oleh: zizi hashim
08 Sep
08Sep

Jejak langkah panjang rock Malaysia akan menoreh lagi satu bab agung. Dua nama besar yang sejak dekad 80-an telah menguasai pentas dan hati ribuan pengikut, akhirnya bersatu dalam sebuah konsert yang diberi nama Fenomena Samurai. Tanpa perlu disebut secara terang, hanya dua kata itu, — Fenomena dan Samurai — sudah cukup menjadi isyarat, bahawa Search dan XPDC sedang menanti untuk menggegarkan bumi Sarawak.

Tanggal 13 Disember 2025, Stadium Sarawak di Kuching akan menjadi saksi penyatuan dua kuasa besar muzik rock ini. Di satu sisi, XPDC dengan barisan Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu yang terus menyala dengan semangat jalanan. Di sisi lain, Search yang digawangi oleh Din dan Kid, berdiri sebagai lambang keteguhan sebuah nama yang tidak pernah pudar. Gabungan ini bukan sekadar menghidupkan semula memori silam, tetapi menjanjikan ledakan energi yang akan menggetarkan segenap penjuru stadium.

Penganjur bersama, Seni Simfoni dan Bintang Batu Event, menegaskan bahawa konsert ini dirancang dengan teliti. Mereka menolak sebarang kompromi terhadap kredibiliti, kerana bagi mereka Search dan XPDC bukan kumpulan sembarangan. Mereka adalah gergasi yang sudah membina empayar muzik dengan darah, keringat, dan perjuangan. Seperti yang dijelaskan oleh Ikhram atau Atom, konsert ini dipahat dengan piawaian tinggi, dari susunan muzik hingga kualiti bunyi, semuanya dirangka agar malam itu menjadi epik dan tidak terlupakan.

“Kami tidak mahu Konsert Fenomena Samurai menjadi persembahan seadanya. Search dan XPDC adalah gergasi. Maka setiap aspek dari bunyi, pencahayaan, susunan muzik akan dirancang dengan teliti agar malam itu berdiri di aras yang tersendiri,” ujar Ikhram atau Atom penuh tekad. Din, vokalis Search, pula menyifatkan konsert ini sebagai perjalanan rasa. “Fenomena Samurai bukan hanya malam nostalgia. Ia adalah malam penghargaan buat mereka yang tak pernah berhenti menyokong, meskipun kami terpaksa melalui sepak terajang sepanjang perjalanan. Mereka yang hadir nanti bukan sekadar penonton, tetapi saksi kepada perjuangan yang kami junjung sejak puluhan tahun lalu,” katanya dengan suara yang sarat emosi.

Sementara itu, Izo dari XPDC menyuarakan harapan yang sama, “Peminat XPDC sudah lama menunggu sesuatu yang luar biasa. Bila kami disatukan dengan Search, ia bukan hal kecil. Ia ibarat dua sungai besar bertemu, lalu menjadi arus deras yang sukar dibendung. Malam itu pasti jadi sejarah.”

Tiket telah mula dijual sejak 5 September 2025, Jumaat jam 10 pagi di laman rasmi fenomenasamurai.ubertickets.asia. Tawaran early bird bermula serendah RM90 (Bronze) hingga RM250 (VIP). Selepas itu, harga normal akan berada dalam lingkungan RM129 hingga RM359 mengikut kategori. Dengan sokongan rakan strategik Rampage Studioworks serta penaja Yellowhello, penganjuran ini dijangka menjadi salah satu peristiwa rock paling bergaung dalam dekad ini.

Konsert Fenomena Samurai dijangka menjadi salah satu peristiwa paling bergaung dalam sejarah rock tempatan. Bagi mereka yang pernah membesar dengan gema “Fenomena” dan lantunan “Samurai”, inilah malam yang wajib anda saksi. Kerana di Sarawak kelak, bukan hanya lagu yang dimainkan, tetapi sebuah sejarah yang akan dipahat. Dan untuk setiap jiwa yang pernah berteriak dengan lagu-lagu abadi Search dan XPDC, malam di Kuching ini adalah malam yang wajib hadir, kerana gelombang fenomena hanya akan lahir sekali, dan Samurai telah menghunus pedangnya.

Comments
* The email will not be published on the website.