Jejak panjang seorang maestro tidak pernah berhenti pada satu titik, ia berkembang, berlapis dan akhirnya menemukan bentuk paling sempurna dalam sebuah pelengkap yang dinanti-nantikan. Pada tanggal 4 Julai 2026, perjalanan itu akan mencapai kemuncaknya menerusi DATO’ M. Nasir CIPTA 4: sebuah konsert yang bukan sekadar kesinambungan, tetapi noktah kepada sebuah trilogi yang telah mencorakkan landskap muzik tempatan sejak 2024.
Gagasan “CIPTA” sendiri lahir daripada makna yang luas: tentang daya fikir, penciptaan, dan keberanian melahirkan sesuatu yang belum pernah wujud. Ia menjadi refleksi paling jujur kepada perjalanan seni M. Nasir, seorang figura yang bukan sekadar menghasilkan lagu, tetapi membentuk peradaban bunyi dalam dunia muzik Nusantara.


Sejak CIPTA 1 membuka tirai, diikuti CIPTA 2 dan CIPTA 3, serta edisi istimewa CIPTA RAYA, setiap penganjuran bukan sekadar persembahan tetapi ruang di mana karya dihidupkan kembali dengan dimensi baharu. Ia menjadi medan sejarah, medan rasa, dan medan kesinambungan bagi ratusan ciptaan yang telah lama berakar dalam jiwa pendengar.
Namun, apa yang menjadikan CIPTA 4 lebih istimewa bukan hanya penutup kepada trilogi, tetapi cara ia diumumkan. Kelainan yang jarang terjadi dalam industri apabila sidang media khas berlangsung di atas tren bergerak Keretapi Tanah Melayu Berhad dari Stesen Kuala Lumpur menuju ke Ipoh. Dalam suasana perjalanan Ekspres Rakyat (Nasi Ganja) Tok Nasir Ke Ipoh, pengumuman ini terasa lebih hidup seolah-olah seni itu sendiri sedang bergerak bersama penonton.


Di tengah perjalanan itu, satu kejutan besar diumumkan kehadiran Melly Goeslaw sebagai penyanyi undangan. Nama yang cukup sinonim dengan gelaran The Queen of Soundtracks ini membawa makna tersendiri, bukan sekadar kolaborasi biasa, tetapi pertemuan dua komposer besar rantau yang belum pernah disatukan sebelum ini.
Menurut penganjur Icon Entertainment yang diterajui Iman Tang, menyifatkan gabungan ini sebagai detik bersejarah menghimpunkan dua figura dengan ribuan karya di bawah nama masing-masing; sekitar 3,000 lagu bagi M. Nasir dan lebih 700 ciptaan oleh Melly. Sebuah pertemuan yang bukan sekadar simbolik, tetapi perayaan kepada kekuatan muzik Nusantara.
Melly sendiri tidak sekadar hadir sebagai tetamu, beliau turut memeriahkan suasana dengan petikan lagu Fantasia Bulan Madu serta lagu hitsnya Butterfly, mencipta momen spontan yang menghubungkan dua dunia muzik dalam satu ruang yang intim.


Bagi M. Nasir, konsert ini membawa satu harapan yang lebih dalam, bahawa keaslian dalam seni masih mempunyai tempat dalam dunia yang semakin dipenuhi tiruan. Dengan tema Batik Injection, beliau mahu mengangkat nilai tradisi dalam bentuk yang segar, menjadikan setiap persembahan sebagai refleksi budaya yang hidup. Malam tersebut dijangka menampilkan sekitar 30 hingga 40 buah lagu, termasuk susunan medley yang menghubungkan pelbagai era ciptaannya, memberi pengalaman yang bukan sahaja luas, tetapi juga emosional.
Kini, CIPTA 4 hadir sebagai pelengkap. Satu noktah yang membawa makna, tetapi dalam masa yang sama membuka ruang kepada kesinambungan yang lebih jauh. Bertempat di Unifi Arena Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam, konsert ini bakal mempersembahkan karya-karya ikonik yang telah membentuk legasi M. Nasir: lagu-lagu yang bukan sekadar didengar, tetapi menjadi sebahagian daripada memori kolektif pendengar. Menurut Iman Tang, penganjuran CIPTA sejak awal memang dirancang sebagai sebuah perjalanan empat fasa. Setiap satunya membawa dimensi berbeza dalam meraikan karya seorang legenda.


Dengan ratusan lagu ciptaan yang pernah dihasilkan, CIPTA menjadi medan untuk menghidupkan semula karya-karya tersebut dalam bentuk yang lebih imersif, menggabungkan visual, susunan muzik dan pengalaman langsung yang tidak mungkin diulang dalam format biasa. M. Nasir sendiri tidak banyak berbicara, cukup dengan satu seruan ringkas: hadir dan lengkapkan perjalanan ini bersama-sama. Sebuah ajakan yang tidak memerlukan huraian panjang, kerana maknanya sudah cukup berat untuk dirasai.
Seperti penganjuran terdahulu, penonton turut digalakkan tampil dengan tema batik, sebuah simbol budaya yang memperkaya suasana dan menjadikan pengalaman lebih berwarna serta bermakna. Tiket mula dijual pada 24 April 2026 jam 11 pagi melalui platform rasmi, dengan pelbagai kategori tempat duduk yang dinamakan bersempena karya-karya ikonik seperti Mentera Semerah Padi, Sekuntum Bunga Di Gurun Sahara, hingga Cinta Kristal.


Dan mungkin, di antara setiap melodi yang bakal bergema malam itu, terselit satu kesedaran yang lebih besar, bahawa karya sejati tidak pernah berakhir, ia hanya terus dicipta dalam ingatan mereka yang pernah merasainya. Jumpa anda di CIPTA 4!