oleh: zizi hashim
18 Dec
18Dec

Segalanya bermula daripada sebuah malam yang meninggalkan kesan mendalam. Kekecohan pada Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL pada 12 Disember 2025 bukan hanya mencetus perbincangan, malah membuka mata banyak pihak tentang kedudukan sebenar Barbarik dalam landskap muzik tempatan. Reaksi peminat yang luar biasa memperlihatkan bahawa kumpulan ini bukan hadir sebagai pemuzik yang sekadar tumpang lalu begitu sahaja, sebaliknya membawa identiti, pengaruh dan perjuangan yang sentiasa diperhatikan dengan setia.

Setelah menzahirkan rasa simpati terhadap ratusan peminat yang tidak berpeluang menyaksikan konsert tersebut akibat kapasiti penuh, Barbarik memilih untuk bertindak. Tiada alasan, tiada usaha menyapu cerita diam-diam ke bawah karpet. Sebaliknya, keputusan diambil untuk menebus kepercayaan itu secara terbuka dan profesional menerusi penganjuran Pentas Barbarik Vol. 2.

Hasrat ini bukan keputusan tergesa-gesa. Republic Mokhmah Records (RMR) bersama Pentas Barbarik Sdn Bhd mengumumkan penganjuran edisi kedua di lokasi yang lebih besar, dengan skala persembahan yang lebih tersusun dan megah. Pentas Barbarik Vol. 2 bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 31 Januari 2026, bermula jam 8 malam.

Menurut JoBranko mewakili Barbarik, penganjuran ini bukan usaha menutup kekhilafan lalu, sebaliknya sebahagian daripada agenda yang telah lama dirancang. Namun, insiden terdahulu menjadikan konsert ini lebih bermakna sebagai tanda kesungguhan Barbarik menjaga reputasi dan hubungan bersama peminat yang menyokong mereka tanpa syarat. Persembahan kali ini juga dirangka untuk memastikan pengalaman berskala besar yang lebih berkualiti serta pengurusan tiket yang terkawal agar isu penjualan berlebihan tidak berulang.

Bagi pihak penganjur, RMR menegaskan bahawa Pentas Barbarik Vol. 2 bukan medan mengambil kesempatan. Konsert ini dianggap signifikan sebagai satu “pertempuran” bermaruah selepas beberapa penganjuran sebelum ini, dengan Mega Star Arena dipilih sebagai lokasi terbaik untuk memulakan tahun baharu dengan kekuatan sebenar Barbarik. RMR turut memberi jaminan akan mengelak sebarang bentuk penjualan tiket tidak sah yang boleh menjejaskan reputasi artis mahupun penganjur di Malaysia.

Sebagai bukti bahawa penganjuran ini bukan sekadar ulangan, Barbarik tampil dengan barisan istimewa yang cukup bererti. Pemuzik legenda Karl akan menghangatkan pentas, satu keputusan yang berakar daripada sejarah bersama. Karl bukan sekadar ikon muzik tanah air, malah pernah menjadi sebahagian daripada album sulung Barbarik Peluru Cokelat menerusi lagu Golok Kayu. Kehadirannya dijangka menambah aura magis pada malam tersebut.

Gandingan teras Barbarik yang terdiri dari Ainoll, Rozaimi, Muss, JoBranko dan Lee terus menjadi nadi kekuatan kumpulan ini. Karl Cromok kini menyertai senarai penampilan khas bersama Eddie, Black, Mel dan Jojet, nama-nama yang dikekalkan daripada persembahan terdahulu dan bakal mencorakkan “gempuran” bunyi di Mega Star Arena. Konsert berdurasi 2jam 30 minit ini menjanjikan sekitar 30% kelainan berbanding Barbarik Vol. 1. Susunan lagu disemak semula, repertoir dipelbagaikan, dan pilihan karya disusun agar setiap persembahan terasa hidup, bukan sekadar pengulangan rakaman lama. Barbarik mahu peminat pulang dengan pengalaman yang berbekas: sesuatu yang boleh diceritakan, bukan hanya didengar.

Penjualan tiket akan bermula pada 18 Disember, jam 12 tengah hari menerusi platform rasmi www.iLassoTickets.com/pentasbarbarikvol2. Kategori tiket ditawarkan bermula RM138 (General Admission), RM168 (Rockzone – standing), RM268 (Normal – seating), RM368 (VIP – seating), serta RM1,500 untuk Grand VIP – Couple Seat, tidak termasuk caj pemprosesan.Pada 31 Januari 2026 nanti, Barbarik tidak sekadar naik ke pentas. Mereka akan menggempur Mega Star Arena dengan disiplin, pengalaman dan tekad untuk membuktikan bahawa kepercayaan peminat bukan sesuatu yang boleh diambil ringan.

Bagi peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada detik penting ini, tiket Pentas Barbarik Vol. 2 sudah mula dijual. Pilih tempat, tentukan posisi, dan hadir menyaksikan Barbarik menggempur Mega Star Arena dengan persembahan berskala besar yang dirancang rapi. Jangan biarkan cerita ini hanya dibaca. Alami sendiri getarnya, rasai energinya, dan bawa pulang pengalaman yang sukar diulang. 

Comments
* The email will not be published on the website.