oleh: zizi hashim
13 May
13May

Gelombang nostalgia kadangkala hadir tanpa perlu dipanggil. Cukup sekadar beberapa baris lagu lama diputarkan, manusia terus kembali mengingati zaman ketika cinta terasa lebih jujur, luka terasa lebih dalam dan muzik menjadi teman paling setia saat hati sedang kacau. Dari memori itulah Radja kembali menyusun sebuah malam yang dijangka sarat emosi menerusi Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai 2026.

Dianjurkan oleh DHYAH PROD7CTION bersama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES, konsert solo istimewa itu menjadi simbol penghargaan buat perjalanan suku abad Radja dalam industri muzik Nusantara. Sebuah perjalanan panjang yang dibina melalui lagu-lagu cinta, patah hati dan kenangan yang masih hidup dalam jiwa peminat sehingga hari ini.

Selepas mencetuskan fenomena menerusi Konsert RadjaWali pada Januari lalu, kemunculan semula Radja kali ini terasa jauh lebih besar kerana ia hadir dalam format konsert solo penuh. Tidak lagi berkongsi pentas, malam tersebut bakal memberi ruang sepenuhnya kepada identiti muzik dan kekuatan emosi kumpulan legenda Indonesia itu. Peminat dijangka dibawa mengembara semula ke era awal 2000-an menerusi deretan lagu malar segar seperti "Cinderella", "Jujur", "Benci Bilang Cinta", "Takkan Melupakanmu", "Manusia Biasa", "Jangan Sakiti Aku" dan "Aku Ada Karena Kau Ada" yang selama lebih dua dekad terus menjadi teman setia ramai pendengar Nusantara.

Lagu-lagu tersebut bukan sekadar hit popular biasa, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada memori kolektif generasi yang membesar bersama muzik Radja. Ada cinta pertama yang pernah ditemani lagu “Cinderella”, ada luka lama yang masih terasa setiap kali “Jujur” diputarkan, dan ada juga kenangan remaja yang tidak pernah benar-benar pergi. Di pentas Kuala Lumpur nanti, Ian Kasela bersama Moldy, Adit dan Seno Aji bakal menghidupkan semula aura era kegemilangan Radja yang pernah menjadi fenomena besar industri muzik serantau suatu ketika dahulu. 

Menurut wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, konsert tersebut menjadi peluang terbaik buat peminat yang masih belum puas menikmati persembahan Radja ketika Konsert RadjaWali sebelum ini. “Bagi peminat Radja yang masih belum puas menyaksikan persembahan mereka ketika Konsert RadjaWali pada Januari lalu, inilah peluang terbaik untuk hadir dan menikmati persembahan Radja secara eksklusif dalam konsert solo mereka sendiri,” katanya.

Namun yang membuat konsert ini terasa lebih menarik adalah elemen pembaharuan yang cuba dibawakan penganjur. Selain persembahan utama Radja, penonton turut bakal disajikan tribute istimewa oleh dua DJ profesional wanita dari Malaysia dan Indonesia yang akan mempersembahkan lagu-lagu Radja dalam susunan muzik elektronik lebih moden dan segar. Setakat ini, nama Nathalie Holscher sudah disahkan sebagai antara DJ yang bakal terlibat dalam persembahan tersebut. Kehadirannya dijangka memberi warna baharu kepada karya-karya klasik Radja tanpa menghilangkan identiti asal dan kekuatan emosinya.

Dalam masa sama, pihak penganjur turut memberi bayangan tentang kemunculan beberapa penyanyi jemputan dari Malaysia yang akan diumumkan dalam masa terdekat. Sesuatu yang pastinya membuat peminat semakin ternanti-nanti malam penuh nostalgia tersebut. Bagi Ian Kasela sendiri, Malaysia sentiasa memiliki tempat istimewa dalam perjalanan seni Radja sejak awal kemunculan mereka. 

“Konsert Revolusi Radja 25 Tahun ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu perjalanan emosi yang meraikan 25 tahun muzik, kenangan dan sokongan yang tidak pernah putus daripada para peminat kami di Malaysia dan seluruh Nusantara,” ujarnya. Dan mungkin benar, ada muzik yang tidak pernah tua. Ia cuma menunggu waktu yang tepat untuk membuat manusia jatuh cinta sekali lagi.

Comments
* The email will not be published on the website.