oleh: zizi hashim
01 Jul
01Jul

Hembusan angin September kelak akan membawa aroma nostalgia yang kental, menyelimuti Axiata Arena dengan dentuman dram dan simfoni gitar bingit yang telah lama dinantikan. Haji Dato' M. Nasir, sang arkitek melodi, memilih untuk terus mencipta sehingga detik yang ketiga. Mahakarya agung yang bakal menjadi noktah berapi kepada satu trilogi konsert yang telah mengukir sejarah dalam memori khalayak diberi gelar 'Dato' M. N46IR CIPTA 3'.

Masih terbayang momen magis pada Ogos 2024, ketika Axiata Arena dibanjiri lebih 8,000 peminat. Mereka menyanyikan lagu demi lagu berjemaah seiring sifu yang tidak pernah kering ilham menCIPTA. Tak lama kemudian, Oktober mempersembahkan pula CIPTA 2, dan siapa boleh lupa saat langit arena dihujani wang ringgit, RM10,000 melayang seperti dedaun emas di hujung persembahan lagu raya yang melankolik dan hangat menyala. Dan daripada detik itu, lahirlah CIPTA RAYA, sebuah konsert spin-off eksklusif yang meraikan lagu-lagu raya ciptaan M. Nasir, berlangsung penuh berkat pada April 2025.

Namun, satu suara dalam seni jarang berdiam. Maka, trilogi ini menuntut noktah. Bukan noktah kebisuan, tetapi letusan. Justeru lahirlah CIPTA 3, dijadualkan menggoncang Axiata Arena pada tarikh keramat 27 September 2025. Bersama Etiqa selaku rakan strategik utama, konsert ini memikul sebuah janji besar, 'Malam Ini Gua Rock'. Konsep yang diusung bukan sembarangan. Ini bukan nostalgia kosong atau sekadar menghimpun hits lama. 'Malam Ini Gua Rock' ialah penghormatan terhadap sisi paling liar dan jujur dalam diri M. Nasir, sang arkitek seni yang mencipta wajah rock Melayu.

Lagu-lagu seperti "Sejati", "Intanku Kesepian" milik Wings, mahupun "Pawana" dari Search, semuanya terlahir dari imaginasi kreatif sang maestro. Bukan hanya sedap di telinga, tetapi turut berdarah dalam nadi generasi. Dan kini, pemilik ciptaan-ciptaan itu akan menyampaikannya sendiri dalam bentuk seni yang hanya dia seorang sahaja mampu cetuskan. Mohamad Nasir Mohamed, 67 tahun, akan mempamerkan sisi berbeza dirinya, sebagai dalang di sebalik anthem-anthem rock yang pernah menggemparkan Nusantara. Konsep 'Malam Ini Gua Rock' bukan gimik, ia merupakan penghormatan kepada rekod prestasi M.Nasir sebagai mastermind di belakang karya-karya monumental kugiran tempatan.

Sebagai pengasas Icon Entertainment, Iman Tang dengan lantang menyuarakan keyakinan, “Ramai yang sinis, kononnya ‘konsert M. Nasir lagi?’. Tapi percayalah, CIPTA 3 ini adalah kejutan. Mungkin yang paling berani... dan paling gila!” Beliau menyambung lagi, “Sifu tidak pernah mempersembahkan sisi ‘rock-nya’ sepenuh hati. Inilah kali pertama. Beliau adalah pencipta yang menemukan intan dalam kumpulan seperti Wings dan Search. Jadi bila beliau sendiri mempersembahkan naskhah rock ciptaannya, pasti ada keajaiban yang akan terbit di pentas itu.” tambah Iman Tang penuh antusias. "Bayangkan bagaimana bunyi asal lagu-lagu itu ketika dipersembahkan oleh penciptanya sendiri."

DATO' M. N46IR CIPTA 3 bukan sekadar bergelut dengan bunyi gitar dan rentak gendang. Ia adalah visi yang meraikan perjalanan seni seorang sifu, sebelum dia melangkah ke fasa seni yang lebih tenang. Dalam kata-kata M. Nasir sendiri, "Konsert ini adalah perayaan... perayaan secara rock." Dan untuk peminat sejati, malam itu bukan hanya untuk mendengar, tetapi juga untuk menyertai. Kod pakaian “Rock Cara Lu…Promise Rock” adalah panggilan kepada semua yang ingin hadir sebagai diri mereka sendiri, meraikan rock dalam bentuk yang paling peribadi dan autentik. Tema ini mencerminkan filosofi inklusif yang menghargai diversiti interpretasi seni.

Tiket boleh diperoleh bermula 3 Julai 2025 jam 2 petang untuk pengguna aplikasi Etiqa+, manakala jualan umum akan bermula pada 4 Julai jam 11 pagi. Harga bermula dari RM258 hingga RM628, dengan nama-nama kategori yang cukup puitis – TEGUH, OPERA HIDUP, ISI DAN KULIT, SEJATI, GADISKU, PAWANA – seakan mencerminkan fasa dan roh dalam karya M. Nasir. Etiqa selaku rakan strategik utama memberikan kelebihan istimewa kepada pengguna aplikasi Etiqa+ dengan pra-jualan bermula 3 Julai 2025 pukul 2.00 petang. Jualan am akan dibuka sehari kemudian pada 4 Julai pukul 11 pagi melalui www.ticket2u.com.my/mnasircipta3.

Momentum ini merupakan kesempatan terakhir untuk menyaksikan epilog trilogi yang bakal menjadi legenda. Menonton melalui platform digital tidak akan menandingi sensasi autentik berada di ground zero ketika sejarah sedang ditulis. Jangan tunggu untuk menonton dari rakaman YouTube atau potongan TikTok, percayalah sorakan, kemeriahan dan aura malam itu tidak akan sampai ke skrin telefon anda.

Sebagai yang pernah menyaksikan 2 konsert sebelumnya, saya percaya ini akan jadi sesuatu yang lebih liar, lebih jujur, lebih menyentuh dan lebih gila. Kerana rock, pada akhirnya, bukan tentang bunyi kuat dan bingit tetapi tentang nyala yang hidup dalam jiwa. Maka, hadirkan diri. Jadilah saksi kepada peristiwa ini, di hadapan mata anda sendiri. September nanti, Axiata Arena akan bergegar dengan mantra: "Malam Ini Kita Rock dengan Rock Cara Lu…Janji Rock." Jom!

Comments
* The email will not be published on the website.