oleh: zizi hashim
21 May
21May

Degup riff gitar yang pernah menjadi soundtrack zaman remaja ramai pencinta indie akhirnya bakal kembali bergema di Kuala Lumpur. Selepas bertahun-tahun dirindui peminat tempatan, Two Door Cinema Club secara rasmi mengumumkan kemunculan mereka menerusi Two Door Cinema Club 15th Anniversary Tour yang dijadual berlangsung pada 19 Ogos 2026 di Mega Star Arena. Namun konsert ini bukan sekadar persembahan biasa.

Ia hadir sebagai sebuah perjalanan nostalgia yang membawa peminat kembali ke era kegemilangan muzik indie 2010-an: zaman di mana lagu-lagu seperti "What You Know", "Undercover Martyn" dan "Something Good Can Work" menjadi nadi kepada generasi yang membesar dengan festival muzik, skinny jeans dan energi anak muda yang terasa bebas tanpa batas. Menerusi Two Door Cinema Club 15th Anniversary Tour, band yang dianggotai Alex Trimble, Sam Halliday dan Kevin Baird itu bakal mempersembahkan album ikonik Tourist History secara penuh buat pertama kali di hadapan peminat Malaysia. 

Dilancarkan pada tahun 2010, Tourist History bukan sahaja menjadi titik perubahan terbesar dalam perjalanan seni mereka, malah dianggap antara album indie paling penting dalam dekad tersebut. Album itu memperkenalkan identiti muzik yang menggabungkan indie rock, dance-pop dan susunan gitar pantas yang akhirnya melonjakkan nama Two Door Cinema Club ke pentas antarabangsa. Lebih menarik, konsert ini turut menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-15 album tersebut, menjadikan malam itu lebih emosional bukan sahaja buat peminat, tetapi juga buat band itu sendiri.

Dalam kenyataan rasmi mereka, Two Door Cinema Club mengakui konsert tersebut membawa makna besar dalam perjalanan karier mereka. “Tourist History adalah album yang mengubah perjalanan kami sebagai sebuah band. Membawakan album ini semula secara penuh di hadapan peminat adalah sesuatu yang sangat bermakna, apatah lagi selepas sekian lama kami tidak kembali ke Kuala Lumpur,” kata mereka. Selain keseluruhan album Tourist History, peminat juga boleh menjangkakan beberapa lagu hit lain daripada katalog muzik mereka sepanjang lebih sedekad perjalanan seni. 

Penganjuran konsert ini juga memperlihatkan Malaysia terus menjadi antara destinasi penting untuk komuniti muzik alternatif antarabangsa. Menurut wakil Faded Youth MY, sambutan terhadap pengumuman konsert tersebut sudah mula menunjukkan keterujaan luar biasa daripada peminat tempatan. “Two Door Cinema Club mempunyai pengikut yang sangat kuat di Malaysia. Konsert ini bukan hanya tentang membawa sebuah band antarabangsa ke Kuala Lumpur, tetapi tentang meraikan satu era muzik yang dekat dengan ramai peminat,” jelas wakil penganjur.

Tambah mereka lagi, Mega Star Arena dipilih kerana kapasiti dan suasananya yang sesuai untuk memberikan pengalaman persembahan indie berskala arena yang lebih imersif dan dekat dengan peminat. Konsert tersebut dianjurkan oleh Faded Youth MY bersama DYS Booking Agency dan dijangka menjadi antara konsert indie antarabangsa paling dinanti tahun depan.

Tiket rasmi akan mula dijual pada 23 Mei 2026 jam 10 pagi menerusi platform Ticket Empire dengan kategori:

  • Rock Zone — RM280
  • Cat 1 — RM320
  • Cat 2 — RM240

Harga tiket tidak termasuk caj pemprosesan dan tertakluk kepada perubahan. Dan mungkin untuk satu malam nanti, Kuala Lumpur bukan sekadar menjadi lokasi konsert biasa… tetapi berubah menjadi mesin masa kecil yang membawa ribuan manusia kembali kepada memori paling indah dalam era muzik indie mereka sendiri.

Comments
* The email will not be published on the website.