oleh: zizi hashim
25 Jun
25Jun

Sepotong nostalgia yang pernah tersimpan kemas di balik pita kaset dan layar kaca kini menemukan jalannya kembali ke alam nyata. Ada denyut yang tersimpan di dada, menunggu untuk diletuskan semula. Dan kini, selepas 2 dekad menunggu dalam sunyi, 5 wanita yang pernah mencetuskan fenomena, Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza kembali memegang mikrofon, bukan sekadar untuk menyanyi, tetapi untuk menyambung ikatan yang pernah terputus dek kekangan masa dan komitmen masing-masing.

ELITE bukan hanya nama. Ia adalah gema suara generasi 90-an yang pernah berdansa dengan "Trauma", jatuh cinta dengan "Manisnya Senyuman Mu", dan berkongsi energi lewat "Tamparan Wanita". Lagu-lagu ini barangkali telah lama menjadi latar suara dalam senyap, hanya sesekali didengari melalui radio atau penstriman digital. Namun kini, buat pertama kalinya dalam sejarah kumpulan itu, pentas besar akan menjadi medan mereka berpencak semula, bukan dalam bayangan, tetapi di hadapan mata yang sekian lama menanti.

Di bawah naungan Icon Entertainment yang gah merencana sejarah konsert-konsert berkaliber, lahirlah ELITE LIVE ’25, yang bakal berlangsung pada tanggal 20 September 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre. Sebuah persembahan yang bukan sahaja mencabar fizikal dan emosi 5 wanita yang telah lama menyepi dari gegar pentas, malah turut menggetarkan perasaan ribuan peminat yang telah menanti momen ini selama dua dekad. Bukan kecil impaknya, kerana buat pertama kalinya dalam sejarah ELITE, sebuah konsert berskala besar akhirnya menjadi nyata.

Usai kemunculan memukau mereka sewaktu Konsert genKRU, reaksi khalayak tak berbelah bahagi, teriakan, tepukan, dan tanda tanya bergema, “Bilakah Elite akan kembali dengan konsert penuh?” Icon Entertainment menjawab persoalan itu bukan dengan janji kosong, tetapi dengan perancangan teliti yang melewati pelbagai fasa kajian, perbincangan dan pelaksanaan rapi. Tiada ruang untuk sambil lewa. Ini bukan konsert tangkap muat, ini adalah naskhah besar yang dicipta dengan hormat terhadap legasi.  Sesuatu yang dahulu hanya menjadi wacana antara peminat setia, kini bakal ditulis semula menjadi bab penting dalam sejarah muzik tanah air.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, konsert ini bukan sekadar untuk meraikan Elite, tetapi juga sebagai penyataan bahawa industri muzik kita masih punya denyut yang kuat, bahawa karya agung tahun 90-an tetap meresap dan hidup di kalangan generasi baharu. Iman Tang juga menyatakan dengan tegas bahawa penganjuran ELITE LIVE ‘25 bukan semata-mata usaha menunggang populariti gelombang konsert semasa, tetapi kerana kumpulan ini masih relevan, masih diperlukan, dan masih dirindukan.

"Konsert ini telah melalui pelbagai fasa. Dari pengamatan, perbincangan hingga ke pelaksanaan yang rapi. Ini bukan tangkap muat. Ini adalah momen yang layak untuk diraikan dalam skala besar," ujar Iman, dalam nada yang cukup membenihkan keyakinan. Dan memang terbukti. Ketika ELITE tampil sebagai tetamu istimewa sewaktu Konsert genKRU, aura mereka mengatasi jangkaan. Tepukan berdentum, sorakan bersatu, dan deretan soalan membanjiri media sosial, semuanya menuntut satu perkara iaitu konsert penuh ELITE. Dari suara-suara itulah ELITE tahu, mereka belum usai. Mereka belum benar-benar ditinggalkan.

Bagaimanapun di sebalik kemeriahan itu, terselit juga kegusaran. Elite sendiri akui mereka bimbang lama tidak menari di bawah sorotan lampu, lama tidak berkongsi pentas bersama. Tetapi mereka memilih untuk melangkah, kerana karya mereka masih hidup dan peminat mereka belum lupa. Ini adalah pesta yang dijanjikan buat mereka yang setia, dan juga pelawaan mesra buat yang baru jatuh cinta.

Untuk menjadi saksi kepada detik ini, peminat boleh mendapatkan tiket bermula 26 Jun 2025, jam 2 petang di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/elite. Dengan pakej eksklusif seperti GIG (RM1,088 – termasuk Meet & Greet serta hidangan istimewa), Manisnya Senyumanmu (RM588), Catwalk (RM268), dan Tamparan Wanita (RM268) — setiap satu menawarkan pengalaman berbeza buat setiap jenis pengagum ELITE.

Tajuk-tajuk tiket ini sendiri adalah pengenalan emos. Setiap nama menggambarkan momen, memori, dan rasa yang pernah dicipta melalui lirik-lirik mereka. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ELITE LIVE ‘25 bukan hanya konsert, tetapi sebuah ode kepada zaman, di mana segala-galanya terasa lebih tulen, lebih jujur, dan lebih meresap ke jiwa. Ini adalah perayaan semangat yang tak lapuk ditelan waktu, dan penyambungan tali kasih antara dua generasi, mereka yang pernah menyaksikan ELITE di puncak gemilang, dan mereka yang hanya mengenali kumpulan ini melalui arkib digital.

Untuk yang pernah mendewasa bersama mereka, ini adalah panggilan pulang. Untuk yang baru mengenal mereka, ini adalah pintu masuk. Dan untuk ELITE sendiri, ini adalah tamparan terindah. Bukan yang melukai, tetapi yang membangkitkan. Sebuah panggilan bangun dari tidur panjang, dengan suara yang tetap merdu, walau masa telah lama berlalu.

Jom, bersiap-sedialah. Kerana pada malam itu nanti, pentas akan bercahaya, dan ELITE akan berdiri, menyanyi bukan dengan suara semata, tetapi dengan seluruh jiwa.

Comments
* The email will not be published on the website.