Percaya atau tidak, getar sesebuah lagu mampu membawa manusia pulang ke zaman yang sudah lama berlalu. Hanya dengan satu petikan gitar atau bait pembukaan yang cukup dikenali, kenangan tentang kaset, gig kecil, radio lama dan suara yang pernah menemani masa muda kembali hidup tanpa perlu dipanggil. Pada tanggal 1 Ogos 2026 ini, seluruh kenangan itu bakal bertemu dalam satu ruang apabila tiga gergasi rock tanah air — Wings, Search dan XPDC — bersatu buat pertama kali menerusi Konsert 3 Veto di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert tersebut bakal mencipta sejarah apabila menghimpunkan tiga kumpulan yang memiliki sejarah panjang dalam muzik Malaysia. Ia menemukan tiga identiti, tiga kelompok peminat dan tiga perjalanan seni yang selama puluhan tahun bergerak dalam lorong masing-masing sebelum akhirnya bertemu di sebuah pentas yang sama. Konsep yang dibawa cukup mudah, tetapi nilainya besar: satu tiket untuk menyaksikan tiga legenda rock dalam satu malam. BUY 1 FREE 3!

Pemain bass XPDC, Eddie, menyifatkan tawaran itu sebagai konsep “beli satu, percuma tiga” kerana penonton tidak perlu membeli tiket bagi tiga konsert berasingan untuk menikmati persembahan Wings, Search dan XPDC. “Hanya dengan satu tiket, penonton dapat menyaksikan tiga kumpulan rock legenda dalam satu malam. Ibarat ‘beli satu, percuma tiga’. Inilah nilai sebenar yang kami mahu berikan kepada peminat,” katanya.
Bagi Eddie, peminat merupakan pihak paling bertuah kerana bukan sahaja bakal dihidangkan dengan rangkaian lagu popular, malah beberapa karya yang jarang dipersembahkan secara langsung. Konsert berdurasi hampir tiga jam itu dijadualkan menampilkan lebih 30 buah lagu, dengan setiap kumpulan diberikan ruang persembahan kira-kira sejam sebelum bertemu dalam beberapa segmen kolaborasi. Penganjur turut menjanjikan sebuah penutup yang menyaksikan kesemua anggota Wings, Search dan XPDC berkongsi pentas secara serentak.
Konsert ini juga bakal menggunakan elemen audio visual moden dan teknologi projection mapping bagi memperluaskan pengalaman tontonan. Setiap kumpulan mempunyai bahasa bunyi tersendiri. Wings hadir dengan kemegahan rock yang dramatik, Search membawa tekstur gitar dan karya yang menjadi monumen dalam muzik tempatan, sementara XPDC memiliki denyut keras yang lama berakar dalam jiwa pengikutnya. Atas sebab itu, perhatian khusus diberikan terhadap sistem audio, pencahayaan dan susunan muzik supaya identiti setiap kumpulan tidak tenggelam meskipun ketiga-tiganya berkongsi sebuah pentas.

Menurut penganjur, Ikhram Zainuddin, atau lebih dikenali sebagai Atom, persiapan Konsert 3 Veto kini hampir mencapai tahap 100 peratus. Senarai lagu sudah dimuktamadkan, manakala pasukan artis, pengurusan dan produksi hanya menunggu detik tirai dibuka. “Semua persiapan berjalan lancar. Senarai lagu sudah dimuktamadkan dan sekarang kami hanya menanti hari konsert. Kami berharap peminat terus memberikan sokongan dengan memenuhi Mega Star Arena,” katanya.
Usaha menyatukan Wings, Search dan XPDC sebenarnya mula direncanakan sejak tahun lalu. Namun, kesibukan serta jadual ketiga-tiga kumpulan menjadikan proses itu tidak semudah menyebut tiga nama pada sebuah poster. Impian berkenaan akhirnya berjaya direalisasikan melalui kerjasama rapat antara artis, pengurusan, kru teknikal dan seluruh pasukan produksi. Atom sebelum ini turut menjelaskan bahawa gagasan menghimpunkan ketiga-tiga kumpulan lahir daripada kekagumannya terhadap muzik mereka sejak kecil, selain impian yang dibawa sepanjang kira-kira 15 tahun berkecimpung dalam bidang penganjuran konsert.
Ketika hari persembahan semakin mendekat, sambutan tiket memperlihatkan betapa besar kerinduan peminat terhadap sebuah pertemuan seperti ini. Hanya sekitar 500 tiket dikatakan masih berbaki daripada kapasiti kira-kira 5,000 penonton. Walaupun ada yang berpendapat gabungan tiga legenda ini wajar dipersembahkan di stadium, Mega Star Arena dipilih untuk membentuk pengalaman yang lebih intim, dekat dan eksklusif. “Ramai beranggapan konsert ini sesuai diadakan di stadium, namun kami mahu peminat menikmati pengalaman lebih intim bersama tiga legenda rock ini. Siapa cepat, dia dapat,” kata Atom.

Konsert bakal bermula pada jam 8.15 malam, selepas Kyoji Band membuka acara pada jam 7.45 malam. Selepas itu, Wings, Search dan XPDC akan mengambil alih pentas secara bergilir-gilir sebelum bertemu dalam segmen khas yang menjadi nadi utama penganjuran 3 Veto. Bagi vokalis Wings, Dato' Awie, penyatuan tiga nama besar ini membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada sekadar sebuah konsert.Beliau percaya setiap kumpulan hadir bersama maruah dan legasi masing-masing, sekali gus mendorong semua anggota memberikan persembahan terbaik.
"Apabila tiga band besar berada di atas pentas yang sama, masing-masing mahu memberikan persembahan terbaik. Semangat itu yang menjadikan konsert ini lebih istimewa," katanya. Awie turut yakin Konsert 3 Veto bakal menawarkan kelainan yang sukar ditemui dalam mana-mana persembahan rock lain, bukan sahaja melalui gabungan tiga legenda, malah menerusi susunan lagu yang diberi nafas baharu serta produksi pentas yang lebih segar. Beliau mahu seluruh dewan bergema dengan suara penonton dari lagu pertama hingga ke lagu terakhir, kerana baginya itulah roh sebenar sebuah konsert rock.

Tiket Konsert 3 Veto ditawarkan dalam beberapa kategori dengan harga yang sebelum ini diumumkan antara RM189 hingga RM1,500, menerusi platform jualan rasmi UberTickets. Ketika malam itu tiba, yang memenuhi Mega Star Arena bukan hanya bunyi gitar, hentakan dram atau suara tiga vokalis. Turut hadir ialah ingatan beberapa generasi yang pernah membesar bersama lagu-lagu mereka. Kerana Wings, Search dan XPDC bukan sekadar tiga nama pada poster konsert. Mereka ialah serpihan sejarah muzik Malaysia yang pernah mengiringi cinta, pemberontakan, kehilangan, persahabatan dan perjalanan manusia mencari dirinya sendiri.
Konsert 3 Veto mungkin berlangsung hanya hampir tiga jam. Namun gema yang ditinggalkannya berkemungkinan hidup jauh lebih lama.
Foto Kredit: Pa Pa Din

