Riuhnya pentas rock tanahair kembali bergema, tetapi bukan kerana gegaran muzik atau pekikan peminat. Nama XPDC itu sendiri berdiri sebagai lambang legasi, suara gelora zaman, dan tanda hormat kepada generasi yang membentuk arah rock tempatan. Namun kini, di sebalik gema nama itu, hadir bayang-bayang yang mencabar keabsahannya. Nama besar XPDC kini tercalar dengan pelbagai isu penyalahgunaan yang semakin hangat diperkatakan, hingga masyarakat dan peminat tertanya-tanya, XPDC mana satu yang sah? Siapakah sebenarnya yang berhak menyandang nama XPDC?
Kisah ini bermula apabila muncul satu pihak yang menggunakan nama XPDC untuk tujuan promosi dan persembahan tanpa kebenaran rasmi daripada Life Records, syarikat rakaman yang memiliki hak cipta dan cap dagangan jenama XPDC. Isu ini tidak hanya mengelirukan peminat, malah turut mengganggu tawaran persembahan dan reputasi kumpulan asal yang sudah sekian lama berjuang di pentas muzik tanahair. Pertanyaan itu akhirnya terjawab. Bertempat di Hotel Grand Barakah, satu sidang media dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bersama wakil sah kumpulan XPDC, peguam profesional, serta ahli keluarga Allahyarham Mael. Segalanya dibentang secara rasmi, jernih dan tanpa berselindung.
Peguam yang mewakili Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Aizul Rohan, tampil memperjelaskan bahawa hanya 8 individu yang sah mempunyai hak untuk menggunakan nama XPDC secara rasmi. Lapan individu tersebut terdiri daripada anggota asal kumpulan rock tersebut yang telah membentuk nama besar XPDC sejak dari awal penubuhannya. Mereka ialah:
Kata putus ini selari dengan kenyataan bertulis Life Records bertarikh 7 Julai 2025 yang turut diedarkan kepada media, dan dimuat naik ke laman Facebook rasmi syarikat tersebut.
Aizul mendakwa bahawa hanya 2 kumpulan diberi kebenaran dan lesen rasmi oleh Life Records untuk menggunakan nama XPDC iaitu XPDC Kita Peng Yu dan XPDC Militia. Setiap ahli dalam dua formasi ini merupakan anggota sah yang terikat dengan kontrak rasmi di bawah naungan Life Records, yang mengesahkan bahawa mereka adalah satu-satunya kumpulan yang sah membawa nama XPDC.
Namun begitu, sejak kebelakangan ini, muncul pula satu entiti baharu yang memperkenalkan diri sebagai “Real XPDC” seolah-olah cuba memonopoli persepsi awam bahawa merekalah pewaris sebenar. Mereka giat membuat persembahan, mempromosi konsert, malah menggunakan nama XPDC dalam bahan visual, cetakan, dan media sosial, semuanya tanpa sebarang kelulusan dari Life Records. Walaupun menambah imbuhan seperti “Real”, penggunaan nama “XPDC” tetap menjadi pusat promosi mereka, hingga menyebabkan kekeliruan dalam kalangan peminat dan penganjur.
Beberapa acara konsert didakwa menjadi bercelaru apabila pihak ketiga tampil menawarkan persembahan dengan kadar bayaran rendah, menggunakan nama XPDC tanpa kejelasan. Menurut Zuar, pemain bass XPDC Kita Peng Yu, “Sekarang wujud kumpulan ketiga. Ada antara mereka yang claim sebagai anggota asal XPDC. Penganjur pun jadi keliru. Bila disebut sahaja XPDC, mereka disangka kumpulan asal. Kadangkala yang palsu lebih laju bergerak berbanding yang sah.”
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, pula tampil memaklumkan bahawa pertikaian mengenai hak nama ini sudah terlalu lama membelenggu industri. “Sudah berlarutan hingga tercetus pergaduhan. Kami mahu jernihkan keadaan. Jangan sampai legasi ini dikotorkan oleh pihak yang mengambil kesempatan.” Sidang media itu turut disertai oleh adik kepada Allahyarham Mael, Syed Ali Syed Ibrahim, menambahkan lagi lapisan emosi dan keabsahan kepada perjuangan ini. Kenyataan bertulis dari Life Records turut diedarkan kepada media dan disahkan dimuat naik ke laman rasmi mereka.
Peguam Aizul Rohan menegaskan, mulai hari sidang itu, penggunaan nama XPDC hanya dibenarkan kepada 8 individu yang sah, dan selain itu adalah dilarang sepenuhnya. "Kalau guna juga, tindakan undang-undang boleh diambil. Apa-apa yang berkaitan nama XPDC tak boleh digunakan sesuka hati. Kalau benar mahu buat tribute, gunakanlah nama lain. Menggunakan jenama XPDC tanpa hak adalah niat yang mahu menangguk keuntungan dari warisan orang lain.” KARYAWAN turut mengumumkan bahawa kes ini akan dirujuk kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKK) untuk menyemak jika terdapat pendaftaran nama “Real XPDC” yang mungkin bertindih atau dilakukan secara tidak wajar.
Sebagai langkah pemulihan dan perlindungan legasi seni, KARYAWAN menyeru seluruh penggiat seni, penganjur dan peminat agar menghormati hak intelek yang telah dibina oleh XPDC selama bertahun-tahun serta menjaga kesucian warisan muzik tempatan. Dalam industri yang penuh cabaran ini, maruah dan integriti tidak boleh dibeli dengan harga murah. XPDC bukan sekadar sebuah nama, tetapi simbol perjuangan, keberanian, dan legasi muzik tanah air.
Justeru, dengan kenyataan rasmi dari Life Records dan KARYAWAN, persoalan tentang siapa yang berhak menggunakan nama XPDC sudah terjawab. Jika ada pihak yang masih berkeras, mereka akan berhadapan dengan tindakan yang sewajarnya. Nama XPDC bukan milik sebarang individu atau kumpulan yang mahu mengambil kesempatan, ia adalah milik 8 individu yang sah, dan tidak lebih daripada itu.
Foto oleh: Subky Hj Bebit / Fendi Ghafar