oleh: zizi hashim
29 Jun
29Jun

Tidak semua kisah keibuan bermula dengan sempurna. Ada yang dipenuhi tawa kecil seorang anak, namun dalam diam turut disulami rindu yang tidak pernah surut. Ada hari yang dipenuhi senyuman, dan ada malam yang menuntut seorang ibu mengumpul seluruh kekuatan untuk terus berdiri walaupun pasangan berada jauh di mata. Itulah realiti yang kini berani dikongsikan oleh penyanyi popular Wany Hasrita menerusi Oh Mummy!+, sebuah siri mini yang membawa penonton menyelami sisi paling jujur dalam kehidupannya sebagai seorang ibu.

Selepas mencuri perhatian penonton menerusi Oh Mummy sepanjang Ramadan lalu, program realiti kekeluargaan itu kembali dengan nafas baharu menerusi Oh Mummy!+, sebuah spin-off lapan episod berdurasi 10 minit yang bakal bersiaran mulai 5 Julai 2026, setiap Ahad jam 7.50 malam di TV3 serta boleh distrim menerusi Tonton. Berbeza dengan musim terdahulu, kali ini fokus diberikan sepenuhnya kepada perjalanan Wany mengharungi dunia keibuan bersama puteri kesayangannya, Aishah Al Iman.

Namun, perjalanan itu bukanlah semudah yang disangka. Sebagai seorang isteri yang menjalanperkahwinan jarak jauh (LDR) kerana suaminya bertugas di Sarawak, Wany memikul sendiri sebahagian besar tanggungjawab membesarkan Aishah di Semenanjung. Dalam kesibukan memenuhi jadual sebagai anak seni, beliau tetap berusaha memastikan setiap detik tumbesaran anaknya tidak pernah terlepas daripada perhatian dan kasih sayang seorang ibu. Melalui Oh Mummy!+, penonton bakal menyaksikan rutin harian yang jarang dikongsi kepada umum.

Bermula daripada menguruskan keperluan Aishah, membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga, sehinggalah kepada momen-momen spontan yang mencuit hati, program ini memperlihatkan bahawa kehidupan seorang selebriti juga dipenuhi cabaran yang tidak jauh berbeza daripada ibu bapa lain. Lebih istimewa, segala yang dipaparkan hadir tanpa lakonan atau skrip yang berlebihan. Sebaliknya, ia menampilkan sisi Wany yang sebenar: seorang ibu yang belajar setiap hari untuk menjadi lebih baik buat anaknya. 

Sepanjang lebih sedekad bergelar anak seni, Wany telah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi wanita paling berjaya di negara ini. Namanya pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 31 pada tahun 2018, selain meraih tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu ke-35 menerusi lagu duet "Belenggu Rindu" bersama Datuk Jamal Abdillah. Namun di sebalik segala pencapaian itu, Wany mengakui gelaran yang paling bermakna dalam hidupnya hari ini ialah bergelar ibu. Latar belakang akademiknya dalam bidang Sains Perubatan mungkin pernah membentuk disiplin dan ketekunannya sebagai seorang individu, tetapi kehadiran Aishah telah mengubah cara beliau melihat kehidupan.

Kini, setiap hari membawa pelajaran baharu tentang kesabaran, kasih sayang dan pengorbanan yang tidak pernah mampu diajar di dalam bilik kuliah. Menurut Wany, setiap detik bersama anak perempuannya mempunyai nilai yang tidak ternilai. "Setiap tawa, tangisan dan langkah kecil Aishah adalah memori yang amat berharga. Walaupun berjauhan dengan suami, tanggungjawab ini saya galas dengan penuh kasih sayang. Saya berharap perkongsian yang jujur dalam Oh Mummy!+ ini dapat memberi inspirasi dan kekuatan kepada ibu-ibu lain yang turut melalui fasa yang sama," katanya. Kejujuran itulah yang menjadi kekuatan utama Oh Mummy!+.

Program ini bukan sekadar memperlihatkan rutin seorang selebriti, sebaliknya meraikan perjalanan seorang ibu moden yang sentiasa berusaha mencari keseimbangan antara keluarga, kerjaya dan dirinya sendiri. Dalam dunia yang sering memaparkan sisi indah kehidupan di media sosial, Wany memilih untuk berkongsi realiti yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar: tentang keletihan, kerinduan, kegembiraan dan kebahagiaan yang hadir dalam bentuk paling sederhana. Lebih daripada sebuah program realiti, Oh Mummy!+ menjadi ruang buat ramai ibu bapa melihat bahawa tiada siapa yang sempurna dalam membesarkan anak.

Apa yang benar-benar penting ialah kasih sayang, kesabaran dan keikhlasan yang dicurahkan setiap hari. Bagi mereka yang bergelar ibu, kisah Wany mungkin terasa begitu dekat. Bagi yang belum melalui fasa itu pula, program ini membuka jendela untuk memahami bahawa di sebalik setiap senyuman seorang ibu, tersimpan seribu pengorbanan yang tidak selalu mampu diungkapkan dengan kata-kata. Jangan lepaskan peluang menyaksikan Oh Mummy!+ bermula 5 Julai 2026, setiap Ahad, jam 7.50 malam di TV3, atau strim bila-bila masa menerusi Tonton. Barangkali, dalam kisah Wany Hasrita, ramai akan menemukan sedikit daripada kisah kehidupan mereka sendiri. 

Comments
* The email will not be published on the website.