Bukan semua bintang dilahirkan di bawah limpahan cahaya pentas. Ada yang mencuri perhatian hanya dengan satu langkah kecil, satu renungan manja atau gaya bersahaja yang mampu membuat sesiapa sahaja tersenyum tanpa dipinta. Kini, pentas itu kembali dibuka buat si bulus paling bergaya di negara ini. Selepas mencipta fenomena sebagai pertunjukan fesyen kucing pertama di Malaysia, Cat Fashion Week (CFW) kembali dengan musim terbaharu yang menjanjikan lebih banyak warna, kreativiti dan momen mencuit hati.
Bermula 20 Julai hingga 15 Ogos 2026, TV3 membuka Uji Bakat Online Cat Fashion Week, mengajak pencinta kucing di seluruh negara menampilkan keunikan haiwan kesayangan mereka untuk merebut peluang beraksi di pentas finale. Mengulangi kejayaan musim terdahulu, Cat Fashion Week bukan sekadar mencari kucing yang paling cantik atau memiliki baka paling eksklusif. Pertandingan ini menilai keseluruhan pesona seekor kucing, daripada karisma, personaliti dan keyakinan, sehinggalah hubungan istimewa yang terjalin antara si bulus dengan pemiliknya. Gabungan elemen fesyen, hiburan dan kreativiti itu menjadikan Cat Fashion Week sebuah acara yang meraikan kasih sayang terhadap haiwan peliharaan dalam suasana santai dan menyeronokkan untuk seisi keluarga.

Proses penyertaannya cukup mudah. Peserta hanya perlu menghasilkan video berdurasi satu minit yang memaparkan si bulus mereka dalam gaya paling kreatif dan bergaya. Video tersebut boleh dihantar melalui e-mel ke contest@tv3.com.my atau dimuat naik ke media sosial menggunakan tanda pagar #CatFashionWeekTV3 sepanjang tempoh pertandingan berlangsung. Daripada semua penyertaan yang diterima, 30 ekor kucing terbaik akan dipilih untuk menjalani sesi rakaman separuh akhir sebelum hanya enam finalis berjaya melangkah ke pentas kemuncak.Pemilihan tidak dibuat berdasarkan rupa semata-mata.
Antara aspek yang dinilai ialah baka, gaya catwalk, keadaan fizikal dan penjagaan, keserasian antara pemilik dan kucing, serta kreativiti yang dipamerkan sepanjang persembahan. Enam finalis yang berjaya bukan sahaja akan berentap pada malam finale, malah bakal mengikuti siri kandungan eksklusif yang memaparkan perjalanan mereka menuju pentas akhir. Kemuncak Cat Fashion Week 2026 dijadual berlangsung pada 25 Oktober 2026, menjanjikan sebuah pertunjukan yang dipenuhi aksi lincah si bulus, persembahan istimewa serta pelbagai detik menghiburkan sebelum gelaran juara akhirnya diumumkan.


Apa yang menjadikan Cat Fashion Week terus dekat di hati pencinta haiwan ialah konsepnya yang meraikan hubungan antara manusia dan kucing. Di sebalik pakaian comel dan langkah di atas pentas, pertandingan ini sebenarnya memperlihatkan bagaimana haiwan peliharaan telah menjadi sebahagian daripada keluarga, berkongsi rutin harian, kasih sayang dan pelbagai memori bersama pemilik mereka. Setiap video yang dihantar bukan sekadar penyertaan pertandingan, tetapi sebuah cerita kecil tentang persahabatan antara manusia dengan si bulus yang sentiasa setia menanti di rumah.
Bagi mereka yang yakin kucing peliharaan mempunyai aura tersendiri, inilah masanya untuk membuktikan bahawa si comel kesayangan mampu mencuri perhatian seluruh negara. Kerana dalam dunia Cat Fashion Week, seekor kucing tidak perlu tahu berjalan di pentas seperti model profesional. Cukuplah memiliki keyakinan, keunikan dan pesona yang mampu membuat semua mata terpaku. Dan mungkin, di sebalik langkah kecil yang kelihatan biasa itu, lahirlah "Super Meowdel" Malaysia yang seterusnya.
