih baik, saya benar-benar percaya kewarasan saya mungkin tidak akan bertahan. Sunshine Women's Choir tidak memujuk simpati; ia hanya memperlihatkan realiti paling sunyi tentang seorang ibu yang merelakan hatinya sendiri hancur berkecai. Satu keterpaksaan yang begitu menyayat hati kalau menurut saya. Membayangkan saja saya sudah tidak mampu, apatah lagi menghadapinya. Boleh jadi gila agaknya!

Dari titik itulah koir ini lahir, menjadi ruang bernaung bagi wanita-wanita yang masing-masing memikul sejarah luka dan kekhilafan hidup. Penceritaan bergerak dengan ritma perlahan di awalnya, seolah-olah mengajak penonton mengenali setiap wajah, setiap latar. Setiap tahanan membawa kisah silam tersendiri. Ada yang terperangkap oleh keadaan, ada yang terseret oleh keputusan singkat, dan ada yang dipenjarakan kerana mempertahankan diri. Hubungan yang terjalin antara sesama mereka terasa tulus, membentuk satu bentuk kekeluargaan yang lahir daripada kesakitan bersama.

Pada babak awalnya, segala yang saya imaginasikan tentang kehidupan di penjara yang kalau menurut saya adalah menyeramkan dan menakutkan, tidak pula terlihat di filem ini justeru persahabatan antara banduan dan pengawal lebih diberi tumpuan. Dalam masa yang sama memaparkan perjuangan para banduan untuk tetap bertahan dalam menjalani masa-masa hukuman mereka. Li Hui Zhen terpaksa menjalani hukuman penjara kerana tanpa sengaja suami yang menderanya ketika sarat hamil. Bahkan dia terpaksa harus melahirkan anaknya ketika di dalam penjara.

Yun Shi sangat beruntung. Meski dilahirkan di dalam penjara tetapi tak pernah kekurangan kasih sayang. Menonton Sunshine Women's Choir tidak terucap kata bosan kerana saya cukup terhibur dengan jalan cerita dan terbuai dek seleksi lagu-lagu merdu. Deretan lagu yang mengiringi perjalanan filem ini menjadi tulang belakang emosi. Dari lagu koir klasik seperti Amazing Grace dan Grateful Heart, sehinggalah lagu pop Taiwan seperti Dancesing Queen, Confession dan Sister Sister Stand Up, setiap susunan muzik terasa berfungsi sebagai jambatan perasaan. Lagu-lagu tema seperti Goodbye nyanyian Hong Pei Yu dan Happiness is Singing oleh A-Lin pula mengikat emosi wanita-wanita ini dengan benang halus yang sukar diputuskan.

Apa yang mengkagumkan ialah sutradara Lin Hsiao-Chien memilih pendekatan yang lembut dan jujur. Kesedihan yang tidak dipaksa serta emosi yang tidak disuap secara berlebihan. Unsur humor diselitkan dengan cermat, mencairkan suasana tanpa merosakkan graviti cerita. Tawa kecil yang muncul terasa manusiawi, seperti nafas pendek sebelum emosi kembali menghentam. Ia bukan dicipta untuk melarikan diri daripada kesedihan, tetapi untuk mengimbanginya.

Barisan pelakon wanita tampil dengan kekuatan tersendiri. Ivy Chen memperlihatkan sisi keibuan yang rapuh namun kental. Weng Qianyu sebagai “Yuying Ah Ma” membawa ketenangan yang menghangatkan layar, manakala Chung Hsin-ling mengejutkan dengan keseimbangan humor dan empati yang tepat. Pelakon lain seperti Amber An, Sun Shu-mei, Annie Chen dan Chen Ting-ni turut menyerlah, masing-masing menyumbang lapisan warna emosi yang saling melengkapi, menjadikan cerita ini terasa hidup dan nyata.

Seorang wanita muda tanpa sengaja membunuh suaminya. Seorang penyanyi popular yang harus menjalani hukuman kerana membunuh sang suami yang kantoi curang. Mendapat tawaran menjadi konduktor muzik untuk pasukan koir di dalam penjara membuatnya gembira, setidaknya mampu mengubati rasa rindu pada sang anak yang malu mempunyai ibu seorang pembunuh. Surat terakhir yang dikirim kepada sang anak bagai mengingatkan kasih sayang ibu saya sendiri terhadap saya, maka makin deraslah airmata saya mengalir tanpa mampu saya bendung.

Meski terdapat beberapa adegan awal yang memaparkan konflik fizikal dan buli yang agak keras, ia hadir sebagai garis sempadan tentang realiti kehidupan tertutup yang tidak mudah. Dengan durasi 2 jam 14 minit, rentak awal mungkin terasa perlahan bagi sesetengah penonton, namun sebaik sahaja cerita melangkah ke pertengahan, emosi datang bertubi-tubi tanpa belas. Secara peribadi, saya tewas. Air mata mula mengalir sebelum sempat bersedia, dan tidak berhenti hingga ke saat akhir. 

Bahkan selepas lampu pawagam menyala seusai tayangan, ramai masih kekal di tempat duduk, terdiam, enggan melepaskan perasaan yang masih tersisa. Sunshine Women’s Choir meninggalkan kesan yang lama bersemayam. Sebuah kisah tentang suara, kehilangan dan cinta seorang ibu yang sanggup mematahkan hatinya sendiri demi masa depan anaknya. Filem ini mengingatkan saya bahawa terkadang, suara dan nyanyian ialah satu-satunya warisan yang mampu ditinggalkan. Dan suara itu, apabila lahir dari cinta seorang ibu, akan terus hidup sampai bila-bila.

Andai anda mencari sebuah filem yang benar-benar sarat emosi, Sunshine Women’s Choir adalah pilihan yang tepat. Jangan lepaskan peluang menontonnya, bawa tisu kerana besar kemungkinan, air mata anda juga akan gugur tanpa disedari. Kalau tanya saya, di babak-babak terakhir filem sampai ke ending dia bagi lagi, lagi dan lagi sampai saya pun rasa penat menangis. Tayangan bermula pada 15 Januari 2026 di seluruh pawagam Malaysia, rekomendasi tertinggi dari saya! Wajib tonton!