Semangat yang pernah tercalar tidak pernah menjadi noktah bagi sebuah perjalanan seni. Wali Band memilih untuk bangkit, menata kembali langkah, lalu kembali menyapa Kuala Lumpur dengan tekad yang lebih kukuh. Band asal Tangerang, Indonesia ini mengumumkan Konsert Wali Band Kembali yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 1 Mei 2026. Sebuah malam yang dirancang sebagai penawar kepada rasa kecewa yang pernah berbekas dalam kalangan peminat mereka di Malaysia.
Awal tahun ini, konsert yang melibatkan mereka mencetuskan ketidakpuasan hati segelintir penonton apabila persembahan lagu-lagu hit tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Namun peristiwa tersebut tidak mematahkan semangat kumpulan yang dianggotai Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) untuk kembali beraksi. Sebaliknya, ia menjadi katalis untuk menghadirkan sesuatu yang lebih tersusun dan berimpak.

Faank, selaku vokalis, meluahkan perasaan mereka terhadap peminat di Malaysia, “Kami memahami perasaan peminat kami di Malaysia. Atas sebab itu, kami mahu kembali menebus kekecewaan mereka menerusi konsert solo kami sendiri. Apa yang berlaku sebelum ini tidak mematahkan semangat kami untuk kembali beraksi di Malaysia. Malah, ia membuatkan kami lebih bersemangat untuk menghiburkan peminat.Bahkan, kami juga bakal tampil dengan repertoir yang lebih padat dan menarik agar peminat benar-benar terhibur serta memperoleh kepuasan maksimum melalui persembahan kami di kedua-dua konsert solo ini nanti,” katanya.
Konsert solo ini dianjurkan sekali lagi oleh GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures: penganjur yang sama di sebalik Konsert RadjaWali pada 10 Januari lalu. Keputusan untuk terus bekerjasama menimbulkan persoalan pelbagai pihak, namun Faank menjelaskan bahawa mereka mempunyai pertimbangan tersendiri. “Jujur… kami punya alasan sendiri. Kami selesa bekerjasama dengan mereka kerana mereka sangat profesional serta berpengalaman luas di dalam penganjuran acara konsert. Bahkan, trek rekod mereka sebagai penganjur konsert sebelum ini juga cukup baik.Apa yang berlaku di dalam acara konsert terdahulu itu adalah lumrah yang berlaku di dalam sesebuah penganjuran konsert. Adakalanya, penganjur acara konsert juga terpaksa berdepan dengan masalah atau hal-hal yang tidak diingini,” ujarnya lagi.

Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, menegaskan bahawa penganjuran Konsert Wali Band Kembali merupakan tanda tanggungjawab terhadap insiden lalu. “Apa yang kami lakukan ini juga suatu bukti bahawa kami benar-benar bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku sebelum ini dan kami juga komited untuk menghadirkan persembahan yang lebih tersusun, lancar dan berkualiti.Bukan soal keuntungan yang menjadi keutamaan dalam konsert ini tetapi ia lebih kepada kepuasan penonton. Insya Allah, kami janjikan persembahan konsert yang terbaik kali ini,” katanya.
Malam 1 Mei nanti dijangka menyaksikan Wali Band membawakan lebih banyak rangkaian lagu popular mereka dengan susunan pentas yang lebih mantap serta interaksi lebih intim bersama peminat. Aspek teknikal seperti sistem bunyi, pencahayaan dan aliran acara turut diberikan perhatian khusus demi memastikan pengalaman konsert yang lebih memuaskan serta risiko gangguan minima seperti sebelum ini.


Jualan tiket akan bermula pada 16 Februari 2026 dengan harga RM777 (VIP), RM327 (CAT2), RM237 (CAT3), RM177 (CAT4), RM157 (CAT5), RM127 (CAT6), RM137 (GA) dan RM77 (CAT7). Penonton Konsert RadjaWali pula berpeluang menikmati diskaun 20 peratus menerusi kod promo tiket terdahulu yang boleh digunakan untuk pembelian dalam talian.
Tiket boleh diperoleh melalui www.ilassotickets.com manakala perkembangan terkini boleh diikuti menerusi media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram. Konsert ini turut mendapat sokongan Era FM, Sinar dan THR Gegar sebagai rakan radio rasmi serta Astro Gempak selaku portal rasmi. Kuala Lumpur bakal menyaksikan satu lagi lembaran yang ingin ditulis semula: bukan dengan alasan, tetapi dengan pembuktian.