Deru kota Kuala Lumpur tidak pernah benar-benar tidur. Di celah bangunan tinggi, lampu jalan dan hiruk-pikuk manusia yang sentiasa bergerak, seni jalanan perlahan-lahan membentuk nadinya sendiri: bebas, liar dan penuh warna. Jun ini, denyut budaya urban itu bakal mengambil alih ibu kota menerusi KL Street Arts Festival 2026 yang dijangka menghidupkan Jalan Raja dan Dataran Merdeka dengan ledakan muzik, seni visual dan kreativiti komuniti tempatan.
Bakal berlangsung pada 20 Jun 2026 menerusi kolaborasi bersama program KL Street Jam, festival ini direncanakan bermula dari jam 12 tengah hari sehingga 11 malam di sekitar Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sepanjang sehari penuh, ruang ikonik ibu kota tersebut akan berubah menjadi medan ekspresi seni urban yang lebih terbuka, dekat dengan masyarakat dan sarat pengalaman interaktif.

Festival ini menghimpunkan pelbagai elemen budaya jalanan dalam skala komuniti kreatif yang jauh lebih besar. Pengunjung bakal menikmati persembahan muzik dan busking, street performers, live painting, sesi perkongsian seni urban, seni kraf tempatan serta pelbagai aktiviti interaktif yang meraikan kreativiti anak muda dan penggiat seni bebas tempatan.
Namun yang membuat KL Street Arts Festival 2026 lebih menarik adalah bagaimana festival ini cuba membawa seni jalanan keluar daripada stigma lama dan meletakkannya sebagai sebahagian daripada identiti budaya moden Kuala Lumpur. Menjelang malam, suasana festival dijangka berubah menjadi lebih meriah menerusi siri persembahan khas KL Street Jam yang bakal menghimpunkan penghibur dan penggiat seni tempatan yang cukup sinonim dengan budaya jalanan dan muzik alternatif tanah air. Antara nama-nama yang dijadual memeriahkan acara termasuk Baba Andy, Maman Teacher’s Pet, Aru Peruzza, Muzza’s Velvetones serta persembahan daripada artis dan kombo budaya DBKL yang dijangka menghidupkan suasana sepanjang festival berlangsung.


Tidak terhenti pada persembahan pentas semata-mata, festival ini turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman menerusi pelbagai sesi seni bersama panel kreatif tempatan. Antara yang bakal terlibat ialah pengkarya seni asal Mesir, Cheb Ali, selain Yosh Studio yang akan mengendalikan sesi klinik serta perkongsian berkaitan seni origami dan kreativiti visual. Sesi-sesi tersebut dijangka menyentuh pelbagai aspek berkaitan budaya urban moden, perkembangan seni bebas dan bagaimana komuniti kreatif tempatan terus berkembang di tengah perubahan landskap kota.
Menariknya lagi, KL Street Arts Festival 2026 turut membawa mesej sosial menerusi penglibatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang akan berkongsi kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah serta kesannya terhadap masyarakat, khususnya golongan belia dan penggiat seni. Melalui kerjasama bersama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), pihak AADK dijangka melancarkan kempen bertemakan “Muzik Tanpa Dadah” sebagai usaha memperkukuh mesej gaya hidup sihat dan bebas dadah melalui medium seni dan muzik.


Festival ini juga bakal disertai hampir 20 pempamer seni dan kraf tempatan yang akan mempamerkan pelbagai hasil karya kreatif kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung. Dalam masa sama, penganjuran festival ini turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh inisiatif “Seniman Kota” yang diperkenalkan DBKL bagi menyokong pengkarya seni dan penghibur jalanan yang berdaftar di bawah DBKL.
Festival ini turut mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah menerusi inisiatif ArtsFAS yang memberi fokus terhadap pembangunan seni, budaya dan warisan tempatan melalui penyediaan dana serta peluang ekonomi kepada penggiat seni. Dan mungkin itulah yang membuat festival ini terasa lebih bermakna. Bukan sekadar sebuah acara seni biasa, tetapi ruang di mana kota, muzik dan manusia bertemu dalam bahasa kreativiti yang lebih bebas dan hidup.